Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Unit bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Pembimbing Rakan Sebaya Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Lailatul Shahreen mencetuskan idea bagi mewujudkan Laman Minda untuk kegunaan seluruh warga sekolah.
Laman Minda merupakan tempat untuk riadah dan merehatkan minda yang mempunyai sudut Air Terjun Terapi Minda yang dilengkapi dengan sudut info kawalan serta Penjagaan Kesihatan seperti emosi, fizikal, dan mental disamping sudut Permainan Minda Sihat seperti Rubric Cube, Dam Draught, Vocable, dan permainan tradisional congkak.
Didikan agama merupakan perkara yang penting bagi menyemai integriti dan intelektual dalam kalangan pelajar agar mereka dapat membezakan yang baik dan yang buruk, seperti mematuhi peraturan sekolah dan kekal berdisiplin ialah asas untuk menyemai integriti pelajar.
Pelajar seharusnya mempunyai identiti yang positif selain berketrampilan untuk menjadi murid yang berjaya pada masa akan datang dan ciri-ciri pelajar yang berjaya antaranya ialah mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan.
Demikianlah titah Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan merasmikan Laman Minda Sharifah Khatreena Nuraniah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar.
Berangkat sama ke Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bertemakan “Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan” Bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen yang bertempat di Dewan Syed Sirajuddin Areeb Putra sekolah tersebut di Jalan Padang Behor ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP Perlis), Datuk Johari Mohd Darus, Penyelaras Program Titian Kasih Mega, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir dan Pengetua Sekolah, Noorihal Muhammad A.M.N.
Seramai 322 orang para pelajar terlibat sama bagi menjayakan program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.
Bagi tahun 2023, murid-murid SMK TLS telah mewakili negeri Perlis dalam permainan Kriket, Softball, Bola Jaring, Bola Baling, Tenis dan juga Kejohanan Bakat Menembak Kebangsaan Siri 2/2023 Sukan Menembak Remaja Bawah 16 Tahun.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan agar segala input dan maklumat yang dikongsikan oleh penceramah sempena program ini dapat memberikan manfaat kepada pelajar serta berharap agar program ini dapat menambah ilmu pengetahuan pelajar dan dijadikan sebagai panduan untuk mereka menjadi manusia yang lebih baik.