Diterbitkan pada 13 Julai 2023, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan bergambar kenang-kenangan dengan para pelajar terbaik STPM 2022 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia.

Selayang – “Peningkatan Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 secara tidak langsung menafikan persepsi ramai yang mengatakan bahawa STPM merupakan peperiksaan yang sukar”, jelas YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan semasa berucap dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2022 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, pada tengah hari tadi.

YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia sedang memberikan penerangannya berkaitan dengan peningkatan PNGK STPM bagi tahun 2022.

Menurut YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia yang juga merupakan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, peningkatan PNGK Nasional meningkat dari 2.79 peratus pada tahun 2021 kepada 2.82 peratus pada tahun 2022. Peningkatan tersebut merupakan pencapaian tertinggi STPM yang pernah direkodkan.

YB Fadhlina Sidek menyatakan bahawa KPM komited dalam menjadikan STPM sebagai pilihan utama pelajar.

Mengulas rumusan pencapaian tersebut, YB Fadhlina juga mengatakan bahawa STPM merupakan peperiksaan yang berprestij kerana peperiksaan tersebut bertaraf dunia setara dengan GCE Advanced Level dan juga turut diiktiraf oleh Cambridge Assessment International Education. Jelasnya lagi,

Peningkatan PNGK ini juga menjelaskan bahawa STPM bukannya merupakan peluang kedua dan untuk pelajar yang tidak dapat masuk universiti, tetapi merupakan sebuah peperikasaan yang berprestij dan membuka banyak ruang untuk pelajar menyambung pengajian sama ada di dalam negara atau luar.

Selain itu, beliau juga menyatakan komitmen bahawa KPM akan terus menjadikan STPM ini menjadi pilihan pelajar.

Selanjutnya, sebanyak 1184 (2.84 peratus) calon telah mendapat PNGK 4.00. Daripada jumlah itu, sebanyak 1009 calon merupakan dari golongan B40. Hal tersebut juga membuktikan bahawa pelajar yang tergolong dalam B40 mampu melakukan perubahan dan seterusnya mengangkat diri mereka cemerlang dengan kejayaan yang dicapai.

YB Fadhlina sedang menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 kepada Muhammad Afdhal Danish, pelajar dari Kolej Tingkatan Enam Sallehuddin, Alor Setar.
YB Fadhlina sedang menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 kepada Muhammad Amir Faris (calon berkeperluan pendidikan khas), pelajar dari ST. John’s Institution, Kuala Lumpur.

Selain itu, YB Fadhlina juga menerangkan bahawa Kolej Tingkatan Enam akan dijenamakan semula kepada Kolej Pra Universiti. Selari dengan itu, KPM juga akan meneliti semula kelonggaran syarat bagi rayuan kemasukan ke Tingkatan Enam. Ujarnya,

KPM akan merangka strategi bagi pemberian autonomi kepada pengetua pusat Tingkatan Enam untuk pengambilan pelajar. Mereka sendiri akan mengenal pasti pelajar yang berpotensi dan seterusnya membuat tawaran kemasukan.

Dalam majlis yang sama juga, beliau menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Malaysian University English Test (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) 2022.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi