Oleh Makmor Tumin
23 Februari 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada zaman silam, ciri yang menentukan kekuatan sesebuah negara ialah keluasan tanah jajahan. Namun begitu, aspek ketamadunan kini telah berubah. Pada zaman ini, keluasan tanah tidak semestinya menjadi ciri penting bagi kekuatan sesebuah negara lagi. Kekuatannya ditentukan tidak setakat pada kebolehan mencipta dan memiliki teknologi tinggi, tetapi yang sama pentingnya juga ialah kebolehan mengurus dan mengawal teknologi berkenaan. Hal ini membawa pengertian bahawa untuk menjadi negara terkuat di dunia, perang secara terbuka antara negara tidak lagi ditentukan berasaskan senjata sahaja, namun ditentukan oleh perang persaingan dalam memajukan teknologi tinggi terutamanya dalam teknologi ketenteraan.

Pada tahun 1989, Michael E. Porter menghasilkan sebuah buku yang memberikan gambaran terhadap kepentingan teknologi ini. Karyanya bertajuk The Competitive Advantage of Nations menunjukkan bahawa betapa pentingnya sesebuah negara itu mengeluarkan produk negaranya yang kompetitif sebagai syarat untuk memastikan produk tersebut mengungguli pasaran dunia. Buku ini sememangnya wajar dibaca oleh rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi apabila buku ini menjadi laris atau the best seller selepas tahun 1989.

Sebagai catatan, selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, persaingan teknologi tidak lagi ketara antara Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia, tetapi lebih menonjol antara AS dengan China. Memandangkan penentuan kekuatan negara adalah berdasarkan ciri kekuatan teknologi tinggi ini, bagi memastikan sesebuah negara itu sentiasa berada jauh ke hadapan dari segi teknologi, kerajaan sesebuah negara perlu campur tangan dalam industri ini walaupun dalam sistem yang tegar dengan mekanisme pasaran bebas. Hal ini membawa pengertian bahawa Malaysia juga perlu melakukan sesuatu untuk terus ke hadapan. Oleh itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteknologi tinggi amat diperlukan dan kerajaan mesti memperuntukkan perbelanjaan yang besar dan menyediakan subsidi kepada pemain industri bagi menjayakan pembangunan teknologi yang berkenaan.

Untuk menjadi negara adikuasa, inovasi dan teknologi ketenteraan merupakan industri utama yang perlu diberi tumpuan. Setakat ini, AS masih mengungguli teknologi ketenteraan dunia. Walaupun terdapat dakwaan Rusia dan China mungkin lebih kompetitif dalam aspek tersebut, namun masing-masing merahsiakan kecanggihan teknologi ketenteraan negara mereka.

Malaysia juga seharusnya lebih serius untuk muncul sebagai sebuah negara yang kompetitif dalam industri berteknologi tinggi, walaupun tidak dikenali dalam industri ketenteraan. Di AS misalnya, The U.S. Defense Advanced Research Projects Agency (DARPA) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Pertahanan negara berkenaan semenjak tahun 1958 lagi. Agensi ini bertanggungjawab membiayai universiti dan industri bagi memajukan teknologi ketenteraan. Semasa Perang Dunia Kedua, negara berkenaan melonjakkan lagi pengeluaran teknologi nuklear dengan pelaburan yang sangat besar di bawah projek yang disebut sebagai “Manhattan”.

Sepanjang era Perang Dingin pula, AS memfokuskan teknologi angkasa di bawah program Apollo dengan peruntukan perbelanjaan yang besar dilaburkan dalam teknologi sistem satelit. Bagi memastikan inovasi dan pengetahuan sentiasa ke hadapan, tentulah mereka yang mempunyai kepakaran menjadi rebutan. Jurutera terbaik dunia dan saintis cemerlang yang memiliki harta intelek yang tinggi sebenarnya yang menentukan percaturan ekonomi global masa kini, di samping faktor kecanggihan industri ketenteraan. Dalam konteks ini, adakah Malaysia tidak pernah ada genius dalam setiap dekad yang dapat menyaingi teknologi tinggi ini?

Nama-nama besar di dunia seperti Ha-Joon Chang dan Joseph Stiglitz merupakan antara beberapa orang tokoh terkemuka yang memberikan pandangan masing-masing tentang peri pentingnya kerajaan menumpukan fokus terhadap polisi perindustrian dan infrastruktur bagi memajukan negara masing-masing, termasuklah tentang kepentingan pembinaan harta intelek dalam usaha memajukan teknologi dan inovasi.

Aspek Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) yang berkembang di AS pada hari ini hampir kesemuanya hasil daripada pembiayaan oleh kerajaan. Masyarakat kerap menggunakan carian dalam talian menerusi Google yang telah dibangunkan hasil kerjasama dan usaha sama kerajaan negara Uncle Sam itu dengan Stanford University.

Malaysia juga perlu lebih bijak memahami bahawa faktor penyelidikan atau pembangunan (R&D) itu sendiri sahaja sebenarnya tidak lagi sentiasa dan semestinya menjamin pertambahan keuntungan bagi sesebuah negara. Hal ini demikian kerana mulai tahun 1990, firma gergasi berteknologi tinggi yang bergerak antara negara seperti Transnational Companies (TNC) mencari peluang ke negara yang lebih rendah dari segi kos pengeluarannya seperti China dan India yang juga mampu melahirkan penyelidik berbakat.

Menurut David Balaam (2018), Amerika Syarikat telah kehilangan peneraju besar teknologinya ke atas China, kerana dinamik teknologi yang terus beralih ke rantau Asia Timur. China dengan sistem ekonomi campuran perancangan pusat dengan kapitalisme dan politik yang autoritarian mempunyai pelbagai kelebihan ekonomi lain disebabkan oleh jumlah penduduk yang tinggi di negara tersebut. Penduduk China yang sekarang ini berjumlah 1.4118 bilion itu sahaja sudah melebihi semua penduduk di negara-negara Amerika Utara dan seluruh negara Eropah. Hal ni membawa pengertian bahawa pasaran dalam negara China sendiri sangat luas dan berpengaruh dalam menentukan ramalan mengenai negara yang mempunyai potensi kekuatan masa hadapan.  Secara perbandingan, China tidak seperti AS kerana tidak terlalu bergantung kepada permintaan asing.

Malaysia juga boleh belajar dengan China dalam menggunakan kekuatan mekanisme kerajaan dan kecekapan perusahaan awam bagi membolehkan sistem tawar-menawar harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran untuk barangan inovatif keluaran negaranya. Kerajaan China boleh meningkatkan permintaan terhadap barangan berteknologi tinggi keluaran negaranya melalui sistem perolehan awam, selain daripada potongan (rebat) cukai kepada pengguna dan peniaga yang menggunakan barangan berteknologi tempatan.

Tidak lagi seperti dahulu, AS tidak lagi boleh mengawal ketat aspek teknologinya sebagaimana yang pernah dilakukan semasa Perang Dingin, dengan adanya kemudahan Internet. Memang benar, semasa era Perang Dingin, AS boleh menyekat penyebaran rahsia melalui pengharaman pengaliran keluar informasi sistem persenjataan dan teknologi nuklearnya, lebih-lebih lagi kepada negara komunis anggota Kesatuan Soviet pada ketika itu. Pada masa yang sama, pengharaman dalam penyebaran informasi teknologi tinggi yang dikuatkuasakan itu meliputi informasi teknikal kepada pelajar-pelajar dan pekerja asing, terutamanya yang datang dari China.

Malah, pada ketika itu, universiti dan kontraktor swasta diarahkan supaya mendapatkan lesen khas bagi mendapatkan informasi yang disebutkan. Kesemua itu tidak lagi dapat dilakukan dengan mudah pada masa ini. Apabila akses semakin terdedah luas dan persaingan mencipta dan memiliki teknologi yang semakin kompetitif, semua negara terpaksa mengendurkan undang-undang yang ketat kepada warga asing bagi memastikan negaranya dapat bersaing di arena antarabangsa. Hal ini antara lain pernah digambarkan oleh Thomas L. Friedman (2006) dalam karyanya, The World is Flat.

Perkara ini bukan bermakna tidak ada langkah yang boleh diambil oleh negara maju untuk terus menjadi kuat dan unggul dalam persaingan global pada ketika ini. Sikap berhati-hati AS terhadap China amat ketara semenjak 20 tahun kebelakangan ini. Maka, hal ini merupakan manifestasi bahawa betapa pentingnya bagi mana-mana negara melaksanakan strategi baharu dalam keadaan semakin terbukanya akses itu. Banyak penawaran pembelian syarikat dan kontrak projek di AS yang melibatkan usahawan warga China tidak berasaskan prinsip kunci kira-kira atau balance sheet, tetapi atas perkiraan keselamatan negara dan kepentingan nasional AS.

Di pihak China juga, dengan mengetahui bahawa data-data yang boleh digodam, China memberikan tekanan kepada pihak bank. Perusahaan milik kerajaan dan negara tertentu yang mempunyai hubungan rapat dengan negaranya menggantikan perisian dan peranti komputer serta pelayan (server) produk buatan China sahaja. Bagi memastikan produk negara yang kompetitif, negara yang terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan legenda Laksamana Cheng Ho dan Puteri Hang Li Po itu juga kompetitif dalam memperkenalkan barangan berkonsep Juara Kebangsaan (National Champion). Sebagai contoh, negara Matahari Terbit, iaitu Jepun mendahului negara Asia dengan pengeluaran Honda dan Toyota.

Kesemua itu dilakukan melalui pelbagai polisi seperti perindustrian dan polisi-polisi lain seperti pelan dagangan strategik bagi meningkatkan dan memastikan gandaan rantaian nilai (value chain) berlipat ganda dan mendapatkan keuntungan melimpah ruah daripada keluaran Juara Kebangsaan itu. Perkara inilah yang disebut oleh Michael Porter dalam bukunya sebagai penentu bahawa betapa kompetitifnya barangan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara itu.

Pada tahun 2015, pemerintah negara Naga Tanah Besar itu juga, iaitu Xi Jinping, mahu melonjakkan China sebagai penjana teknologi atau technological powerhouse dalam industri seperti penerbangan, robotik, semikonduktor dan kenderaan elektrik. Kesemua produk inilah yang melahirkan barangan Juara Kebangsaan negara berkenaan dan Lenovo ialah satu daripada jenama terkemukanya.

Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Tumpuan kepada kepentingan industri berteknologi tinggi ini perlu menjadi keutamaan bagi polisi dan strategi negara. Tentu sahaja masih terdapat produk terkini yang belum dicipta oleh negara lain dan boleh dieksport dengan kuantiti yang banyak pada harga yang relatifnya masih tinggi dengan faedah daripada monopoli yang bersifat sementara (istilah temporary monopoly ini pernah dipopularkan Joseph Schumpeter). Sesungguhnya Malaysia Boleh !

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.