28 Januari 2023, 18:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Belud – “Apa juga cita-cita yang kita miliki pada masa hadapan, kemahiran menulis sangat diperlukan. Hal ini adalah untuk memastikan kita dapat berkongsi ilmu kepada orang ramai. Sebagai contoh, seorang jurutera yang mencintai bahasa dan boleh menulis mampu berkongsi maklumat berkaitan dengan kepakarannya kepada semua. Jika tidak, berlakulah rencatan penyebaran ilmu kepada dunia luar,” ujar Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Razali Che Mat.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Pelajar anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Kukut, Kota Belud, Sabah dengan kerjasama Bahagian Majalah DBP dan DBP Cawangan Sabah pada pagi ini. Program tersebut mengumpulkan 70 orang murid dan 10 orang  guru dari enam buah sekolah di sekitar Kota Belud dan Kota Marudu, iaitu dari SK Ulu Kukut, SK Taun Gusi, SK Lasau Tintapon, SK Jawi-Jawi, SK Timbang dan SK Tandek.

Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat selaku perasmi Program MDK Dewan Pelajar di SK Ulu Kukut, Kota Belud, Sabah.

Program MDK diadakan sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melibatkan murid dalam proses pembudayaan ilmu. Di samping memastikan murid memperoleh keputusan cemerlang dalam bidang akademik, murid juga dibimbing untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu tambahan yang bermanfaat daripada bahan yang bermutu seperti majalah terbitan DBP.

Murid memberikan tumpuan semasa aktiviti secara dalam kumpulan dilaksanakan.

Turut hadir semasa perasmian program tersebut ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud (Sektor Pembelajaran), Encik Mokilau Rudin; Penasihat Ikatan Penulis Sabah (IPS), Encik Hasyuda Abadi; Ketua Satu IPS, Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin; Timbalan Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Encik Mabulmaddin Shaiddin; dan Munsyi Dewan (Sastera), Encik Ramli Jusoh.

Antara aktiviti yang dijalankan semasa Program MDK termasuklah sesi taklimat tentang kandungan majalah Dewan Pelajar dan panduan penulisan dalam majalah, aktiviti permainan bahasa secara dalam kumpulan serta sesi pembentangan karya murid. Murid berpeluang menunjukkan potensi dan bakat mereka dalam bidang penulisan di samping dapat meningkatkan minat dalam mata pelajaran bahasa Melayu melalui aktiviti bersifat didik hibur.

Minat membaca perlu dipupuk sejak dari awal melalui bahan bacaan yang berkualiti seperti buku dan majalah terbitan DBP.

Selain itu, program tersebut dimeriahkan dengan jualan dan pameran buku yang diadakan di pekarangan sekolah oleh Unit Pemasaran dan Pengedaran DBP Cawangan Sabah. Bengkel bersama-sama guru juga diadakan untuk berkongsi maklumat tentang penggunaan majalah dalam kelas sebagai bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bengkel tersebut juga bertujuan untuk memberikan galakan kepada guru bagi memangkin kecemerlangan murid dalam pelbagai cabang ilmu.

Guru memainkan peranan penting untuk menarik minat murid dalam pembelajaran dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti penggunaan majalah dalam kelas secara interaktif.

Guru Besar SK Ulu Kukut yang juga merupakan Presiden PSBS, iaitu Encik Norawi Haji Kata menyatakan bahawa:

Harapan saya agar program ini dapat diteruskan dan tidak berhenti setakat ini sahaja. Guru perlu memainkan peranan dengan menggalakkan murid untuk terus berkarya dan terus membaca majalah ini agar ada kesinambungannya.

Guru Besar SK Ulu Kukut, Encik Norawi Haji Kata semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menzahirkan penghargaan kepada pihak DBP, guru dan murid yang terlibat kerana telah menunjukkan komitmen dan maklum balas yang baik sepanjang program berlangsung.

Kredit gambar: DBP Cawangan Sabah

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.