28 Februari 2023, 23:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – YBhg. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan pertemuan dengan karyawan DBP Wilayah Selatan (DBPWS) pada hari ini. Majlis tersebut merupakan sesi kunjungan pertama beliau ke DBPWS dalam rangka kerja lawatannya selepas dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP. Menerusi pertemuan tersebut, YBhg. Dr. Hazami menyampaikan beberapa amanat kepada semua staf DBPWS dalam usaha meningkatkan kualiti kerja dan perkhidmatan untuk kepentingan organisasi.

YBhg. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP.

Dalam ucapannya, beliau berpesan agar karyawan DBP memugar semula semangat bekerja dan sentiasa menjaga integriti yang diamanahkan dalam perjuangan memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan. Beliau turut menegaskan betapa pentingnya setiap karyawan DBP mendahulukan kepentingan organisasi melebihi kepentingan peribadi. Selain itu, berbekalkan lima prinsip “K”, iaitu kepekaan, kesegeraan, ketepatan, ketelusan dan kesempurnaan, beliau percaya bahawa warga kerja DBP dapat membina watak tersendiri yang akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Oleh itu, beliau menyeru semua staf DBPWS agar mengamalkan lima prinsip tersebut dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

YBhg. Dr. Hazami semasa menandatangani buku pelawat.

Selain itu, beliau turut melontarkan pandangan bahawa dalam jangka masa yang panjang, Pusat Dokumentasi Melayu di DBPWS sewajarnya diberikan nafas baharu sebagai pusat rujukan persuratan negara bagi mengimbau kembali sejarah penubuhan DBP yang bermula di Bukit Timbalan, Johor Bahru hasil resolusi Kongres Bahasa Kebangsaan III pada tahun 1956. Dalam usaha menjayakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan pula, pelibatan kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan. Oleh itu, beliau berharap agar jalinan kerjasama dengan pihak tersebut yang akan terus dilaksanakan oleh DBP akan membuka ruang yang lebih luas kepada masyarakat untuk terlibat secara aktif dalam menjayakan fungsi DBP. Tambah beliau:

Hubungan yang baik dengan NGO perlu ditingkatkan agar masyarakat lebih mengenali peranan DBP sebagai badan yang ditubuhkan untuk memartabatkan bahasa dan persuratan kebangsaan.

Beliau juga memaklumkan bahawa terdapat perancangan untuk memperluas sempadan DBPWS ke Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam proses perbincangan dan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Oleh hal yang demikian, DBPWS perlu disokong dengan pertambahan sumber manusia bagi memastikan perluasan sempadan ini dapat dijayakan seperti yang diharapkan.

Staf DBPWS bergambar bersama-sama dengan Ketua Pengarah DBP.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS.

Encik Mohd Riduwan Wahab, Pengarah DBPWS semasa menyampaikan kata alu-aluan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.