Oleh Normasiska Noor
22 Mei 2023, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Belia merupakan aset berharga yang bakal menentukan kemajuan negara.

Bermula tahun 2019, belia  di Malaysia didefinisikan sebagai anak muda yang berusia tidak lebih daripada 30 tahun. Sebelum tahun 2019, had umur belia di negara ini adalah sehingga berusia 40 tahun. 

Hal itu dinyatakan menerusi Rang Undang-undang Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang bertujuan untuk menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Pindaan itu pada akhirnya diluluskan oleh Dewan Negara pada Julai 2014, selepas sebanyak 14 orang Senator  mengambil bahagian dalam sesi perbahasaan. 

Sehingga tahun 2022, jumlah belia yang berusia 15 tahun hingga 30 tahun di negara ini mencecah 7.8 juta orang daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 32.7 juta orang. Jumlah itu sudah cukup besar untuk menunjukkan akan kepentingan golongan ini kepada negara. 

Maka itu, terlalu banyak perbincangan dan perdebatan berhubung dengan peranan penting belia di negara ini dianjurkan sebagai usaha memastikan peranan belia sebagai pemacu pertumbuhan negara terus diperkukuh. 

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pernah bertitah bahawa belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab yang lebih besar dalam agenda membina negara. 

Tiada yang menafikan bahawa golongan belia ialah aset yang  menjadi penentu masa hadapan sesuatu masyarakat dan negara. Dalam hal ini, pentingnya belia bukan sahaja terletak kepada jumlah mereka dan sebagai tenaga utama dalam masyarakat, tetapi dari segi peranan mereka sebagai penyambung antara satu generasi dengan satu generasi yang mendatang. 

Sejak kemerdekaan, belia negara telah mengambil berperanan yang penting dalam menyumbang kepada proses pembinaan dan pembangunan negara. Sumbangan ini meliputi segala aspek baik dari segi politik, ekonomi, sosial, budaya atau pendidikan. Hal ini dikatakan demikian kerana belia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan negara ini. 

Maka itu, sebagai menghargai dan mengangkat sumbangan belia kepada negara, tarikh 15 Mei pada setiap tahun dipilih sebagai Hari Belia Negara yang bertujuan untuk memberikan pengiktirafan tertinggi negara kepada anak muda Malaysia. 

Selain pelbagai program dan sambutan Hari Belia Negara yang diadakan pada peringkat agensi dan negeri, pada 19 Mei 2023, banyak masjid turut mengangkat peranan belia ke dalam teks khutbah Jumaat. Selain itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, juga turut memperkenan golongan belia di Perak diberi penghormatan membaca khutbah Jumaat di beberapa buah masjid bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini, dalam kenyataannya berkata perkenan itu adalah bagi mengiktiraf peranan penting generasi berkenaan kepada negara.

“Baginda telah menitahkan supaya khutbah Jumaat di negeri Perak pada 19 Mei 2023 bertemakan ‘Belia Pewaris Negara Bangsa’,” ujar beliau. 

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menghebahkan teks Khutbah Jumaat bertajuk “Belia Permata Negara” yang dibaca pada 19 Mei 2023 yang menjelaskan bahawa belia merupakan generasi yang amat penting dan menjadi aset bernilai  kepada negara. Kekuatan dan potensi mereka dalam membangunkan serta  memacu kemajuan negara tidak dapat dinafikan. 

Memasuki era cabaran baharu dunia moden kini khususnya Revolusi  Industri 4.0, para belia harus menyedari bahawa perkembangan teknologi  seperti Kecerdasan Buatan (AI), kemajuan Internet Benda (IoT) dan  penggunaan robotik sedang mengambil alih sebahagian peranan manusia. Maka itu, generasi belia harus bersiap sedia menghadapinya dengan menerokai  pelbagai ilmu, mempelajari kemahiran yang sesuai dengan kehendak  semasa, bersikap positif terhadap perubahan zaman dan memiliki sahsiah  yang mulia di samping memperkukuhkan keimanan agar tidak hanyut dalam  kelekaan sehingga tergelincir daripada petunjuk agama.  

 Oleh itu, semua pihak sama ada kerajaan mahupun bukan kerajaan, ibu bapa  mahupun masyarakat harus berganding bahu memainkan peranan dan  tanggungjawab agar dapat membina jati diri dan modal insan para belia  permata negara.

