Oleh Suyuthi Yusuf
31 Mei 2023, 18:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus komited menerbitkan bahan bacaan bermutu tinggi untuk pelbagai lapisan masyarakat dan dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang pendidikan.

Usaha tersebut diteruskan lagi dengan penerbitan 31 judul buku sokongan pendidikan menerusi Bahagian Buku Sekolah, Jabatan Penerbitan DBP yang meliputi pelbagai mata pelajaran yang diajarkan di sekolah rendah dan di sekolah menengah berdasarkan kurikulum dan sukatan pelajaran yang sedang diguna pakai.

Penerbitannya dimeriahkan lagi dengan majlis pelancaran buku sokongan pendidikan tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 pada petang tadi.

Menerusi ucapan pelancaran, YB Fadhlina merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada DBP dan para penulis kerana berjaya menghasilkan dan seterusnya menerbitkan buku sokongan pendidikan yang berkualiti tinggi. Ujarnya lagi,

Hubungan antara ‘keluarga besar KPM’ dengan ‘keluarga besar DBP’ diperkukuhkan lagi dengan penerbitan buku sokongan pendidikan ini. Komitmen 37 orang penulis yang terdiri daripada para guru yang berpengalaman membuktikan bahawa guru merupakan peneraju dalam membentuk budaya membaca.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa menyatakan rakaman penghargaan dan ucapan terima kasih kepada DBP dan para penulis kerana berjaya menghasilkan buku sokongan pendidikan.

Selanjutnya, beliau juga menyatakan harapan agar sokongan dan dukungan terus diberikan kepada DBP dalam mempergiat penghasilan bahan bacaan yang berkualiti tinggi kepada masyarakat. Jelasnya lagi,

DBP mempunyai pengalaman yang cukup panjang dalam pembinaan ilmu, keintelektualan, dan penghasilan buku yang bermutu.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi semasa menyempurnakan gimik pelancaran penerbitan buku sokongan pendidikan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Encik Zulfa Hamzah semasa memberikan ucapan alu-aluan.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek bersama-sama dengan pengurusan tertinggi KPM sedang membelek-belek buku sokongan pendidikan.

Dalam ucapan alu-aluan, Encik Zulfa Hamzah selaku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) menyatakan bahawa usaha DBP dalam menerbitkan buku teks sekolah diperkukuhkan lagi dengan penerbitan buku sokongan pendidikan ini yang menjadi nilai tambah kepada buku teks yang sudah sedia ada untuk keperluan murid dan guru. Terangnya,

Buku sokongan pendidikan ini meliputi pelbagai aspek seperti buku aktiviti, buku panduan, nota padat, latihan dan bacaan tambahan yang menyokong pembelajaran di sekolah.

Pengarah Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa (enam dari kiri, berbaju hitam) bersama-sama dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme KPM, YBhg. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali Hussin (empat dari kanan, berbaju merah jambu) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan dengan para editor Bahagian Buku Sekolah yang bertungkus-lumus menghasilkan buku sokongan pendidikan.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Hj. Pkharuddin Hj. Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Pembangunan Profesionalisme KPM, YBhg. Tuan Haji Shafruddin Haji Ali Hussin; mantan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.