Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIndustri pembuatan automatif Malaysia masih menghadapi isu kekurangan pekerja. Situasi ini sedikit sebanyak telah menjejaskan ekosistem pembuatan automotif nasional, sekali gus memberikan kesan yang teruk kepada rantaian bekalan automotif, khususnya dalam industri pembuatan komponen. Industri pembuatan automatif memerlukan pengoperasian 100 peratus untuk membina sebuah kereta yang mempunyai 20 000 hingga 25 000 komponen secara keseluruhannya. Walaupun hanya 0.1 peratus sahaja vendor yang tidak dapat beroperasi kerana kekurangan pekerja, namun keseluruhan barisan pengeluaran yang membabitkan ribuan pekerja lain akan turut terjejas. Oleh itu, pengeluaran tidak boleh bergerak mengikut sasaran. Keadaan ini menyebabkan banyak pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan kenderaan mereka selepas membuat pesanan dengan tempoh menunggu maksimum, antara empat hingga ke enam bulan, tetapi ada juga pembeli yang terpaksa menunggu sehingga ke sembilan bulan. Perkara ini merupakan antara isu serius yang sedang dihadapi oleh industri pembuatan automatif Malaysia dan menjejaskan pemulihan ekonomi industri. Disebabkan oleh kekurangan pekerja, kos tenaga kerja juga meningkat daripada RM80 sehari pada tahun 2022 kepada RM125 sehari pada tahun 2023. Perkara ini telah mengakibatkan pusing ganti atau pembaziran yang lebih tinggi kepada pemain industri.
Keadaan semakin terjejas apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) menyasarkan untuk mengurangkan pekerja asing sehingga mencapai tahap sifar pekerja asing dalam industri automotif. Hal ini bagi membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan untuk mengisi kekosongan pekerja asing berkenaan. Pada ketika ini, terdapat kira-kira 220 ribu orang pekerja dalam industri automotif yang bekerja dengan vendor dan 70 ribu daripadanya adalah pekerja asing. Langkah pengurangan pekerja asing dalam industri pembuatan automotif sudah mula dilaksanakan sejak tahun 2014. Sejak itu, sebanyak lebih kurang 32 ribu orang pekerja asing telah digantikan dengan pekerja tempatan. Selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, langkah ini juga dapat mengurangkan kos latihan, kos levi pekerja asing dan kos pasport kepada pemain industri. Oleh itu, secara keseluruhannya, mengambil pekerja tempatan adalah lebih kompetitif berbanding dengan pekerja asing.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pembekal Perodua, berkata industri ini telah dilengkapi dengan kemudahan latihan untuk pekerja terutamanya kepada penduduk tempatan, tetapi malangnya mereka berhenti hanya dalam beberapa bulan sahaja. Hal ini telah memberikan cabaran kepada vendor kerana perlu memberikan kemahiran tambahan kepada pekerja dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan. Namun begitu, kini timbul pula persoalan tentang, adakah pekerja tempatan berhenti disebabkan oleh industri pembuatan automotif menawarkan gaji yang tidak setimpal, terutamanya sewaktu negara sedang mengharungi kos sara hidup yang tinggi? Penganalisis automotif menggesa industri agar menyemak semula aspek gaji dengan menjadikannya lebih adil sebagai jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja industri tersebut. Langkah meningkatkan gaji amat penting bagi industri menarik bakat atau minat pekerja yang sedia ada dalam negara. Hal ini memerlukan syarikat dalam industri mengusahakan pelan perniagaan yang lebih kompetitif bagi meningkatkan margin keuntungan, seterusnya dapat membayar gaji lebih menarik kepada pekerja. Pengeluar kereta perlu bersungguh-sungguh melancarkan model baharu dengan margin yang lebih tinggi agar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pasaran.
Pada hakikatnya, industri pembuatan automotif tempatan mempunyai kekurangan skala dan produk yang kompetitif untuk melabur dalam automasi. Oleh itu, wujudnya kebergantungan kepada tenaga pekerja yang murah. Automasi sentiasa menjadi sebutan sebagai jalan penyelesaian setiap kali timbulnya isu mengenai produktiviti. Mungkin juga sudah tiba masanya untuk kita meneliti semula pengaturan modus operandi semasa industri sama ada masih mampan atau sebaliknya. Selepas itu, perlu juga diteliti sama ada terdapat jurutera atau juruteknik dalam kalangan warga tempatan yang mencukupi untuk menampung keperluan industri. Mungkinkah wujud jurang kemahiran dalam kalangan pekerja tempatan? Apakah langkah bagi mengurangkan jurang tersebut? Adakah langkah untuk meleraikan isu tersebut sudah diambil? Kemungkinan juga jalan penyelesaian akhir terletak kepada sikap pekerja tempatan terhadap kerja berkenaan. Realitinya, untuk mendapatkan gaji yang lebih, memerlukan masa yang lama. Sebagai pekerja misalnya, kita perlu menunjukkan keupayaan diri yang mampu melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan baik dan teratur. Hal ini demikian kerana pada akhirnya usaha untuk mendapatkan gaji tertentu adalah berdasarkan kepada kemahiran yang boleh ditawarkan dari semasa ke semasa.