Inti pati teks Khutbah Jumaat itu juga mengingatkan bahawa perkara utama yang harus dititik beratkan adalah pembangunan ilmu  pengetahuan sama ada bersifat ukhrawi mahupun duniawi. Ilmu ialah asas  petunjuk kepada kebenaran bagi mencapai kesejahteraan hidup manusia. Hal ini menjadi kayu ukur sama ada sesuatu perkara yang dilakukan seseorang  itu benar atau salah. Oleh itu, para belia mestilah bersungguh-sungguh  mencari ilmu pengetahuan sebagai pedoman kehidupan di dunia untuk  mencapai kebahagiaan di akhirat. Dalam masa yang sama, pelbagai  kemahiran mestilah diterokai oleh para belia seperti keusahawanan,  kepimpinan, teknologi dan sebagainya. 

Tidak dinafikan, banyak cabaran  yang harus dihadapi pada usia belia, iaitu sama ada berpunca daripada  ancaman dan anasir luar atau disebabkan juga oleh kelemahan diri.  Sains dan teknologi tidak seharusnya disalahkan tetapi teknologi itu sewajarnya dilihat sebagai pemacu dalam kemajuan diri, bangsa dan negara. 

Pada hakikatnya, sains dan teknologi berkembang di seluruh dunia dan tidak ada mana-mana negara maju yang menafikan bahawa teknologi menjadi penggerak utama kemajuan mereka. Percayalah bahawa belia yang menolak kemajuan teknologi tidak akan mampu bersaing apatah lagi ke peringkat antarabangsa. Bermusuh dengan teknologi hanya akan merugikan kita, sedangkan belia di serata dunia telah membuktikan bahawa mereka mampu meraih kejayaan, malah banyak dalam kalangan belia yang bergelar jutawan hanya dengan bermodalkan sains dan  teknologi secara dalam talian.

Selain itu, yang turut disentuh ialah Aspek kesihatan jasmani dan mental juga amat penting bagi  seseorang belia. Pada usia muda, mereka mestilah mengamalkan  pemakanan yang halal lagi baik dan menyihatkan, melakukan aktiviti  senaman, menjauhkan diri daripada arak dan dadah, mengurus emosi  dengan baik dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan tekanan  hidup. Inilah gaya hidup yang mesti diamalkan bagi menjamin kesejahteraan  dan kehidupan. 

Bertemakan “Ini Masa Kita”, sambutan Hari Belia Negara 2023  mengingatkan belia di negara ini betapa berharganya masa muda yang perlu  dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin. Hal ini dikatakan kerana masa muda inilah waktu yang terbaik  untuk belia di negara kita tampil melalui pelbagai ruang dan peluang yang  ada bagi bersama-sama menyumbang ke arah kemajuan negara. 

Sementara itu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman ucapan video bersempena dengan Hari Belia Negara 2023, mengingkatkan bahawa  sambutan Hari Belia Negara 2023 bukanlah sekadar sambutan biasa, sebaliknya memberi lonjakan semangat dan ruang kepada anak muda Malaysia untuk bersuara dengan lebih berkesan. Tambah Perdana Menteri lagi, sambutan itu juga mengingatkan golongan berkenaan bahawa mereka ialah pemimpin kini dan masa depan.

Hari Belia Negara merupakan  kesempatan mengangkat semula martabat belia, mengingatkan mereka bahawa mereka ialah  pemimpin kini dan masa hadapan, serta memberi ruang untuk mengemukakan masalah kepada pihak yang bertanggungjawab 

“Sebagai anak muda, kita punya tanggungjawab, kita kena berfikir, menilai, kita harus sedar bahawa untuk jadi manusia yang berguna kepada keluarga dan negara, kita harus mulakan dengan persiapan keyakinan, ilmu, amal dan tindakan,” ucap Perdana Menteri. 

Hari Belia Negara yang disambut pada 15 Mei setiap tahun merupakan satu pengiktirafan tertinggi negara kepada anak muda Malaysia. Sambutan peringkat kebangsaan pada tahun ini akan diadakan pada 28 Mei 2023, di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan.

Peranan belia Malaysia menjadi tumpuan besar pada tahun 2022 apabila golongan itu, khususnya yang berusia 18 tahun diberikan hak untuk mengundi buat pertama kalinya setelah kerajaan melaksanakan undi 18. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, sebanyak 1.2 juta orang pengundi merupakan pengundi muda yang berusia 18 tahun hingga 20 tahun. Penurunan had umur mengundi itu juga bukan sahaja mencatat sejarah dalam sistem demokrasi negara, malah membuka lembaran baharu dalam landskap politik negara yang menyaksikan kelompok umur 18 tahun ini diberikan hak mengundi buat pertama kali. Kini, belia bukan sahaja menjadi penyambung kemajuan dan pembentukan negara, tetapi penentu landskap politik negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.