12 Februari 2023, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pontian – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Kerang, hari ini menyambut dengan gemilang kehadiran YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dalam program “Sirih Pulang ke Gagang”. Program yang dilaksanakan di Dewan Terbuka sekolah tersebut merupakan program motivasi untuk para pelajar SMK Telok Kerang, terutamanya buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang dilahirkan pada tahun 1953 di Kampung Telok Kerang, Pontian telah mendapat pendidikan awal di sekolah tersebut sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau yang merupakan tokoh bahasa terkemuka negara telah meluangkan masa bersama-sama pelajar dalam sesi perkongsian pengalaman. Dalam ucapannya, beliau menitipkan semangat kepada pelajar supaya mengetepikan soal kemiskinan untuk mencapai kejayaan selain menganggap guru sebagai ibu bapa yang wajib disantuni, dihormati dan disayangi untuk mendapatkan keberkatan dalam kehidupan. Calon SPM disarankan untuk memohon restu daripada ibu bapa sebelum memasuki dewan peperiksaan bagi mendapatkan keberkatan dan kelancaran semasa menjawab soalan peperiksaan.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (berdiri) semasa berucap di Dewan Terbuka SMK Telok Kerang, Pontian.

Beliau sempat berkongsi panduan mengulang kaji pelajaran, antaranya termasuklah dengan mewujudkan kumpulan belajar, mengadakan perbincangan tentang pelajaran dari rumah ke rumah dan menyediakan kad nota saku sebagai rujukan bagi memudahkan pelajar menggunakannya pada waktu senggang. Pengisian rohani juga penting bagi melengkapkan diri sebagai daya tahan emosi dengan mengamalkan bacaan surah Yasin dan solat hajat, selain doa yang berterusan sebagai persediaan menduduki SPM.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan (duduk di pentas) semasa sesi perkongsian panduan mengulang kaji pelajaran buat para pelajar di SMK Telok Kerang, Pontian.

Menurutnya lagi, pelajar haruslah menjadikan sekolah sebagai tempat yang paling sesuai untuk mengasah bakat dalam arena penulisan, perdebatan dan pendeklamasian kerana medan inilah permulaan bagi mempamerkan ketokohan pelajar agar berani tampil ke hadapan untuk membina keyakinan diri. Beliau menekankan tentang kepentingan bidang penulisan untuk menyebarkan ilmu kepada khalayak masyarakat agar ketamadunan manusia itu dapat diangkat ke peringkat antarabangsa.

YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan juga berkenan menyerahkan sumbangan bahan bacaan untuk keperluan Pusat Sumber SMK Telok Kerang sebagai galakan untuk menyuburkan minat membaca dalam kalangan warga sekolah.

Kehadiran beliau diiringi isteri, Datin Seri Haryani Harun yang turut menyerikan majlis dengan deklamasi puisi bersama-sama adik Nur Syura Sumagi. Hadir sama dalam program tersebut ialah Encik Mohd. Riduwan Wahab, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) dan Encik Razid Sahran, Timbalan Pengarah DBPWS.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.