Oleh Makmor Tumin
28 Mac 2023, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam melewati era Revolusi Perindustrian 4.0, kita harus mengakui bahawa semakin pantas ekonomi berkembang, maka semakin banyaklah kerosakan terhadap alam sekitar berlaku. Sedihnya, tidak ramai yang bersungguh-sungguh mengambil tindakan untuk berbuat sesuatu, baik mengambil tindakan secara langsung bagi memulihara alam sekitar itu sendiri mahupun memurnikan bidang ekonomi supaya lebih tegas tumpuannya dan mesra alam sekitar. Selain itu, walaupun banyak pihak yang mengakui bahawa kos memulihara alam sekitar mesti dimasukkan ke dalam pengajaran tentang teori pembangunan, namun begitu tidak ada yang berbuat demikian dalam penyelidikan dan pengajarannya.

Kebanyakan  antara kita yang mengetahui  tentang peri pentingnya nilai perkhidmatan ekonomi yang disumbangkan oleh institusi kekeluargaan dan institusi informal yang lain seperti perkhidmatan penjagaan, misalnya penjagaan orang tua, orang kurang upaya dan penjagaan bersifat kebajikan lainnya. Namun begitu, kiraan pertumbuhan ekonomi juga tidak mengambil kira sumbangan atau produktiviti institusi kekeluargaan dan perkhidmatan penjagaan informal yang  memperlihatkan peranan wanita bukan sahaja sangat penting, malah didapati lebih berkesan. Perkara ini sememangnya sering diperkatakan. Namun begitu, sehingga hari ini perkara ini tidak dipedulikan dengan serius. Sewajarnya paradigma masyarakat tentang pendekatan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi perlu beranjak kepada pentingnya mengambil kira planet bumi dan institusi kekeluargaan yang kita huni, tetapi mengapakah masih kita diamkan?

Pendidikan ekonomi yang hanya menyatakan bahawa sistem pasaran mampu mengagihkan sumber yang terhad dengan berkesan tanpa pembaziran sememangnya tidak dapat dinafikan dari aspek kepentingannya. Masyarakat seharusnya wajar menghargai kecekapan ekonomi melalui sistem pasaran kerana dengan kecekapan ekonomi ini, kos dapat dikurangkan dan untung dapat dilipat gandakan. Persoalan yang mesti ditanya ialah cui bono, iaitu siapakah yang beruntung dengan kecekapan ekonomi itu dan apakah yang difahami sebagai kos? Untung yang dimaksudkan itu ialah keuntungan pengusaha dalam sesebuah industri manakala kos pula termasuk gaji pekerja.

Dengan memastikan kecekapan ekonomi dalam pasaran, keuntungan seorang pengusaha dapat dilipatgandakan dan gaji 100 orang buruh boleh dikurangkan. Hakikatnya memang benar ini ialah hukum ekonomi. Namun begitu, adakah terdapat sistem ekonomi yang tidak melihat usaha pekerja yang dibayar dengan gaji sebagai angkubah kos pengusaha, tetapi sebagai angkubah sumbangan penting kepada keuntungan pengusaha? Dalam erti kata lain, bukankah pengusaha itu tidak ada apa-apa tanpa adanya sumbangan pekerja? Mengapakah kepentingan individu yang kaya diutamakan dalam analisis ekonomi, bukannya kepentingan 100 orang yang bukan kaya sehingga mereka ini disifatkan sebagai faktor kos untuk sektor perindustrian?

Ironinya, anak seorang pekerja kilang yang mempelajari ilmu ekonomi juga terpaksa menelan bulat-bulat ilmu ekonomi seperti ini dan diyakinkan juga bahawa gaji bapanya mesti dikurangkan bagi meningkatkan keuntungan pengusaha kilang tempat bapanya bekerja. Bagi memastikan keuntungan seorang pengusaha itu, bukan sahaja kos alam sekitar tidak dimasukkan sebagai kos, malah kos beratus-ratus buruh yang kecil upahnya turut difahami sebagai komoditi yang boleh dijual beli dan mesti dikurangkan. Mereka yang bertungkus-lumus membantu orang tua dan orang kurang upaya difahami sebagai tanggungjawab dalam keluarga dan masyarakat masing-masing tanpa nilai produktiviti dan sumbangan mereka tidak dibiarkan terlepas begitu sahaja. Persoalan seperti ini tentulah memancing kontroversi kerana mempunyai kaitan dengan perbincangan sistem ilmu, keadilan dan moraliti.

Oleh itu, perlu ada huraian tentang pentingnya masyarakat memahami konsep cui bono, iaitu siapa yang beruntung dengan sistem ilmu, keadilan dan moraliti yang diperkenalkan, terutamanya dalam sebarang analisis atau polisi yang dikemukakan dalam sesebuah negara.

Ilmu ekonomi dan ilmu sosial lain mesti dirangkumkan sekali gus, sama ada dalam pengajaran mahu pun amalan untuk memahami masalah keadilan dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Hal ini membawa pengertian bahawa bagi memastikan kita cakna cui bono, iaitu siapakah sebenarnya yang beruntung? Ilmu ekonomi pelbagai disiplin sangat penting, misalnya digabungkan dengan ilmu lain seperti sains politik dan sosiologi. Kesemua ini perlu dimantapkan dan pada masa yang sama merangkumkan metod analisis yang lain seperti sejarah, falsafah dan termasuklah agama.

