19 Mei 2023, 18:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada tiga peratus pada Rabu, 3 Mei lalu. Dalam prinsip ekonomi makro, tindakan tersebut merupakan sesuatu yang wajar dilakukan bagi kebaikan dan kestabilan ekonomi, khususnya bagi kestabilan ekonomi makro jangka panjang. Kenaikan kadar OPR ini berfungsi bagi mengurangkan tekanan harga dan inflasi, iaitu bagi mengawal aliran wang dalam pasaran bagi mengekang inflasi. Kadar meminjam masyarakat akan menurun, sementara aliran wang dalam pasaran akan menurun dan kuasa beli juga akan menurun. Proses ini dilihat dalam prinsip ekonomi makro mampu membawa kesan positif terhadap ekonomi negara.

Dengan kadar OPR yang tinggi, kadar bayaran balik pinjaman akan meningkat. Situasi ini tidak memungkinkan sebarang pinjaman baharu anggota masyarakat kerana bakal berdepan dengan kadar tanggungan yang lebih tinggi. Pinjaman yang sedia ada akan menerima impak akibat kenaikan OPR, iaitu kadar bayaran balik pinjaman yang bertambah tinggi daripada sebelumnya. Pada prinsipnya, keadaan ini akan menggalakkan masyarakat untuk melakukan simpanan atau tabungan kerana kadar pulangan yang lebih tinggi.

Apabila masyarakat mempunyai simpanan yang lebih tinggi ( rentetan daripada pulangan yang lebih tinggi ditawarkan), maka aliran wang dalam masyarakat akan berkurangan. Hal ini dapat mengurangkan kadar inflasi. Inflasi merujuk aliran wang yang banyak mengejar barangan yang sedikit. Sebagai contoh, apabila aliran wang dalam masyarakat semakin kurang, maka kadar inflasi dapat dibendung. Prinsip umum ekonomi makro mendapati bahawa kestabilan akan berlaku apabila jumlah aliran wang dalam masyarakat selari dengan barangan yang dikeluarkan. Ekonomi makro akan berada dalam keadaan stabil, iaitu inflasi dapat dikawal, tabungan meningkat, pelaburan bertambah dan ekonomi pada umumnya akan berada dalam keadaan yang lebih baik.

Persoalan yang timbul dan perlu difikirkan sekarang ialah adakah prinsip asas ekonomi makro seperti yang dibincangkan di atas benar-benar mampu membawa kebaikan dan keadaan ekonomi yang lebih baik? Proses pembentukan ekonomi makro yang lebih baik seperti yang dinyatakan di atas boleh berlaku dengan beberapa andaian iaitu, kadar pengangguran yang rendah dan dalam keadaan kadar guna tenaga penuh. Adakah hal ini berlaku dalam negara kita sekarang? Berapa peratuskah kadar pengangguran yang sedang dialami sekarang? Bagaimanakah dengan kadar guna tenaga? Adakah kita berada dalam keadaan guna tenaga penuh? Semua ini mempunyai hubungan rapat dengan pendapatan agregat masyarakat.

Bagaimanakah boleh berlakunya peningkatan kadar tabungan jika pendapatan masyarakat kecil? Perbelanjaan asas anggota masyarakat kepada barangan keperluan adalah lebih penting daripada tabungan. Tabungan boleh berlaku sekiranya perbelanjaan keperluan asas sudah dipenuhi dan pendapatan agregat masyarakat berada dalam keadaan optimum. Tidak mungkin anggota masyarakat melakukan tabungan (walaupun dengan kadar pulangan yang tinggi) sekiranya keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pengangkutan tidak dipenuhi. Andaian ekonomi makro ini tidak tepat dalam semua keadaan. Proses dan aplikasi ekonomi makro yang cuba digerakkan mesti bersyarat dengan beberapa andaian asas yang tepat. Andaian itu sangat penting dan perlu diasaskan dengan tepat. Contoh mudah kesan daripada kenaikan OPR berlaku apabila kenaikan bayaran pinjaman perumahan dan bayaran bulanan kenderaan.

Dengan kenaikan kadar OPR yang baharu ini kepada tiga peratus, maka kadar bayaran bulanan pinjaman rumah dan kereta akan meningkat. Apakah kesannya kepada pengguna umum? Pendapatan boleh guna didapati akan menurun. Tempat tinggal dan kenderaan keperluan asas merupakan aspek yang tidak boleh dikesampingkan. Mahu tidak mahu, bayaran bulanan pinjaman perumahan dan kereta mesti diteruskan. Adakah sebahagian besar masyarakat boleh meningkatkan simpanan dalam keadaan ekonomi sekarang? Jawapan mudahnya sebahagian besar adalah tidak mungkin. Adakah prinsip ekonomi makro ini tepat dan membawa kebaikan kepada sebahagian besar masyarakat kita dalam keadaan ekonomi sekarang?

Sekarang masyarakat sedang melakukan penyesuaian akibat daripada pandemik COVID-19. Kedudukan pendapatan isi rumah dan perjalanan ekonomi masih lagi belum pulih dengan sempurna. Walaupun terdapat petanda bahawa akan berlakunya pertumbuhan ekonomi negara, tetapi hal tersebut diandaikan tidak berlaku secara menyeluruh kepada seluruh anggota masyarakat. Masih ramai yang hidup dalam kesusahan dan perlu sedikit masa lagi bagi memulihkan keadaan. Mungkin ada sektor tertentu yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi negara.

Petunjuk ekonomi makro ini tidak memberi makna yang benar-benar tepat kepada semua isi rumah. Hal ini disifatkan sama seperti konsep pertambahan pendapatan per kapita yang meningkat, iaitu tidak bermakna semua anggota masyarakat mengalami peningkatan pendapatan. Jumlah pendapatan negara dibahagikan dengan jumlah penduduk, maka dapatlah hasil pendapatan per kapita. Hal ini tidak benar-benar membayangkan pendapat sebenar rakyat secara keseluruhan. Perkiraan pendapatan per kapita ini sudah tidak lagi tepat digunakan bagi melihat kedudukan sebenar taraf hidup sesebuah negara. Dalam hal pengukuran tepat pendapatan per kapita, ukuran berasaskan keperluan asas lebih sesuai digunakan. Perbandingan yang sama juga boleh digunakan bagi menterjemahkan pertumbuhan ekonomi negara. Pertumbuhan ekonomi yang berlaku tidak boleh dijadikan asas bagi mengubah polisi ekonomi makro negara kerana pertumbuhan ekonomi itu mungkin dipacu oleh beberapa sektor tertentu, bukannya oleh kesemua sektor.

Secara umumnya negara sedang menyusun dan membina semula kedudukan ekonomi dan keselesaan hidup rakyat selepas era pandemik. Dasar ekonomi makro seperti kenaikan kadar OPR perlu dilihat dengan lebih teliti. Adakah hal ini akan membawa kebaikan kepada rakyat umum yang sesetengahnya masih dalam keadaan susah dan tersepit? Tidak dinafikan, penyusunan dan kestabilan ekonomi serta dasar baharu makro seperti kenaikan kadar OPR merupakan kaedah yang perlu dilakukan. Namun begitu, pada masa ini kaedah ini belum benar-benar sesuai dan perlukan sedikit masa lagi. Walaupun dikatakan sebagai polisi dan dasar Bank BNM, tetapi terdapat sebahagian rakyat yang tidak dapat menerimanya.

Pada masa yang sama, penentuan arah sokongan politik dan keputusan pengundi dalam pilihan raya juga melibatkan keputusan berasaskan persepsi pengundi. Dalam keadaan Pilihan Raya Negeri yang bakal berlangsung di enam buah negeri yang akan menjelang tidak lama lagi, adakah isu OPR ini akan mampu mempengaruhi dan akan memberikan kesan kepada keputusan pengundi? Kerajaan sekarang perlu bertindak dengan lebih tepat kerana tidak semua rakyat faham erti dan operasi ekonomi makro, lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan ekonomi makro dan maksud kestabilan ekonomi jangka panjang. Perkara asas yang rakyat umum fikirkan sudah pasti melibatkan kepentingan “perut” masing-masing dan keperluan asas semasa yang belum lagi dipenuhi. Prinsip ekonomi makro, jangka panjang dan kestabilan ekonomi perlu berasaskan realiti semasa. Tidak semua prinsip ekonomi dapat dilakukan dengan tepat dalam semua masa dan keadaan. Penyesuaian dan realiti semasa perlu diambil kira bagi mendatangkan hasil yang lebih sesuai dan diterima umum bagi kesejahteraan masyarakat.

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Yazid, Felow Penyelidik Kanan,Institut Kajian Orang Asal Borneo, Universiti Malaysia Sabah,Kota Kinabalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.