15 Mac 2023, 18:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Permasalahan rasisme bukan sesuatu yang baharu terutamanya di negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Perhambaan yang wujud sejak terbentuknya tamadun awal manusia merupakan satu daripada contoh rasisme kerana warna kulit tertentu sahaja yang dijadikan hamba manakala yang lainnya adalah tuan. Rasisme yang paling ketara dalam sejarah manusia melibatkan perhambaan penduduk kulit hitam dari Afrika. Sejumlah 30 juta orang penduduk dari Afrika Barat telah diculik dan dijual sebagai hamba di Amerika dan Caribbean.

Antara tahun 1525 dan 1866, lebih 12.5 juta orang telah diculik dari Afrika dan dihantar ke Amerika melalui perdagangan hamba transatlantik. Walau bagaimanapun, hanya sebanyak 10.7 juta hamba yang terselamat dalam perjalanan selama dua bulan ke Amerika. Rasisme bergerak seiring dengan penjelajahan, imperialisme dan kolonialisme Barat di seluruh dunia. Melalui proses tersebut, perdagangan hamba dan kemudiannya kemasukan buruh asing ke wilayah jajahan dan negara imperialis Barat berlaku antara abad ke-15 hingga awal abad ke-20.

Rasisme merupakan ideologi yang diwujudkan untuk membuat justifikasi atau penjelasan secara rasional supaya wujud ketidaksamarataan dalam kalangan kaum yang berbeza. Rasisme turut didefinisikan sebagai pandangan, pemikiran atau kepercayaan negatif oleh sesuatu kelompok sosial terhadap kelompok sosial yang lain berdasarkan ciri-ciri fizikal dan biologinya. Ideologi tersebut dibentuk berdasarkan tiga fahaman. Pertama, manusia boleh dibahagikan secara semula jadi berdasarkan ciri-ciri fizikal. Kedua, ciri-ciri fizikal itu berkait rapat dengan budaya, personaliti dan kebijaksanaan seseorang itu. Ketiga, atas faktor keturunan genetik, wujudnya kelompok yang lebih tinggi kedudukan sosialnya berbanding dengan kelompok yang lain.

Rasisme wujud pada dua tahap yang melibatkan individu dan institusi. Pada tahap individu, rasisme berlaku dalam bentuk kepercayaan bahawa wujudnya ras tertentu yang berstatus lebih tinggi dan ada yang status rendah. Bagi peringkat institusi pula, wujud dasar dan pelaksanaan bersifat diskriminasi yang membentuk ketidaksamaan terhadap masyarakat daripada ras berbeza. Ras merupakan kumpulan manusia yang berkongsi ciri-ciri biologi tersendiri yang diwarisi dan dapat dibezakan dengan jelas dalam masyarakat. Rasisme terpupuk oleh etnosentrisme, stereotaip negatif, prasangka atau prejudis dan diskriminasi.

Etnosentrisme ialah kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kumpulan etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah yang paling baik berbanding dengan kumpulan etnik yang lain. Rasa bangga ini menimbulkan penghinaan dan memandang rendah terhadap kebudayaan, perayaan dan tradisi etnik lain. Penghinaan berlaku melalui pelbagai bentuk. Bentuk yang paling ketara dalam masyarakat ialah kebudayaan, perayaan dan tradisi etnik lain dijadikan bahan jenaka sama ada dalam rancangan televisyen realiti atau media sosial. Kewujudan pelbagai media sosial bak cendawan tumbuh selepas hujan membolehkan penghinaan dijadikan kandungan dan disebarkan dengan lebih pantas. Kandungan seperti itu umpama mencurah minyak ke dalam api kerana hubungan antara etnik yang berbeza akan semakin jauh dan timbul perasaan benci. Setiap pencipta kandungan perlu berhati-hati dan memahami sensitiviti budaya, tradisi dan agama etnik lain.

Stereotaip pula ialah gambaran yang berlebih-lebihan tentang sesuatu perlakuan baik atau buruk yang ditujukan kepada sesuatu kumpulan etnik oleh etnik yang lain. Bagi mengelakkan stereotaip, perlunya pemahaman terhadap budaya dan tradisi etnik lain. Stereotaip negatif akan menimbulkan perasaan negatif dalam kalangan masyarakat yang berbilang etnik. Kemalasan, gemar mengambil rasuah, menipu, tidak jujur, penagih, perokok, selekeh, kaki botol dan sering berjudi merupakan stereotaip negatif yang selalu diberikan terhadap satu-satu kumpulan etnik walaupun stereotaip itu tidak semestinya tepat. Hal ini akan membatasi interaksi antara etnik selain mengakibatkan rasisme semakin menebal. Stereotaip negatif akan memberikan kesan terhadap perasaan, kepercayaan dan pandangan seseorang itu. Amat malang apabila stereotaip ini diperturunkan ke generasi muda. Minda anak muda diindoktrinasi dengan pemikiran yang negatif maka hasilnya mewujudkan hubungan yang dingin antara etnik berbeza akibat sudut pandang yang dibentuk oleh stereotaip negatif.

Prejudis pula ditakrifkan sebagai kepercayaan dan perasaan negatif mengenai ahli atau kelompok etnik lain. Prejudis terbahagi kepada dua jenis. Prejudis kategori bermaksud seseorang yang dinilai berdasarkan keahlian dalam sesuatu kumpulan etnik dan bukan personaliti individu. Manakala prejudis tidak fleksibel merupakan satu penilaian yang tetap tentang sesuatu kumpulan etnik dan tidak menerima perubahan pendapat terhadap sesuatu kumpulan etnik itu. Prejudis yang kuat terhadap kumpulan etnik lain sukar diubah walaupun terdapat fakta kukuh yang diberikan bagi membuktikan bahawa pemahaman tersebut adalah salah. Generasi muda atau baharu menjadi rasis kerana mewarisi sikap prejudis daripada generasi lama yang dekat dengan mereka terutama ahli keluarga. Prejudis boleh menyebabkan diskriminasi berlaku.

Diskriminasi merupakan layanan buruk sesuatu kumpulan etnik terhadap kumpulan etnik yang lain. Diskriminasi sangat dipengaruhi oleh pandangan, pemikiran dan kepercayaan negatif seseorang atau sekumpulan etnik terhadap kumpulan etnik lain. Diskriminasi pada peringkat awal dapat dilihat apabila individu daripada kumpulan etnik berbeza cuba mengelakkan diri atau tidak mahu berinteraksi dengan individu etnik yang lain. Selain itu, berlaku gejala buli antara etnik yang berbeza.

Jika diskriminasi mencapai tahap tinggi, akan berlaku segregasi, pembuangan kerja, serangan fizikal secara terbuka, dipaksa mengikuti upacara atau menukar kepada agama lain dan yang paling teruk termasuklah penghapusan sesebuah kumpulan etnik. Segregasi etnik boleh berlaku melalui pelbagai cara antaranya segregasi di sekolah apabila pelajar berbeza etnik diasingkan tempat makan, kelas dan kegiatan kokurikulum. Pergaulan antara etnik berbeza amat tidak digalakkan. Pembuangan kerja pula berlaku atas faktor etnik majikan atau majoriti di tempat kerja yang berbeza atau akibat stereotaip negatif dan prejudis terhadap individu etnik lain.

Rasisme yang begitu teruk di Britain pernah menyebabkan serangan fizikal secara terbuka terhadap komuniti ‘berwarna’ yang terdiri daripada Afrika, Asia dan Caribbean. Serangan fizikal secara besar-besaran berlaku di London, Manchester, Liverpool, Hull, South Shields selain sebahagian Scotland dan Wales pada tahun 1919. Pada tahun 1948, berlaku lagi serangan besar-besaran di Liverpool, manakala di Nottingham dan Notting Hill pada tahun 1958. Pembunuhan akibat rasisme turut berlaku di Liverpool pada tahun 1919 melibatkan individu bernama Charles Wootton. Kelso Cochrane pula dibunuh di Notting Hill pada tahun 1959, Akhtar Ali Baig di East Ham (1980) dan Stephen Lawrence (1993). Keganasan akibat rasisme menyebabkan komuniti Afrika, Asia dan Caribbean menyusun gerakan politik atau demonstrasi antaranya Grumwick Strike pada tahun 1976 dan Black People’s Day of Action pada tahun 1981 di London.

Rasisme yang terbentuk dalam diri individu sebenarnya bermula di rumah lagi. Terdapat ibu bapa yang menanam benih rasisme dalam diri anak-anak mereka. Mewariskan stereotaip negatif sehingga terbatas pergaulan anak-anak berbeza etnik. Oleh sebab itu, hasilnya akan menjadi seperti bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa sepatutnya menjadi suri teladan yang baik buat anak-anak. Terapkan nilai hormat-menghormati selain jangan menghina budaya, tradisi dan agama etnik lain. Perkara tersebut usah dijadikan bahan jenaka atau ejekan. Oleh itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak  mereka berinteraksi dengan etnik lain, bermula dengan jiran tetangga dan kemudian di sekolah. Jika nilai-nilai murni diterapkan, benih rasisme tidak akan bercambah.

Sekolah yang sepatutnya berperanan dalam memupuk perpaduan menjadi tempat rasisme bercambah. Baik rakan mahupun guru akan mempengaruhi individu untuk prejudis terhadap etnik lain. Berlaku juga penghinaan dan buli antara etnik yang berbeza akibat stereotaip negatif. Pihak sekolah yang mengasingkan pelajar mengikut etnik dalam aktiviti kokurikulum dan sukan merupakan petanda awal perpecahan yang tidak seharusnya berlaku terutamanya dalam sektor pendidikan negara. Walhal aktiviti kokurikulum dan sukan mampu memupuk perpaduan jika tahu untuk memanfaatkannya. Persekitaran sekolah menjadi tidak selamat kerana diancam warganya yang rasis. Tindakan guru atau pentadbir sekolah yang rasis juga berlaku atas faktor perbezaan pandangan politik lebih-lebih lagi parti politik yang berjaya menanamkan rasa curiga, benci dan takut terhadap etnik lain dalam pemikiran mereka melalui pelbagai medium terutama media sosial.

Rasisme yang ditanam sejak di rumah dan bercambah di sekolah, kemudiannya berkembang mekar selepas alam persekolahan. Rasisme akan dibawa bersama ke tempat kerja atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ketika itu, menjadi sukar bagi seseorang individu untuk berfikiran positif terhadap etnik berbeza. Hal ini akan menyukarkan kerjasama dalam satu pasukan kerja dan hubungan antara pekerja berlainan etnik dingin, selain wujud buli dan diskriminasi di tempat kerja. Perkara yang sama juga akan berlaku di IPT kerana mahasiswa yang berlainan etnik enggan bekerjasama atau duduk dalam satu pasukan bagi menyiapkan tugasan. Mereka juga akan mengurangkan interaksi dan pergaulan serta lebih selesa bersama etnik yang sama. Maka, elemen perpaduan akan menjadi semakin rapuh  jika gejala ini berterusan dalam tempoh jangka masa yang berpanjangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.