Oleh sebab kegiatan ekonomi tidak terhad dalam negara sahaja, pendekatan yang lebih bersifat antarabangsa atau global seharusnya diaplikasikan. Atas pertimbangan inilah ilmu ekonomi mesti berkembang sebagaimana sebahagiannya yang telah ada seperti ekonomi moral, ekonomi Islam dan ekonomi politik antarabangsa,apabila ilmu yang terakhir ini disentuh dalam bahagian selanjutnya.

Antara nama penting dalam bidang ekonomi politik antarabangsa ini ialah Susan Strange (1923-1998). Beliau merupakan antara ilmuwan yang menitikberatkan persoalan cui bono. Bagi beliau, pemahaman sesuatu ilmu itu harus berasaskan kepada analisis tentang siapa yang mendapat manfaat daripada peristiwa ekonomi dan juga daripada metod analisis ekonomi yang ada.

Masyakarakat hari ini jelas bahawa konsep pasar yang merupakan tempat berjual beli kini bukan sahaja tempat bagi orang bersemuka membeli atau bertukar-tukar barangan antara satu sama lain secara fizikal, malah turut berlaku secara dalam talian. Tingkah laku yang tidak disedari ini sebenarnya amat dipengaruhi oleh sistem pasaran yang mengutamakan kecekapan ekonomi dalam memastikan keuntungan pengusaha.

Apa-apa sahaja aktiviti perniagaan, sama ada ketika membeli sesuatu barangan atau perkhidmatan, ataupun apabila pelabur membeli saham, mahupun ketika institusi perbankan menawarkan pinjaman wang, kesemua transaksi berkenaan seolah-olah hanya berlaku pada peringkat interaksi individu, tetapi sebenarnya melibatkan rantaian komunikasi yang luas. Cakna cui bono membawa erti bahawa, masyarakat perlu peka bahawa siapakah yang beruntung sekiranya pengguna membuat sebarang respons dan tindakan dalam talian atau pembelian dalam pasaran dan kesannya kepada kita?

Bukan itu sahaja, tanpa disedari, sistem pasaran itulah yang sebenarnya menyelaraskan aktiviti ekonomi di seluruh dunia dan mempengaruhi kelakuan kita dalam pembelian sehari-harian. Adakah pernah kita bertanya apakah cui bono daripada kesemua tindakan tersebut?

Masyarakat perlu cakna tentang perkara ini dan di institusi pengajian tinggi pula, mahasiswa perlu diberikan pendedahan kepada ilmu multidisiplin seperti sains politik, ekonomi dan sosiologi yang disentuh sebelum ini. Pendekatan untuk memahami sesuatu bidang ilmu itu pula tidak seharusnya setakat mengandungi dimensi ekonomi dan sejarah sahaja, tetapi yang sama pentingnya juga ialah perspektif falsafah dan agamanya sekali gus.

Hampir kesemua pakar bidang ilmu Ekonomi Politik Antarabangsa (IPE), umpamanya atau Ekonomi Politik Global menekankan kepentingan empat perspektif dalam IPE ini, iaitu “merkantilisme”, liberalisme ekonomi, “strukturalis-Marxisme” dan “konstruktivisme”. Diharapkan lulusan ekonomi negara mengetahui tentang perspektif-perspektif ini kerana kesemuanya penting dalam memahami cui bono dalam kehidupan hari ini.

Pemikir ekonomi liberal terkenal seperti Adam Smith, David Ricardo, John Maynard Keynes, Friedrich Hayek dan Milton Friedman sememangnya telah menyumbang dalam memahami pengurusan ekonomi global. Sebagai contoh, Ricardo amat terkenal dengan teori “comparative advantage”. Menurut beliau, dua buah negara akan menghasilkan kekayaan yang melimpah ruah untuk masyarakat dunia sekiranya kedua-dua negara berkenaan memfokuskan kepada bidang utama keluarannya dan mengadakan perdagangan pada peringkat antarabangsa. Teori seperti ini sememangnya nyaman didengar dan sepintas lalu memang masuk akal. Persoalannya, siapakah yang beroleh untung (cui bono) dengan amalan teori seperti ini? Amerika Syarikat muncul sebagai negara maju kerana pemimpinnya yang cakna cui bono, misalnya Alexander Hamilton. Beliau menolak amalan teori ini kerana menganggap teori ini hanya akan menyebabkan negaranya terus berfokus kepada sektor pertanian, dan tidak akan ada peluang untuk maju sebagai negara perindustrian.

