Diterbitkan pada 11 April 2023, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – “KPM komitmen terhadap agenda untuk membasmi rasuah dan akan mengutamakan pembinaan adab dan moral yang tinggi dalam kalangan masyarakat, khususnya melibatkan murid,” jelas Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

Beliau berkata demikian dalam majlis ‘Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)’ Tahun 2023 di Auditorium Kompleks Kerajaan, Parcel E, Putrajaya, pagi tadi.

Sebelumnya, beliau turut menyorot pengalamannya sendiri dalam menghadapi situasi rasuah ketika berkhidmat sebagai peguam syarie dahulu.

Apabila menghadapi situasi tersebut, saya berasa sangat geram dan menggigil selama tiga hari. Lebih teruk, individu yang cuba melakukan perbuatan tersebut datang dari institusi yang kehormat.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika membicarakan tentang rasuah dalam Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah KPM di Putrajaya, pagi tadi.

Selain itu, beliau juga turut menyatakan bahawa rasuah ini perlu diperangi dengan membina budaya moral, adab dan integriti yang tinggi. Beliau juga turut menyentuh ringkas tulisan Almarhum Syed Hussein Alatas tentang rasuah. Ujarnya,

Syed Hussein Alatas berpesan bahawa kesedaran intelektual perlu ada dalam melawan rasuah. Penulisan tentang rasuah juga perlu diperluas dan diperbanyakkan dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga turut menjelaskan peranan KPM dalam konteks ini apabila konsep “Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC)” diperkenalkan di sekolah dalam membina keteguhan rohani dan sahsiah diri yang terpuji.

Pengurusan tertinggi KPM yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi (tiga dari kiri) sedang membaca Ikrar Bebas Rasuah.

Dalam majlis itu juga, pengurusan tertinggi KPM yang diketuai oleh Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi bersama-sama dengan pegawai KPM yang hadir membaca Ikrar Bebas Rasuah. Selain itu, buku Polisi Perlindungan Pemberi Maklumat dan Panduan Pengurusan Tindakan Tatatertib turut dilancarkan dalam majlis yang sama. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek sedang melancarkan kedua-dua buku tersebut sambil disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi