Diterbitkan pada 1 Januari 2024, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 akan dilaksanakan seperti yang berikut:

Tarikh Ujian/Peperiksaan

8 hingga 11 Januari 2024 Ujian Bertutur Bahasa Melayu

17 hingga 23 Januari 2024 Ujian Bertutur Bahasa Inggeris

29 Januari 2024 Ujian Mendengar Bahasa Melayu

29 Januari 2024 Ujian Mendengar Bahasa Inggeris

30 Januari hingga 7 Mac 2024 Peperiksaan Bertulis Secara keseluruhan,

Sebanyak 395,870 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2023 di 3,340 buah pusat peperiksaan seluruh negara, manakala sebanyak 129,635 orang petugas peperiksaan juga telah dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut.

KPM turut mengingatkan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 agar merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat tentang tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan tersebut boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui laman lp.moe.gov.my. Calon diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan masing-masing. Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM Tahun 2023.

KPM sentiasa cakna terhadap keselamatan dan kebajikan calon serta semua petugas peperiksaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana termasuklah musim banjir yang kini sedang melanda sepanjang peperiksaan SPM Tahun 2023 berlangsung. KPM sentiasa bersiap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuklah bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

Semua calon peperiksaan SPM Tahun 2023 dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau di mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana. Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.

KPM terus komited untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan peperiksaan SPM Tahun 2023 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur supaya semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi