Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus bergiat aktif dalam menyebarluaskan aktiviti berkaitan dengan bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat. Kali ini, DBP berkolaborasi dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi mengetengahkan bakat kreatif yang terpendam dalam kalangan para penghuni pusat pemulihan.
Program Majlis Perasmian Penutupan Suara dari Lembah Harapan yang berlangsung pada pagi tadi di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Program Suara dari Lembah Harapan tersebut telah berjaya mencungkil bakat penghuni pusat pemulihan dengan pelibatan mereka menerusi pertandingan deklamasi sajak, lagu puisi, baca naskhah, dan persembahan teater 10 minit.
Dalam titah penutupan program, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah:
Beta menyeru agar kita memandang para peserta yang terlibat dalam pelbagai pertandingan ini dengan mata hati yang penuh keikhlasan. Buanglah segala stigma dan sangkaan buruk terhadap mereka, agar kita dapat bersama-sama menjadi ‘ejen’ yang ampuh dalam usaha memperbaiki dan mengubah keperibadian mereka.
Selain itu, DYMM Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah agar program yang bermakna ini dijadikan sebagai pemangkin kepada pelbagai program susulan yang bererti pada masa hadapan dalam usaha pembentukan sahsiah dan jati diri kepada para peserta.
Baginda juga menekankan tentang peri penting bahasa dan sastera Melayu dalam kehidupan. Titah baginda,
Nilai-nilai yang terdapat dalam bahasa dan sastera Melayu perlu dijadikan pendorong utama kepada pembentukan keperibadian kebangsaan. Sastera memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Sastera sebagai dunia idea tidak harus terpisah membincangkan hari muka, iaitu tentang kemanusiaan dalam arus perdana sains dan teknologi.
Menerusi ucapan YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, beliau menyatakan komitmen DBP memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang akan terus dizahirkan menerusi pelaksanaan dan kegiatan yang berimpak tinggi dalam kalangan masyarakat. Ujarnya,
DBP akan terus melaksanakan dan melipatgandakan usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan wawasan utamanya, iaitu untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa utama dunia.
Menyentuh tentang program tersebut, beliau berkata bahawa program tersebut dilaksanakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada penghuni pusat pemulihan menerusi aktiviti keilmuan melalui pembacaan bahan ilmiah, khususnya seperti buku berkaitan dengan agama, falsafah, sastera, dan budaya. Jelasnya,
Buku bukan sahaja boleh dijadikan ‘teman sejati’ ketika berada di pusat pemulihan, malahan mampu menjadi elemen penting dalam usaha memperbaiki dan merubah diri penghuni pusat pemulihan pada masa akan datang.
Selain itu, pelancaran bahan penerbitan Antologi Puisi Minggu Penulis Sinar Harapan turut diadakan dalam majlis tersebut. Sebanyak 32 institusi penjara telah terlibat dalam pertandingan ini dan seramai 232 peserta penghuni pusat pemulihan telah menyertai pelbagai pertandingan seperti deklamasi sajak, baca puisi, baca naskhah dan persembahan teater 10 minit.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Komisioner Jeneral Penjara, YBhg. Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah.