24 Ogos 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Kluster dan Chapter Universiti Majlis Profesor Negara (MPN) telah diadakan di Grand Millenium Hotel pada malam semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin. Dalam ucapan amanatnya dalam majlis tersebut, beliau menyatakan bahawa ‘profesor’ bukan hanya merujuk individu yang pintar dalam sesuatu bidang sahaja, tetapi gelaran tersebut hadir dengan ciri kedua yang tidak boleh dipisahkan, iaitu kebijaksanaan atau kepandaian yang diisytiharkan secara terbuka kepada orang awam dan dapat dimanfaatkan secara bermakna oleh masyarakat. Ujarnya lagi,

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya berharap agar para profesor negara bersama-sama menyumbangkan fikiran terhadap pembangunan negara dan masyarakat.

Dalam keadaan negara kita hari ini, saya berharap para profesor akan tampil dan memberikan pencerahan agar dapat menjadi suri teladan baik kepada bangsa.

Beliau turut menjelaskan bahawa pada masa ini pelbagai isu timbul dan perkara ini memerlukan keampuhan nilai dalam konteks masyarakat. Oleh itu, peranan MPN tidak boleh diketepikan dalam hal ini bagi mencari kebenaran dan bergerak atas nilai murni yang baik yang akan menjadi asas kepada kejayaan negara.

YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose selaku Presiden MPN dalam ucapan alu-aluannya pula menyatakan bahawa 12 kluster yang dihasilkan tersebut telah didukung dan dipilih oleh kumpulan kluster masing-masing. Jelasnya lagi,

Keberadaan negara pada masa sekarang sangat mencabar dalam berbagai segi, terutamanya selepas keadaan COVID-19 dan juga ketidaktentuan politik sejak kebelakangan ini. Kami sangat tekad untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan terbaik dan menambah nilai kepada apa-apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan.

YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose selaku Presiden MPN menyatakan komitmen dan tekad MPN dalam membantu kerajaan.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 12 kluster telah diberi watikah pelantikan melibatkan ketua, timbalan ketua dan setiausaha kluster. Antara kluster tersebut termasuklah Kluster Pendidikan dan Modal Insan, Kluster Ekonomi dan Pengurusan, Kluster Hal Ehwal Antarabangsa, Kluster Warisan dan Sosiobudaya, Kluster TVET dan Industri, Kluster Kejuruteraan dan Alam Bina, Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan, Kluster Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kluster Pembangunan Sosial dan Perpaduan Nasional dan Kluster Politik, Governance dan Perundangan.

Para profesor bergambar kenang-kenangan bersama-sama Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi MPN, YBhg. Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dan Timbalan Pengerusi MPN, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.