3 Februari 2023, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perpaduan amat penting dalam pembangunan sesebuah negara, sama ada negara tersebut merupakan negara maju, membangun mahupun sedang membangun. Hal ini demikian kerana kesatuan dan kesepakatan antara rakyat amatlah penting dalam membentuk sesebuah negara maju yang aman tanpa konflik yang menyebabkan berlakunya pertumpahan darah dan mengakibatkan kehancuran negara tersebut. Menurut Kamus Dewan Perdana, perpaduan merupakan penyatuan dan darjah, serta jenis penyatuan yang dipamerkan oleh sesebuah masyarakat, ataupun kumpulan dan jiran. Perpaduan amatlah penting dalam membentuk sesebuah negara yang maju. Tanpa perpaduan, amat mustahil kemajuan dan kesejahteraan hidup rakyat boleh dicapai.

Antara kepentingan perpaduan dalam membentuk sesebuah negara yang maju termasuklah mampu meningkatkan ekonomi di sesebuah negara. Dengan wujudnya masyarakat yang aman dan harmoni, mampu menarik pelabur asing untuk melabur dan menjalankan aktiviti perdagangan di sesebuah negara. Kemasukan pelabur asing mempengaruhi kadar pertukaran wang asing yang membantu  kepesatan ekonomi di sesebuah negara. Sejak kebelakangan ini, Malaysia mengalami ketegangan politik yang menyebabkan pelabur asing menarik semula pelaburan mereka di Malaysia kerana risau akan berlakunya sesuatu di luar jangkaan pelabur asing dan seterusnya menyebabkan kerugian kepada mereka. Namun kini, dek keharmonian yang diwujudkan menyebabkan pelabur asing tertarik semula untuk menyertai pelaburan di negara Malaysia. Hal ini mampu mengelakkan berlakunya peningkatan kadar pengangguran serta kehilangan pelaburan yang bernilai berbilion ringgit dan kesan pengganda dari segi penciptaan peluang pekerjaan dan pembinaan infrastuktur.

Selain itu, perpaduan mampu meningkatkan imej negara. Apabila wujudnya perpaduan dalam sesebuah negara, negara tersebut akan dipandang tinggi oleh negara lain atas kestabilan dan keharmonian yang dimiliki. Sebagai contoh, Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mampu menjadi suri teladan kepada negara lain. Malaysia mempunyai beberapa kaum utama, iaitu Cina, Melayu dan India. Namun begitu, tidak wujud sebarang pergaduhan atau perbalahan antara ketiga-tiga kaum tersebut. Hal ini menjadikan Malaysia sebagai penanda aras kepada negara lain yang sedang membangun atas semangat perpaduan, kestabilan dan keharmonian antara masyarakat yang dimiliki. Walaupun Malaysia masih lagi tergolong di bawah negara yang sedang membangun, berbekalkan  keharmonian dan kesejahteraan masyarakat, Malaysia tampil menjadi negara yang disegani dan dihormati oleh negara maju yang lain.

Seterusnya, perpaduan juga dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni.  Kewujudan masyarakat yang harmoni mampu mewujudkan perpaduan yang kuat dan kukuh dalam sesebuah negara. Kestabilan politik di sesebuah negara juga dipengaruhi oleh masyarakat yang harmoni, apabila semua pemimpin akan bersatu padu tidak mengira kaum, bangsa dan warna kulit dalam memacu kepimpinan negara. Sebagai contoh, Mohd Afendi Daud & Junaidi Awang Besar (2016) menyatakan negara Afrika Selatan pada tahun 1948 hingga 1991 telah mengamalkan Dasar Apartheid, iaitu kaum kaum kulit hitam dianggap sebagai lebih rendah dan diberikan layanan kelas kedua dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan. Hal ini menyebabkan tiada perpaduan dalam negara tersebut dan wujud perbalahan antara rakyat yang menyebabkan kemusnahan di negara mereka. Oleh sebab itu, perpaduan antara rakyat amatlah penting dalam membentuk sesebuah negara yang maju.

Di samping itu, kepentingan perpaduan kaum dalam masyarakat juga dapat menarik kedatangan pelancong asing ke dalam negara. Satu daripada sumber ekonomi negara adalah melalui sektor pelancongan yang dapat menjanakan ekonomi di sesebuah negara. Asas perpaduan yang kukuh dan budaya yang unik, di samping kepelbagaian adat resam yang membentuk identiti sesebuah masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung. Sebagai contoh, pelancong amat tertarik dengan kepelbagaian kaum di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum yang ada  seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan lain-lain etnik yang mempunyai budaya, adat serta tradisi tersendiri yang dapat ditunjukkan kepada pelancong asing. Oleh itu, dapat dilihat bahawa perpaduan bukan sahaja dapat membentuk sebuah negara maju, malah dapat menarik kedatangan pelancong asing yang dapat memberikan keuntungan terhadap sesebuah negara.

Pada masa yang sama, perpaduan juga mampu menjamin keselamatan negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, apabila rakyat sentiasa bersatu padu, unsur atau pengaruh luar tidak dapat menceroboh pemikiran rakyat kerana perpaduan mampu menyatukan pemikiran dan hati masyarakat dalam sesebuah negara. Sebagai contoh, dalam sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat dibenarkan memilih pemimpin negara yang mampu menjaga negara dan memegang amanah serta menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin. Jika rakyat tidak bersatu hati dalam memilih pemimpin, maka akan berlaku ketegangan dan pergaduhan. Hal ini akan mengundang bahaya kepada negara jika pemimpin yang menang terdiri daripada pemimpin yang tidak bersifat berjiwa rakyat dan bersikap pilih kasih.  Jika rakyat tidak bersatu hati dalam memilih pemimpin, maka akan wujud pengaruh negatif yang membolehkan sebuah negara dijajah dan aset atau rahsia negara dijual kepada negara luar yang menyebabkan berlakunya kehancuran terhadap negara. Oleh sebab itu, perpaduan amatlah penting dalam menjamin keselamatan negara dan mampu membentuk sebuah negara yang maju.

Tuntasnya, perpaduan menajdi elemen penting dalam membentuk sesebuah negara maju. Setiap negara perlu berusaha memastikan perpaduan diwujudkan dalam masyarakat agar negara diiktiraf sebagai sebuah negara maju dan memiliki rakyat minda kelas pertama. Oleh itu, semua pihak perlu cakna dalam memastikan perpaduan dapat dikekalkan antara kaum dan bangsa dalam negara. Perpaduan bukan sahaja dapat membentuk negara maju, malah perpaduan turut memupuk semangat cinta dan sayang dalam kalangan  masyarakat .

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.