Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – “Jika diberikan peluang, saya ingin belajar di luar negara dalam bidang kejuruteraan. Universiti pilihan saya banyak, antaranya termasuklah Universiti Cambridge dan Imperial College London, tetapi pilihan utama saya ialah Universiti Stanford,” ujar Yiek Siew Hao dengan keceriaan yang tergambar di wajahnya apabila memenangi Anugerah Ikon Murid Digital, Kategori Pembangunan Perisian dalam Majlis Digital Utilisation and Technology Awards 2022 (DUTA 2022) di Auditorium Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, pada petang semalam.
Anugerah DUTA 2022 tersebut merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada murid, guru, sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pendidikan negeri atas pemerkasaan penggunaan teknologi secara inovatif, kreatif dan beretika dalam pengajaran dan pembelajaran selain melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang juga turut menyatakan harapan agar kecemerlangan dan kejayaan dalam dunia teknologi dan digital tersebut diteruskan selari dengan Dasar Pendidikan Digital yang bakal dilaksanakan.
Sebelum ini, Yiek Siew Hao, pelajar dari SMK Bintulu, Sarawak juga pernah memenangi anugerah global National Aeronautics and Space Administration (NASA) Space Apps Challenge 2021 bersama-sama dengan rakan sekolahnya yang lain, iaitu Edwin Ting, Isaac Yong, Jayden Lu, dan Sean Lee.

Hasil kreatif dan inovasi mereka dalam membangunkan aplikasi mudah alih berkaitan dengan pemantauan terhadap pengeluaran elektrik di rumah selain boleh menganggarkan penjimatan elektrik membolehkan mereka memenangi anugerah dari NASA tersebut. Aplikasi yang kreatif dan inovatif tersebut dirangka oleh mereka dengan menggunakan data meteorologi daripada NASA. Ujarnya berkaitan dengan anugerah NASA tersebut,
Saya berasa bertuah dan berbangga kerana dapat menaikkan nama negara di mata dunia. Sebelum ini, tidak pernah ada rakyat Malaysia yang pernah memenangi anugerah NASA Space Apps Challenge tersebut.
Kemenangan Yiek dengan rakan-rakannya tersebut membolehkan mereka berkunjung ke ibu pejabat NASA di Washington DC, Amerika Syarikat. Beliau menyatakan bahawa kunjungan tersebut banyak memberikannya pengalaman dalam aspek pertukaran budaya (cultural exchange) berkaitan dengan hal kejuruteraan.

Yiek, yang ingin mengikut jejak langkah bapanya menjadi seorang jurutera, berkesempatan mengatakan kepada wartawan JendelaDBP bahawa beliau sekarang sedang membangunkan sebuah perisian yang memudahkan orang ramai untuk parkir kereta. Ujarnya,
Projek saya yang seterusnya ialah membangunkan perisian apa yang saya panggil sebagai ”easy park”. Aplikasi tersebut akan memudahkan pengguna (user) aplikasi tersebut untuk parkir kereta selain penggunaannya yang bersifat mesra alam (environmental friendly).
Minat beliau terhadap kejuruteraan dan teknologi timbul kerana dorongan daripada bapanya sendiri serta kegemarannya bermain permainan lego.
Apabila saya mula masuk sekolah, saya sudah mula mengaktifkan diri dengan terlibat dalam banyak pertandingan inovasi. Pada mulanya, saya tidak banyak memenangi pertandingan tersebut, tetapi dengan pengalaman dan sokongan guru, saya lebih bekerja keras dengan rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama.
Yiek juga berharap agar kejayaan beliau tersebut mendorong rakan sebayanya yang lain untuk terlibat bersama-sama dalam merangka dan mencipta aplikasi yang boleh memberikan manfaat dan faedah kepada masyarakat dalam kehidupan seharian.