28 Januari 2023, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejajar dengan anjakan paradigma yang berlaku di seluruh dunia, isu teknologi moden dan kesannya terhadap manusia kini menjadi topik utama yang semakin hangat diperdebatkan. Sejak manusia mula mengenal sains dan teknologi beribu-ribu tahun dahulu, setiap penemuan dan ciptaan teknologi yang baharu telah membawa pelbagai faedah kepada perkembangan tamadun manusia sejagat.

Kendatipun begitu, manusia dalam menjalani kehidupan yang semakin moden kini mula menyedari bahawa di sebalik segala faedah dan kesenangan yang dibawa oleh perkembangan teknologi, tersirat pelbagai ancaman tersembunyi terhadap manusia. Oleh itu, penggunaan Internet yang dilihat sebagai media yang paling efektif perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya seperti kata pepatah, “perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan” agar memberikan manfaat dan tidak mendatangkan kesan negatif kepada diri sendiri.

Begitu juga dengan perpaduan kaum terbesar di Malaysia yang meliputi kaum Melayu, Cina dan India. Perhubungan ini wujud tanpa prasangka buruk. Banyak usaha yang telah dilakukan demi memastikan perpaduan kaum dapat dimantapkan. Usaha memupuk perpaduan kaum perlu diteruskan. Peranan media seperti akhbar dan televisyen dalam menyemai perpaduan hendaklah diteruskan. Demikian itu, media juga hakikatnya berperanan besar dalam membantu menyemai perpaduan kaum.

Oleh hal yang demikian, kepentingan media massa dalam pembangunan sosioekonomi dan kebudayaan di sesebuah negara pada masa ini tidak boleh dinafikan dan patut diberikan pengiktirafan sewajarnya. Tambahan pula, peranan tersebut sudah terang lagi bersuluh adalah selari dengan prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara serta sebagai panduan untuk setiap warganegara dalam pembinaan negara tanpa mengira perbezaan fahaman atau warna kulit. Tidak dapat dinafikan bahawa hubungan sesama manusia dapat diperkukuh melalui media. Hal ini demikian kerana pada era globalisasi kini, majoriti individu memiliki gajet yang sentiasa bersama mereka atau boleh diibaratkan gajet tersebut seperti nyawa yang tidak lekang daripada empunya badan. Oleh itu, jelaslah bahawa media mampu menjadi medium pemangkin keharmonian dan perpaduan dalam memastikan kestabilan negara sentiasa terjamin.

Seyogianya, setiap individu mengetahui bahawa peranan media yang paling utama adalah untuk memudahkan komunikasi. Kewujudan pelbagai aplikasi yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan pada masa ini memudahkan manusia untuk berhubung dengan pihak lain. Aplikasi tersebut juga membolehkan kita berkomunikasi secara langsung dengan sahabat handai, saudara-mara dan keluarga walau di mana berada. Tamsilnya, kita boleh berkomunikasi dengan orang lain melalui Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Secara tidak langsung, perkara ini akan merapatkan hubungan silaturahim sesama anggota masyarakat kendatipun kita berlainan bangsa.

Media juga berperanan menjadi agen penyatuan apabila dilihat sentiasa menyebarkan galakan perpaduan seperti memaparkan iklan-iklan yang juga terselit elemen kepelbagaian kaum. Pada hakikatnya, secara tidak langsung iklan tersebut akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa perpaduan itu amat penting bagi menjamin keharmonian negara. Pelbagai iklan yang ditayangkan juga dapat memupuk sikap hormat-menghormati antara kaum.

Sungguhpun begitu, jika pihak yang berautoriti untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tidak menguasai kemahiran menyampaikan maklumat atau mesej berkaitan sama ada melalui penulisan contohnya, usaha yang dilakukan juga sia-sia kerana mesej yang disampaikan tidak dapat diterima atau sukar difahami oleh masyarakat. Oleh sebab itu, kekerapan penganjuran bengkel penulisan kepada wartawan misalnya harus ditingkatkan agar pihak yang menjadi perantara untuk menyebarkan mesej dan berita kepada masyarakat awam dapat mengaitkan isu semasa dengan unsur-unsur perpaduan. Keadaan ini secara tidak langsung dapat menggalakkan masyarakat supaya sentiasa bersatu padu, berganding bahu serta bertoleransi dalam mencapai perpaduan kaum di Malaysia selain dapat memastikan mesej perpaduan dapat disampaikan dengan cara yang menarik, santai serta mudah difahami oleh masyarakat.

Walau bagaimanapun, keharmonian yang sedia ada perlu sentiasa dijaga secara berterusan bagi mengelakkan sebarang unsur yang dapat menggugat keharmonian kaum. Oleh itu, penghasilan filem berkonsepkan kenegaraan atau perpaduan tidak hanya tertumpu pada elemen peperangan malahan, filem berunsurkan semangat perpaduan juga boleh diketengahkan seperti filem Adiwiraku, Ola Bola, Kolumpo dan sebagainya. Filem patriotik seperti yang dinyatakan juga telah menggabungkan elemen pelbagai kaum di Malaysia yang boleh menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia.

Media juga perlu berfungsi sebagai medium penyebaran keunikan setiap kaum di Malaysia tidak hanya khusus semasa perayaan besar sahaja. Dengan adanya pendedahan secara berterusan, media juga dapat menjadikan masyarakat berbilang kaum semakin erat seterusnya mampu merapatkan jurang perbezaan yang semakin jauh akibat daripada perbezaan sosioekonomi, pendidikan dan gaya hidup sesetengah kaum. Melalui pengetahuan tentang keunikan kaum tertentu, hal ini akan dapat memudahkan urusan kehidupan seharian dan membuatkan manusia lebih berkasih sayang.

Lebih memberangsangkan apabila terdapat individu yang dapat bertutur bahasa kaum yang lain dengan fasih. Sebagai contoh, kini wujudnya pempengaruh dalam pelbagai medium aplikasi sosial seperti Tiktok, Instagram, Twitter apabila mereka sentiasa memuat naik video-video yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Mandarin yang mudah diikuti oleh penonton. Mereka juga dilihat mudah untuk menarik minat golongan belia melalui undian yang dilakukan, membuat video berdasarkan permintaan pengikut mereka dan sebagainya. Hal ini dapat menyuntik semangat perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang bangsa untuk lebih mendekati bangsa lain walaupun berlainan bahasa, budaya dan fahaman.

Promosi yang berkaitan dengan kebaikan perpaduan kaum juga dapat menjamin keharmonian dan kesejahteraan negara. Oleh itu, pihak tertentu seharusnya mempertingkatkan usaha mempromosikan amalan tersebut dengan memperluas penyebaran elemen berkaitan dengan kepelbagaian kaum di Malaysia yang tidak tertumpu melalui media elektronik semata-mata. Hal ini demikian kerana, kebanyakan masyarakat di kawasan pedalaman masih tidak memiliki akses sepenuhnya terhadap perubahan zaman moden pada ketika ini dan menyebabkan mereka kurang mendapat akses bagi mendapatkan maklumat terkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.