Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dasar Pendidikan Digital yang sudah dipersetujui oleh Jemaah Menteri bakal melahirkan guru dan murid yang fasih digital”, jelas Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek semasa berucap merasmikan Majlis Digital Utilisation and Technology Awards 2022 (DUTA 2022) di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan pada petang tadi. Hal ini dikatakan demikian kerana menurut beliau, pelaksanaan dasar tersebut berupaya menoktahi kemiskinan digital murid.
Beliau juga berkata bahawa Dasar Pendidikan Digital ini secara tidak langsung akan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang canggih, maju dan terkehadapan dalam membina murid yang berdaya saing dan kreatif. Terangnya lagi,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan agensi, pihak dan kementerian yang berkaitan, khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital. Kerjasama yang dilakukan ini akan melibatkan pelbagai aspek, khasnya yang berkaitan dengan infrastruktur.
Selain itu, beliau juga menyatakan bahawa dalam mengurangkan jurang digital murid ini, perkara yang berkaitan dengan infrastruktur amatlah penting untuk dititikberatkan. Hal yang berkaitan dengan akses dan peranti digital akan diberikan tumpuan oleh KPM bagi memastikan dasar ini dilaksanakan secara berkesan dan seterusnya melahirkan generasi murid yang kalis masa hadapan. Jelasnya,
Tidak ada murid dan sekolah yang akan terpinggir dalam Dasar Pendidikan Digital ini.
Selanjutnya, dalam mengejar dunia teknologi dan digital ini, beliau juga berkesempatan menitipkan pesan bahawa tumpuan terhadap modal insan atau manusiawi juga harus diberikan keutamaan. Perkara ini juga bertepatan dengan gagasan yang terdapat dalam konsep MADANI, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Daya Cipta. Ujarnya apabila memperkatakan hal tersebut,
Dalam kita meraikan teknologi dan dunia digital, tumpuan juga harus diberikan terhadap pembinaan pendidikan berteraskan manusiawi dan insani. Ia harus berjalan seiringan.

Selain itu, dalam majlis yang sama juga, beliau berkesempatan memberikan anugerah DUTA 2022 kepada para murid, guru, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri. Anugerah DUTA 2022 dibahagikan kepada empat kategori, iaitu kategori Anugerah Pusat Sumber Sekolah, Anugerah Pendidikan Digital, Anugerah Ikon Guru Digital dan Anugerah Ikon Murid Digital.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Ramzi Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, YBhg. Dr. Ahmad Rafee Che Kassim, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), YBrs. Zainal Abas, Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, dan YBrs. Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.