Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hampir semua lokasi pusat pengundian di enam negeri Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 berada dalam keadaan cuaca yang cerah pada pagi ini.
Di Selangor, cuaca pada sebelah pagi dan malam diramalkan tiada hujan. Namun begitu, negeri ini dijangkakan mengalami ribut petir di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman pada sebelah petang.
Di Negeri Sembilan pula dijangkakan ribut petir di beberapa kawasan pantai dan pedalaman pada sebelah pagi dan petang. Walau bagaimanapun, tiada hujan pada sebelah malam dengan suhu sekitar 23 hingga 33 darjah Celsius.
Sementara itu, Pulau Pinang diramalkan tiada hujan pada sepanjang hari dengan suhu maksimum 33 darjah Celsius.
Di Kedah, cuaca pada sebelah pagi tiada hujan, namun dijangka ribut petir di beberapa kawasan pedalaman pada sebelah petang sekitar suhu 25 hingga 34 darjah Celsius.
Di Kelantan dan Terengganu masing-masing menunjukkan keadaan cuaca yang sama, iaitu tiada hujan pada sebelah pagi, manakala pada sebelah petang dan malam, kedua-dua negeri itu diramal ribut petir dengan suhu mencecah sekitar 24 darjah Celsius.
Secara keseluruhannya, berdasarkan laman web MetMalaysia, keadaan cuaca pada keenam-enam negeri PRN cerah pada pagi ini.