7 November 2023, 08:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Ahli PUSPANITA CKPM yang menyertai lawatan ke SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu Sabah, semalam.

Kota Kinabalu – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dari Cawangan Kementerian Pendidikan Malaysia (CKPM) baru-baru ini menganjurkan Program Pembangunan Kapasiti PUSPANITA CKPM dari 3 November 2023 hingga 6 November 2023 dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Persatuan Wanita Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (PeWaniS) bagi menyantuni keperluan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sabah.

Sebanyak 43 orang peserta terlibat dalam program ini yang terdiri dalam kalangan pesara, ahli jawatankuasa induk, ahli jawatankuasa biro, serta ahli PUSPANITA pada peringkat agensi, badan berkanun dan bahagian dalam KPM. Biro Pesara dan Keahlian PUSPANITA CKPM dipilih sebagai urus setia bagi penganjuran program ini yang diketuai oleh Ketua Biro, iaitu Puan Fauzilahyatun Mustafa.

Lawatan ahli PUSPANITA CKPM ke kelas Murid Berkeperluan Khas di SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu Sabah.

Objektif penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan kerjasama antara PUSPANITA CKPM dengan PeWaniS dalam pelbagai aktiviti yang dirancang seperti Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah di Sabah.

Program ini juga dapat memberikan peluang dan ruang kepada sesama ahli untuk mengeratkan hubungan silaturahim, selain berkongsi pengalaman, pandangan dan harapan untuk kemajuan organisasi masing-masing.

Menerusi program tersebut, pada 3 November 2023, rombongan ahli PUSPANITA CKPM telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu, Sabah. Sekolah ini merupakan sebuah sekolah yang terlibat dalam pengendalian program PPKI (kategori masalah pembelajaran). Sekolah ini mempunyai 78 orang MBK dengan tenaga pengajar (guru) sebanyak 20 orang.

Pengerusi PUSPANITA CKPM, YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias semasa menyampaikan ucapan.

Menurut Pengerusi PUSPANITA CKPM, YBhg. Dato’ Sri Noorhuda Haji Alias, program yang diadakan tersebut amat dekat di hati beliau kerana aspek pendidikan perlu dititikberatkan dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu. Dalam hal ini, beliau turut memberikan penekanan terhadap keperluan MBK. Maka itu, beliau berharap agar peserta rombongan yang turut serta dalam program tersebut dapat memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh guru pendidikan khas yang mendidik murid tersebut. Hal ini demikian kerana setiap murid tersebut mempunyai keupayaan dan kebolehan yang berbeza.

Selain itu, beliau juga berharap agar program MBK ini dapat diperluas bagi memastikan kanak-kanak yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) mendapat pendidikan yang sewajarnya. Maka itu, MBK yang belajar di sekolah pendidikan khas ini perlu diberikan sokongan dan perhatian yang lebih oleh masyarakat.

Dalam sesi taklimat yang disampaikan oleh Penolong Kanan SMK Taman Tun Fuad, Encik Tonny Tawin, beliau menyatakan bahawa prasarana sekolah pendidikan khas yang melibatkan MBK perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan sekolah dan juga murid yang sentiasa bertambah jumlahnya pada setiap tahun.

Program seperti ini membuka ruang dan peluang kepada ahli PUSPANITA CKPM untuk menyalurkan maklumat kepada pihak kementerian dan mencari alternatif tentang kaedah yang terbaik untuk membantu dan menyokong komuniti tersebut melalui inisiatif dan program yang akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Penyampaian cenderamata daripada PUSPANITA CKPM kepada wakil SMK Taman Tun Fuad, Kota Kinabalu Sabah.

Dalam perkembangan yang sama, pihak PUSPANITA CKPM menyampaikan sumbangan berupa alat tulis kepada murid (kategori masalah pembelajaran), manakala Dewan Bahasa dan Pustaka turut menyampaikan sumbangan buku, majalah dan buku nota kepada pihak sekolah.

Sesungguhnya, peluang untuk berinteraksi dengan para guru yang terlibat dalam pendidikan khas, terutamanya mereka yang terlibat dengan MBK dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang situasi sebenar pelaksanaan PPKI pada setiap negeri.

Lawatan ini telah memberikan pemahaman dan pengalaman kepada ahli PUSPANITA CKPM dan memotivasikan mereka untuk berperanan secara aktif dalam mempromosikan pendidikan khas bagi memastikan tiada murid kurang upaya yang tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya.

Selanjutnya, pada 4–6 November 2023, ahli rombongan PUSPANITA CKPM diberi peluang bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan ahli jawatankuasa PeWaniS di daerah Tuaran, Kota Belud dan Ranau, Sabah, di samping mengikuti pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan etnik di daerah tersebut.

Ahli PUSPANITA CKPM bersama-sama peserta tarian yang terdiri dalam kalangan ahli jawatankuasa PeWaniS daerah Kota Belud, Sabah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.