28 Februari 2023, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Siri Syarahan Felow Akademi Profesor Malaysia (APM) yang bertajuk “Konsep dan Falsafah Madani: Aplikasinya kepada Pembangunan Negara Malaysia” telah berlangsung pada hari ini secara dalam talian menerusi pelantar Zoom dan laman Youtube. Syarahan pada kali ini disampaikan oleh YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, Felow Kehormat APM dan Penyandang Kursi Al-Ghazali ISTAC-IIUM.

Dua orang pengulas yang juga merupakan ahli APM telah dijemput untuk membicarakan tajuk syarahan, iaitu YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Mantan Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan APM, dan YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin, Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM) Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA). Syarahan ini juga dikendalikan oleh Prof. Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar, Pengerusi Kluster Agama, Falsafah dan Ketamadunan APM, Universiti Sains Malaysia.

Menurut YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar, beliau menyatakan bahawa adalah baiknya jika kita melihat dan menilai konsep serta falsafah madani yang dikupas oleh para pemikir Islam dalam zaman klasik terdahulu seperti Al-Farabi dan Ibn Khaldun. Ujarnya,

Kalau kita lihat teori itu sendiri secara keseluruhannya merupakan suatu sumber idea, ideologi, dan falsafah untuk diterjemahkan ke dalam polisi atau dasar pemerintahan. Jadi, suatu yang menarik apabila Perdana Menteri sekarang cuba mengaplikasikan teori madani klasik ini dalam konteks Malaysia.

YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar sedang menyampaikan syarahannya.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan selaku pengulas pertama pula, beliau menjelaskan enam tonggak madani yang terdapat dalam buku Membangun Negara MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan. Untuk penjelasan lebih tepat, beliau menyarankan agar orang ramai, khususnya rakyat Malaysia untuk membaca buku tersebut.

YBhg. Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan selaku pengulas pertama dalam syarahan hari ini.

Beliau turut mengulas contoh “Ihsan” yang dijelaskan dalam buku tersebut, iaitu menoktahkan miskin tegar, bantuan penduduk termiskin, e-tunai belia rahmah, sumbangan korporat, bantuan kepada M40, dan kenaikan cukai T20.

Selanjutnya, pengulas kedua iaitu Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin berkata bahawa 17 matlamat dalam Sustainable Development Goals dilihat sejajar dengan semua cabang pembangunan negara dan berkaitan rapat dengan tonggak madani yang pertama, iaitu kemampanan. Selain itu, beliau menjelaskan bahawa tonggak “Ihsan” itu menterjemahkan nilai kasih sayang dan empati.

YBhg. Prof. Datuk Dr. Azizan Baharuddin selaku pengulas kedua sedang membicarakan isi syarahan tersebut.

Untuk rekod, syarahan kali ini merupakan syarahan kali ketiga daripada Prof. Emeritus Dato’ Dr. Osman Bakar. Syarahan ini juga merupakan salah satu daripada program yang dianjurkan oleh APM selain siri syarahan tamu, siri meja bulat, persidangan APM, forum dan wacana APM. Siri syarahan ini dianjurkan sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan APM terhadap kesarjanaan, kebitaraan dan sumbangan cemerlang felow APM dalam bidang ilmu masing-masing.

Selain itu, siri syarahan ini juga merupakan platform kepada felow APM untuk membincangkan isu-isu strategi yang tidak hanya memanfaatkan pembuat dasar tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.