Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersempena dengan Hari Kebangsaan 2023, Perdana Menteri Malaysia ke-10, Dato’ Seri Anwar Ibrahim buat pertama kalinya akan menyampaikan amanat perdana sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada November lepas.
Amanat tersebut disampaikan di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada petang ini dan turut disiarkan secara langsung menerusi stesen media tempatan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), selain daripada Facebook rasmi perdana menteri.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 dalam Facebook rasminya berkata:
Di bulan kemerdekaan ini saya ingin mengajak serta menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kasih dan cinta kepada negara. Kita mahu negara bangsa ini kuat, bersatu padu, toleran serta punyai sikap kasih antara satu dengan yang lain.
Merdeka!
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.
Sambutan ini juga merupakan sambutan kali kelima yang diadakan di Putrajaya selepas tahun 2003, 2005, 2018 dan 2019 sebelum ini.
Menariknya, sebanyak 10 kontinjen dipercayai akan menyertai acara perbarisan dan perarakan, iaitu Kenegaraan, Perpaduan Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara pada hari esok bermula 6.30 pagi hingga 3.00 petang.
Terdapat pelbagai acara menarik diadakan bagi memperingati sejarah negara dan meningkatkan semangat patriotisme, serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.