Oleh Awang Sariyan
18 April 2023, 14:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkasakan Budaya Ilmu: Hak dan Keadilan kepada Masyarakat

 

Dalam Majlis Pelancaran karya agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada tengah hari, 17 April 2023, saya menyampaikan beberapa buah fikiran tentang usaha pemerkasaan budaya ilmu di negara ini, selaras dengan pelaksanaan Malaysia MADANI yang salah satu daripada terasnya ialah budaya ilmu.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyempurnakan Majlis Pelancaran karya agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

YAB Perdana Menteri sendiri telah memperjuangkan budaya ilmu sejak menjadi mahasiswa, khasnya melalui persatuan mahasiswa dan kemudian melalui persatuan bertaraf kebangsaan, iaitu Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Angkatan Beliau Islam Malaysia (ABIM). Apabila beliau mengganggotai jemaah menteri, komitmennya kian ketara, terutamanya melalui kapasiti sebagai pemimpin negara. Kedudukannya sebagai Menteri Pendidikan pada pertengahan tahun 1980-an hingga awal tahun 1990-an meletakkan budaya ilmu sebagai teras utama dalam sistem pendidikan negara, khasnya melalui pengisytiharan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan terjemahannya dalam program-program di sektor pendidikan yang turut melimpah ke sektor lain di negara ini.

Komitmen beliau terhadap budaya ilmu yang terbaharu ialah pengumumannya tentang peruntukan RM20 juta untuk pemerkasaan ilmu alam Melayu dan ilmu sejagat dalam Belanjawan 2023. Inilah kali pertama kerajaan memperlihatkan komitmen yang jelas untuk budaya ilmu, tuntutan yang sudah berdekad-dekad dikemukakan oleh pejuang ilmu dan budaya. Perhatian dan dukungan beliau kepada budaya ilmu secara khusus terkait dengan industri penerbitan buku dan industri kreatif (penerbitan karya pemikir besar sedunia dan alam Melayu, terjemahan dan persuratan, melalui peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan Negara 2023, sebanyak RM5 juta peruntukan untuk mengangkat karya Sasterawan Negara, karya agung dan klasik yang melibatkan khazanah Melayu seperti yang saya sebut lebih awal).

Bahkan dengan mengimbas kembali sejarah DBP, pada tahun 1996 ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau telah meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik DBP sebagai pembekal buku teks sekolah rendah dan sebahagian buku teks sekolah menengah untuk memperteguh kewangan DBP sebagai penggerak aktiviti bahasa, sastera dan penerbitan negara. Dalam kaitannya dengan majlis pelancaran dua buah karya agung terbitan Yayasan Karyawan Malaysia ini, sejarah jelas mencatatkan komitmen beliau dalam merealisasikan penubuhan yayasan itu pada tahun 1983 meskipun ketika itu beliau menjadi Menteri Pertanian.

Dalam upaya pemerkasaan budaya ilmu di negara ini, DBP melaksanakan program penerbitan berpakej dalam kerangka yang melibatkan dua pakej utama. Yang pertama ialah penerbitan berpakej merentas dua kategori ilmu yang utama, iaitu kategori ilmu tanzil atau keagamaan dan kategori ilmu duniawi. Paduan kedua-dua kategori itu menjadi asas budaya ilmu supaya tamadun negara tidak mengalami kepincangan apabila berlaku pemberatan yang tidak seimbang antara ilmu ukhrawi dengan ilmu duniawi. Berdasarkan anatomi bidang ilmu dalam bahasa Melayu yang diusahakan penggubalan istilahnya, terdapat sekitar 300 bidang ilmu induk, subbidang dan subsubbidang ilmu. Tanpa penghasilan karya ilmu, istilah yang berupa kelongsong ilmu itu tidak akan bermakna apa-apa. Maka itu, amat besar tantangan untuk pemerkasaan budaya ilmu yang mencakup ratusan bidang itu, yang sehingga kini memperlihatkan kelompongan yang ketara bagi sejumlah bidang ilmu.

Penerbitan berpakej yang kedua berasaskan keperluan ilmu merentas khalayak menurut usia dan kelompok (seperti dewasa ilmuwan, dewasa umum, remaja dan kanak-kanak). Hal ini ada kaitannya dengan hak dan keadilan memperoleh ilmu bagi semua khalayak dalam masyarakat. Penerbitan yang menjurus kepada pemenuhan hak dan keadilan memperoleh ilmu bagi kelompok tertentu sahaja secara jelas merupakan penafian hak dan keadilan memperoleh ilmu bagi kelompok yang tidak diprogramkan penerbitan bagi mereka. Maka itu, penerbitan berpakej berasaskan khalayak ini perlu menimbangkan strategi penerbitan berperingkat (graded reading materials), sesuai dengan laras bahasa dan gaya persembahan menurut kelompok sasar. Anak didik tidak perlu menunggu sehingga ke peringkat pendidikan tinggi untuk mendapatkan pendedahan tentang ilmu tertentu atau inti sari pemikiran tokoh, seperti al-Kindi, al-Biruni, al-Farabi, al-Ghazali, Socrates, Plato, Aristotle, Rene Descartes, Kung Futze dan sebagainya.

