Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIstanbul – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani pemeteraian penyambungan kerjasama sedia ada dengan Karabuk University, yang terdahulu ditandatangani pada 1 Oktober 2018 dan akan tamat pada hujung bulan ini, iaitu pada 30 September 2023.
UniMAP merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi awam di Perlis, Malaysia yang dilatih dan dibimbing untuk memiliki keyakinan berdaya saing dalam pengkhususan masing-masing khususnya dalam bidang keusahawanan setelah bergelar alumni.
Sebelum ini, UniMAP dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia selaras dengan matlamat penubuhannya yang bertujuan untuk melahirkan jurutera berkemahiran tinggi bagi memenuhi pelan perindustrian negara, selain memberikan alternatif kepada pelajar agar cenderung kepada pembelajaran secara praktikal.
Kini, UniMAP mempunyai pelajar sekitar 13 000 orang dan tenaga kerja yang merangkumi 2.1000 orang staf akademik dan bukan akademik menawarkan 14 kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, 13 kursus Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, tujuh kursus Sarjana Muda Teknologi, dua kursus Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, dan satu kursus Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu. Tidak ketinggalan juga, penawaran enam kursus Diploma Kejuruteraan dan lebih daripada 30 kursus pascasiswazah yang merangkumi ijazah sarjana dan doktor falsafah.
Mahasiswa di UniMAP seharusnya menunjukkan kemampuan dan kemahiran dalam bidang Teknologi Maklumat serta Komunikasi (ICT) selain cemerlang dalam bidang pengajian masing-masing agar mempunyai ciri-ciri profesionalisme dan patriotisme yang tidak berbelah bahagi.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Canselor UniMAP selepas berkenan berangkat menyaksikan majlis pemeteraian penyambungan kerjasama antara UniMAP dengan Karabuk University yang diadakan di Hotel Radisson Blu Pera, Istanbul, Turkiye pada 18 September 2023.
Karabuk University pula ialah sebuah universiti awam yang ditubuhkan dalam tahun 2007 dan sudah pun tersenarai dalam 801- 1000 ranking universiti terbaik di dunia oleh Times Higher Education (THE) untuk 2020 dan 801-1000 bagi 2021.
Profesor Dr. Fatih Kirisik selaku rektor menandatangani bagi pihak Karabuk University, manakala Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli mewakili UniMAP.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP dan anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor Karabuk University, Profesor Dr. Ismail Rakip Karas dan Pengarah Hubungan Antarabangsanya, Dr. Oya Cepni Onalan.