Oleh Normasiska Noor
12 April 2023, 10:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak belakangan ini, timbul suara-suara yang mencadangkan agar pendidikan tingkatan enam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dimansuhkan. Pada tahun 2022, ada pihak yang mencadangkan agar semua jenis peperiksaan yang masih wujud, iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dimansuhkan. Cadangan itu mengambil kira langkah yang sama, iaitu selari dengan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang kini digantikan dengan pentaksiran berasaskan sekolah.

Pada tahun ini, cadangan yang sama turut diutarakan oleh Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, yang mencadangkan agar kerajaan memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program matrikulasi. Cadangan itu diutarakan pada sesi menggulung perbahasaan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Negara, pada 27 Mac lalu.

 

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek

Sebagai respons awal terhadap cadangan itu, kerajaan menerusi Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk memansuhkan pendidikan Tingkatan Enam dan Sijil Persekolahan Malaysia (STPM).

 

Hal ini menurutnya kerana tingkatan enam mencakupi peperiksaan STPM yang ditawarkan oleh KPM yang merupakan peperiksaan yang  selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan mesti wujud serta diteruskan.

Kewujudannya adalah bertujuan untuk memastikan murid pada peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan yang setanding dengan piawaian antarabangsa. STPM itu sendiri diiktiraf Cambridge Assessment International Education

“Semua universiti awam (UA) di negara kita mengiktiraf kelulusan ini, malah lebih daripada 2000 buah universiti di seluruh dunia turut mengiktiraf sijil STPM, jadi lulusan tingkatan enam ini boleh melanjutkan pelajaran ke mana-mana sahaja, di dalam negara, di luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel dan negara Asia Barat,” ujar YB Fadhlina ketika Sesi Menggulung Perbahasaan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Negara.

YB Fadhlina turut menjelaskan bahawa pendidikan tingkatan enam mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri berbanding dengan program matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Malaysia.

“Tingkatan enam ini bertujuan untuk memberikan akses yang seluas-seluasnya kepada lepasan menengah, menerusi 643 buah pusat tingkatan enam pelbagai mod pembelajaran di seluruh negara. Malah KPM juga akan meluaskan kolej tingkatan enam yang dirancang di Pahang, iaitu di Kolej Astana, Kuantan dan satu lagi di Sri Lipis, selain pembinaan kolej tingkatan enam di Kelantan yang sudah lulus peruntukan pembinaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Kenyataan Menteri Pendidikan itu menjelaskan bahawa STPM masih relevan dan harus dikekalkan agar lebih banyak murid mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah atas yang bukan sahaja terjamin kualiti pendidikannya tetapi turut setanding dengan piawaian antarabangsa.

Selain mendapat pengiktirafan antarabangsa, STPM juga terbukti mempunyai kelebihan tersendiri yang dapat menjadi “tiket” penting untuk pelajar lepasan SPM untuk melangkah ke menara gading. Perlu diakui bahawa calon STPM yang menerima keputusan yang baik akan berpotensi untuk menyambung pelajaran ke UA. Hanya dalam tempoh kurang daripada dua tahun, calon STPM dapat menamatkan pendidikan dengan memiliki  STPM. Hal ini berbeza daripada calon diploma yang perlu melalui tempoh masa selama tiga tahun sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Peperiksaan STPM yang diiktiraf bukan sahaja di negara ini, malah pada peringkat antarabangsa adalah setaraf dengan diploma. Malah pelajar yang cemerlang dalam STPM juga memiliki peluang yang cerah untuk ditawarkan biasiswa melanjutkan pelajar ke mana-mana UA atau universiti di luar negara.

Dikendalikan oleh MPM

Di Malaysia, Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dipertanggungjawabkan untuk mengelolakan peperiksaan STPM mulai peperiksaan tahun 1982. MPM yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 [Akta 225] merupakan badan berkanun persekutuan yang beroperasi di bawah naungan KPM.

MPM ditadbir urus oleh lembaga pengelola yang disebut “Majlis” yang keanggotaannya terdiri daripada 19 orang Naib Canselor universiti awam tempatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Pengarah Lembaga Peperiksaan, Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia, dan lima orang ahli yang dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Pengerusi Majlis dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan Naib Canselor UA.

Sejarah STPM 

STPM merupakan peperiksaan yang menggantikan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (Higher School Certificate) yang dikelolakan oleh Cambridge Assessment, England. Peperiksaan STPM ini dilaksanakan pada setiap semester di sepanjang tempoh pengajian yang terdiri daripada tiga semester. Gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga semester ini akan menentukan pencapaian keseluruhan dalam pengajian STPM. Sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan Perancangan Senario MPM 2007 – 2025, MPM juga menitikberatkan soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam peperiksaan STPM. Peperiksaan STPM ini juga bertujuan untuk meningkatkan kualiti pelajar lepasan STPM seperti yang dimatlamatkan dalam bidang keberhasilan utama peringkat KPM dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Di samping mengurus peperiksaan STPM, MPM juga mengelolakan Malaysian University English Test (MUET) mulai tahun 1999. Ujian kecekapan bahasa Inggeris ini wajib diambil oleh pelajar yang ingin mengikuti program ijazah pertama di Universiti Awam (UA) dan juga untuk tujuan bergraduasi. Ujian MUET ditadbirkan tiga kali setahun mulai tahun 2012. Mulai tahun 2018, MPM juga telah memperkenalkan kaedah MUET on Demand (MoD) yang dilaksanakan pada hampir setiap bulan.

Dalam mengelolakan peperiksaan STPM, MUET, dan SKBMW MPM melaksanakan fungsi yang berikut (Akta 225 Seksyen 10):

(a) menyediakan dan menerbitkan sukatan pelajaran peperiksaan;

(b) menyediakan kertas soalan peperiksaan;

(c) mendaftarkan calon peperiksaan;

(d) mentadbirkan peperiksaan;

(e) menganugerahkan sijil.

Pentadbiran MPM dan pengurusan peperiksaan dijalankan oleh Urus Setia Majlis yang bertanggungjawab kepada Majlis. Urus Setia Majlis diketuai oleh Ketua Eksekutif yang juga Ahli Majlis dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Pentadbir, dan Ketua Pegawai Akademik. Dalam pengurusan peperiksaan, MPM mendapat kerjasama daripada KPM UA, Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Cambridge Assessment International Education, United Kingdom dan badan profesional yang berkaitan, serta individu yang mempunyai kepakaran khusus. Selain itu, MPM juga merupakan ahli tetap International Association for Education Assessment (IAEA) sejak tahun 2014.

Sudah terbukti bahawa STPM berjaya membuka laluan kepada banyak belia untuk menggenggam ijazah seterusnya melahirkan individu yang berjaya diiktiraf pada peringkat antarabangsa. Maka itu, saranan Menteri Pendidikan bahawa peperiksaan ini akan diteruskan seharusnya menjadi titik noktah terhadap segala persoalan yang dibangkitkan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.