Perancangan dan pelaksanaan penerbitan berpakej ini sekali gus berupaya juga memenuhi ketetapan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Educational Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) agar negara yang maju tahap pendidikannya perlu menerbitkan 0.01 peratus judul tahunan bernisbahkan jumlah penduduk negara. Dengan anggaran 30 juta orang penduduk di negara ini, setiap tahun negara perlu menerbitkan sekurang-kurangnya 30 000 judul terbitan. Tanpa strategi penerbitan berpakej yang melibatkan sinergi semua badan penerbit negara, termasuk Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Yayasan Karyawan Malaysia, penerbit universiti, penerbit badan penyelidikan dan penerbit swasta, cita-cita untuk menghasilkan 30 000 judul terbitan setahun mungkin menjadi utopia belaka.

Berkaitan dengan manuskrip Melayu lama, usaha mengangkatnya sebagai warisan tamadun dan sumber ilmu kearifan watan patut menjadi satu daripada upaya pemerkasaan budaya ilmu. Tidak cukup, malah tidak bererti apa-apa kebanggaan akan adanya puluhan ribu manuskrip Melayu lama yang tersebar di seluruh dunia (termasuk sekitar 5000 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan 400 di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP). Yang sesungguhnya bererti ialah usaha bersinergi dengan semua badan pengajian dan penyelidikan tamadun alam Melayu untuk mengerjakan manuskrip tersebut bagi tujuan diterbitkan dalam bentuk yang dikenal sebagai karya agung dan juga dalam bentuk terbitan turunan, seperti penerbitan digital dan elektronik yang berasaskan industri kreatif (animasi, multimedia, aplikasi, dokudrama, lakon layar atau filem, dan hatta komik). Terbitan pelbagai bentuk turunan itu penting dalam rangka memasyarakatkan kandungan manuskrip Melayu lama kepada pelbagai khalayak. Usaha mengerjakan manuskrip Melayu lama itu juga penting untuk memaknai pengiktirafan UNESCO kepada sejumlah teks sebagai warisan dunia, misalnya Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah, Kitab Bedil, Pantun, Hikayat Panji dan beberapa yang lain. Sebagai warisan dunia, amat penting dianalisis dan diketengahkan kepada masyarakat setempat dan antarabangsa kandungan manuskrip yang mewakili ranah penting tamadun, seperti pensejarahan, ketatanegaraan, undang-undang, perubatan, persenjataan, diplomasi dan segala peri hikayat dan ceritera.

Perancangan dan pelaksanaan yang sebahagiannya telah berlangsung tetapi perlu distrategikan dengan lebih kemas dan intensif meliputi beberapa hal, iaitu:

Yang pertama ialah program pelatihan pentransliterasi Jawi klasik. Kini kemahiran membaca Jawi klasik amat terbatas dan sebagai prasyarat untuk menerbitkan semula manuskrip Melayu lama yang tertulis dalam Jawi klasik, jumlah penyelidik yang cukup diperlukan untuk melakukan alih huruf atau transliterasi. Akademi DBP dan badan lain yang merupakan pemegang kepentingan manuskrip Melayu lama perlu menggerakkan pelatihan secara intensif untuk melahirkan peneliti yang berkemahiran dalam Jawi klasik.

Kedua, perancangan dan pelaksanaan analisis kandungan manuskrip berdasarkan ranah seperti ketatanegaraan, pensejarahan, perubatan dan yang lain-lain. Pemetaan yang tuntas diperlukan. Selain itu, turut diperlukan proses menguasai kodikologi, iaitu kemahiran pemuliharaan manuskrip yang dapat diperoleh daripada sumber tertentu.

Selanjutnya, seperti yang saya sentuh lebih awal, perlu direncanakan penerbitan dalam bentuk karya agung, edisi saduran, edisi yang dipermudah dan bentuk terbitan turunan lain (animasi, multimedia, dokudrama, lakon layar, komik dan bentuk terbitan industri kreatif yang lain), dalam rangka pemasyarakatan di peringkat negara dan dunia. DBP pernah mengemukakan kertas projek bernilai RM35.2 juta kepada kerajaan pada tahun 2021. Mudah-mudahan peruntukan khas untuk tujuan itu dapat juga ditimbangkan oleh kerajaan.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima Kamus Dewan Perdana daripada Pengerusi Lembaga Pengelola DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.