Sekiranya negara A menumpukan kepada hasil pengeluaran perkilangan manakala negara B menfokuskan kepada pengeluaran pertanian, sememangnya boleh dijangkakan faedah besar akan terhasil sebagaimana diduga melalui teori “comparative advantage” itu. Ironinya, negara A melabur dalam industri yang meningkatkan keuntungan (increasing return) sedangkan negara B menumpukan kepada industri pertanian yang keuntungannya menurun (diminishing return). Sekiranya pandangan Ricardo ini diterima sebagai polisi bagi kedua-dua buah negara, akibatnya amat buruk bagi negara B. Hal ini kerana negara B berkenaan bukan sahaja semakin lama semakin tidak dapat menghasilkan keluaran pertanian di atas tanah yang sama, malah kos pengeluarannya akan sentiasa meningkat bagi menghasilkan produk yang sama seperti sebelumnya. Negara A akan terus memperoleh keuntungan disebabkan peningkatan dalam kemahiran. Tambahan lagi, barangan perkilangan tidak menghadapi pelbagai risiko seperti penghasilan barangan pertanian.

Dalam membincangkan perkara seperti ini, Erik S. Reinert dalam bukunya How Rich Countries Got Rich and Why Poor Countries Stay Poor menghuraikan secara tidak langsung tentang pentingnya pemahaman cui bono dan bahayanya amalan teori ini kepada negara membangun yang menyebabkan negara mundur terus mundur dan negara kaya terus semakin kaya. Sehubungan dengan itu, apabila pakar mengesyorkan amalan teori “comparative advantage” ini, wajar ditanya, “cui bono?”, iaitu adakah negara akan beroleh keuntungan dengan kecekapan ekonomi daripada teori ini?

Jika diperhatikan dengan teliti, semua negara sebenarnya ingin memastikan negara masing-masing sentiasa berada di atas atau terkedepan daripada negara-negara saingannya. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu atau teori yang dipelajari perlulah disematkan senada dengan istilah cui bono itu. Negara perlu berperanan menumpukan kekuasaan dan kekayaannya terhadap usaha pembangunan negara dan menjaga kebajikan masyarakat, termasuk melindungi masyarakat daripada sebarang bahaya persekitaran atau tekanan daripada negara lain. Sistem ekonomi yang baik ialah sistem yang mengutamakan kehidupan bagi negara itu dan dalam hal ini pentingnya peranan negara dalam ekonomi ini. Teori “neo-merkantilisme” diketahui bukan sahaja teori yang paling relevan diamalkan bagi sesebuah negara, bahkan semua negara yang melaungkan slogan ekonomi liberal sebenarnya juga mengamalkan dasar yang “merkantilistik”.

Fenomena seperti eksploitasi, penjajahan dan kewujudan kelas-kelas dalam masyarakat perlulah difahami dalam konteks cui bono sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Eksploitasi, penjajahan dan kewujudan kelas dalam masyarakat itu dapat difahami dengan lebih baik melalui pendekatan “struktural-Marxisme” sahaja.

Sebenarnya, maklumat dan pengetahuan yang terhasil daripada norma dan idea yang terus diwacanakan oleh sesebuah masyarakat di sesebuah negara amat mempengaruhi tingkah laku seseorang, terutamanya pemimpin negara. Wacana yang dibangunkan di Jepun tentulah menghasilkan norma dan idea yang tidak sama dengan wacana yang dibangunkan di Brazil dan begitulah juga halnya hasil wacana di negara-negara lain. Oleh itu, ekonomi politik antarabangsa amat diperlukan, di mana dunia pada hari ini dipengaruhi oleh wacana-wacana norma berkenaan yang mana melalui pendekatan “konstruktivisme”, perihal pengurusan ekonomi dunia akan lebih mudah difahami.

Menurut Balaam dan Dillman (2018), setiap satu daripada empat perspektif IPE (ekonomi liberal, ekonomi “merkantilisme”, “struktural-Marxisme” dan “kontruktivisme”) membantu kita memahami cui bono, iaitu tentang siapa yang sebenarnya memperoleh manfaat atau kerugian daripada proses global yang kita amati. Bukan itu sahaja, malah kita juga boleh memahami cara aktor-aktor tertentu memperoleh dan menggunakan kuasa politik dan sumber ekonomi bagi kepentingan mereka, selain daripada membaca muslihat dan matlamat yang ingin dicapai oleh aktor-aktor berkenaan.

Pendeknya, pengamatan yang mesti dibuat dalam memahami proses global itu amatlah luas, bermula daripada menganalisis tingkah laku dan pilihan individu (peringkat individu), hingga ke faktor dalam negara (peringkat negara/masyarakat), keterkaitan antara negara (peringkat antarabangsa) hinggalah ke peringkat global itu sendiri.

Susan Strange menekankan bahawa kepentingan mengamati lima buah pola aktiviti yang terdapat pada kegiatan ekonomi politik antarabangsa itu, iaitu pengeluaran, perdagangan, kewangan, keselamatan, dan pengetahuan atau harta intelek. Mana mungkin pendekatan satu disiplin seperti hanya mempelajari ilmu ekonomi, sains politik, atau sosiologi sahaja dapat menghasilkan penjelasan yang lengkap tentang peristiwa dan pengurusan global. Hal ini membawa pengertian, analisis bersandarkan pengkhususan satu disiplin hanya dapat meningkatkan kecekapan analisis, bukannya membantu memahami masalah masyarakat apatah lagi menyelesaikannya.


Penulis, Pensyarah, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.