Presiden Persatuan Pembekal Proton juga menyatakan bahawa industri memerlukan pekerja asing. Pengambilan pekerja asing tidak mengganggu ekosistem industri pembuatan automotif bagi rakyat tempatan yang ingin mendapatkan peluang pekerjaan. Beliau menambah bahawa industri ini sudah melakukan banyak usaha untuk mengambil pekerja dalam kalangan rakyat tempatan walaupun kebanyakan mereka sering meletakkan jawatan dalam tempoh enam hingga 12 bulan selepas diambil bekerja.
Kekurangan pekerja menyebabkan pengeluar alat ganti automotif kerugian lebih RM2 bilion. Pengeluar alat ganti automotif berdepan kerugian kira-kira RM2 bilion dalam eksport setahun disebabkan oleh kesan daripada kekurangan tenaga pekerja sejak dua tahun lalu. Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA) berkata, kerugian itu juga disebabkan oleh pengeksport terpaksa menolak tempahan berikutan beroperasi pada tahap 70 peratus daripada kapasiti pemasangan kilang. Katanya, pihak industri alat ganti automotif bimbang jika perkara itu berlarutan, akan memberikan kesan kepada sumbangan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Setiap tahun, industri ini menyumbang sebanyak dua peratus kepada KDNK, iaitu lebih kurang sebanyak RM26.2 bilion. Selain itu, industri ini juga mengeksport kira-kira RM5 bilion alat ganti, tidak termasuk tayar, kepada lebih 60 buah negara di seluruh dunia setahun. Kesan kelembapan operasi itu juga turut menjejaskan kelewatan dalam penghantaran kenderaan. Kekurangan tenaga kerja yang serius secara tidak langsung boleh menjejaskan pemulihan ekonomi industri kerana pengilang tidak mampu mengeluarkan produk pada kapasiti yang lebih tinggi. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, lebih ramai pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki kenderaan masing-masing. Untuk rekod, pada ketika ini permintaan kereta di Malaysia telah melebihi bekalan. Permintaan melebihi bekalan disebabkan oleh tempahan kenderaan yang tertunggak masih kekal tinggi.
Laporan kesan kekurangan pekerja asing dalam industri pembuatan automotif negara jelas menunjukkan betapa kuatnya pengaruh dan peranan pekerja asing dalam proses pembangunan ekonomi negara. Pada ketika ini, ekosistem industri pembuatan automotif menunjukkan kemungkinan berlakunya kehilangan lebih 500 ribu orang pekerja dan menghapuskan sehingga 4.5 peratus KDNK negara sekiranya isu tenaga kerja dalam industri ini tidak ditangani dengan segera. Hal ini sekali gus membawa kepada persoalan, adakah tenaga kerja asing yang mengawal ekonomi negara selama ini? Rungutan daripada pemain industri seolah-olah mengakui telahan bahawa industri pembuatan automotif sebenarnya terlalu bergantung kepada tenaga pekerja asing. Oleh itu, sampai bilakah industri mahu membiarkan keadaan ini berlarutan dan membiarkan pekerja asing menjadi penentu kepada pembangunan ekonomi negara? Adakah usaha untuk membenarkan kehadiran pekerja asing akan menyelesaikan masalah tersebut?
Pada masa yang sama, isu tentang keengganan warga tempatan bekerja dalam industri automotif perlu diteliti dan ditangani secara efisien. Jika tidak, kita akan terus bergantung harap kepada pekerja asing untuk selama-lamanya. Antara rungutan daripada pihak majikan termasuklah, pekerja tempatan yang tidak berminat untuk bekerja dalam bidang tertentu, khususnya dalam sektor 3D, iaitu kotor, bahaya dan sukar, seperti di industri automotif walaupun diberikan pelbagai ganjaran dan kemudahan. Sebagai contoh, walaupun ditawarkan gaji RM1500 dengan pelbagai kemudahan lain seperti tempat tinggal dan makanan secara percuma, rakyat tempatan masih tidak berminat menerima pekerjaan tersebut.
Dalam situasi ini, kita tidak boleh menyalahkan majikan lagi atas alasan mereka tidak mahu mengambil pekerja rakyat tempatan, sebaliknya kita perlu mengkaji kenapakah rakyat tempatan masih menolak untuk bekerja dalam industri seperti ini. Tiada gunanya kita membuka dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tetapi pada akhirnya terpaksa diisi oleh pekerja asing. Persoalan yang masih tiada jawapan yang jelas ialah kenapakah anak tempatan tidak mahu bekerja dalam bidang tersebut sedangkan tawaran gaji semakin menarik?