Diterbitkan pada 9 Januari 2024, 07:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai KPPA baharu, hari ini.

Putrajaya – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki Ali mengumumkan pelantikan Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang berkuat kuasa pada 9 Januari 2024, semalam.

Menerusi kenyataan beliau dalam Facebook, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki Ali berkata,

Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang, termasuklah dasar, pengurusan dan perkhidmatan, serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.

Tambah beliau,

Saya yakin dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Pelantikan itu telah mendapat perkenan daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Menyingkap latar belakang KPPA baharu ini, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Awam selama 29 tahun sejak mula menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, di Istana Negara di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkapli Mohamed atas jasa dan pengorbanan sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki memaklumkan bahawa kerajaan turut merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Zulkapli Mohamed atas jasa sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA sejak pelantikannya pada 27 Februari 2023.

Sumber foto: Jabatan Perkhidmatan Awam.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi