Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Putrajaya – Sambutan Hari Kebangsaan 2023 memaknai erti kemerdekaan tanah air kerana disambut oleh pelbagai lapisan masyarakat yang bersemangat patriotisme pada hari ini di Dataran Putrajaya bagi menzahirkan rasa cinta akan tanah air.
Lautan manusia jelas membanjiri pekarangan Dataran Putrajaya yang menjadi lokasi bersejarah genapnya 66 tahun negara dalam mencapai kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang yang mewarnai suasana pada hari ini.
Sambutan Hari Kebangsaan 2023 ini bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, merupakan sebuah dasar pentadbiran negara yang diusulkan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri ke-10). Maksud yang tersirat bagi tema tersebut ialah:
Enam nilai teras Malaysia MADANI, termasuklah kemampanan mutu hidup rakyat yang seimbang, kesejahteraan dari segi ekonomi, sosial dan kelestarian alam, daya cipta modal insan melalui pembaharuan dan pengupayaan, menghormati pelbagai tradisi, keyakinan melakukan perubahan ke arah kebaikan dan mempunyai belas ihsan akan nasib semua pihak.
Malaysia MADANI juga merupakan panduan dan ikhtiar secara bersepadu dan holistik sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi bertunjangkan sikap saling menghormati kepelbagaian selain menjadi medan dialog peradaban seterusnya menjadi pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun.
Sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini bermula pada pukul 7.30 pagi dengan ketibaan rasmi dif-dif kehormat dan pemimpin negara. Ketibaan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim disambut dengan paluan gendang dan sahutan “Malaysia MADANI”, sesuai dengan tema Hari Kebangsaan Ke-66 yang dilaungkan sebanyak tiga kali.
Keberangkatan tiba Ke bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Dataran Putrajaya disambut oleh kira-kira 100 000 sorakan semangat oleh pengunjung yang hadir.
Sejurus keberangkatan tiba YDPA dan Raja Permasuri Agong dipentas diraja, sebanyak lima pesawat melakukan terbang lintas di udara, iaitu tiga helikopter Airbus H225M (EC 725), AgustaWestland AW109 (Agusta A109) dan Helikopter Operasi Maritim (HOM) AW 139 diiringi lagu kebangsaan Negaraku.
Pelbagai acara diadakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada hari ini seperti persembahan daripada artis-artis terkenal tanah air, iaitu kumpulan Bunkface, Nadeera Zaini, Hazraniza Dollah, Jacklyn Victor, Suki Low dan Zizi Kirana. Terdapat juga persembahan gendang khas MADANI (Gegar MADANI) daripada 400 jurugendang.
Acara sambutan Hari Kebangsaan pada kali ini melibatkan kira-kira 17 262 peserta, 67 kontinjen, 36 kumpulan pancaragam, 534 aset darat dan aset udara serta 100 ekor haiwan dalam perkhidmataran awam yang membuat persembahan dan jutaan rakyat Malaysia yang turut menyaksikan siaran langsung secara dalam talian.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof serta menteri-menteri Kabinet.