22 Januari 2024, 08:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Sambutan Ulang Tahun Persatuan bagi Orang Buta Malaysia (MAB) ke-72 telah diadakan pada 21 Januari 2024 bertempat di Kompleks MAB, Kuala Lumpur. Program selama dua hari anjuran MAB itu bermula pada 20 januari 2024 dengan pelbagai program menarik untuk merancang masa depan yang lebih cerah bagi komuniti orang kurang upaya (OKU) penglihatan. Majlis pelancaran ulang tahun tersebut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu undangan, iaitu Isteri Perdana Menteri, YABhg.  Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang hadir merasmikan majlis tersebut.

MAB yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dilihat terus komited untuk mencipta peluang yang lebih baik bagi komuniti OKU penglihatan. MAB menyediakan inisiatif pemulihan, latihan, pendidikan dan pekerjaan untuk memastikan kualiti hidup yang lebih baik bagi semua OKU penglihatan di Malaysia.

Presiden MAB, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dalam ucapannya menyatakan bahawa MAB sedang giat menaik taraf kemudahan Pusat Latihan Pertanian bagi Orang Buta Taman Harapan di Temerloh, Pahang. Menurut beliau, usaha menaik taraf pusat itu dilaksanakan kerana bangunan sedia ada telah dibina semenjak 1957 dan kini menjadi antara tiga pusat pertanian terpenting bagi OKU penglihatan di dunia selain di Gujarat, India dan Bandung, Indonesia.

Presiden MAB, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar sedang berucap dalam Sambutan Ulang Tahun MAB ke-72.

Projek naik taraf yang dijangka siap pada tahun ini menyasarkan peningkatan pengambilan pelatih pada tahun depan dengan pelibatan sebanyak 20 orang pelatih sedia ada kepada kepada 50 orang dan seterusnya. Tambah beliau lagi, pusat latihan MAB baharu kelak akan menambah skop latihan untuk diberikan kepada golongan OKU penglihatan termasuklah menyediakan latihan berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pembelajaran agama. Hal ini demikian kerana, pada ketika ini latihan yang ditawarkan hanya melibatkan latihan pertanian serta pembuatan produk kraf.

Tan Sri Tengku Azlan berharap agar usaha MAB ini mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Beliau turut menyatakan hasrat agar pihak kerajaan dapat membantu menyumbangkan dana tambahan kepada projek menaik taraf Taman Harapan. Memetik ucapan beliau,

Alangkah baiknya juga sekiranya kerajaan dapat memberikan kami pembiayaan tambahan kerana untuk usaha menyediakan latihan kepada OKU penglihatan menelan belanja tidak kurang daripada RM600,000 hingga RM700,000 sebulan.

Tambah beliau lagi, kerja menaik taraf kemudahan Taman Harapan ini dianggarkan kira-kira sebanyak RM8 juta. Walaupun MAB tiada masalah kewangan bagi melaksanakan kerja menaik taraf tersebut, tetapi mereka mengalu-alukan sumbangan atau dana bagi menampung kos sedia ada.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan perasmiannya berharap agar hubungan baik yang terjalin antara MAB dengan kerajaan diteruskan pada masa akan datang. Hal ini bagi memastikan lebih banyak input membina kepada pembangunan negara dapat diwujudkan demi kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU, terutamanya membabitkan OKU penglihatan dapat dijaga. Memetik ucapan beliau,

MAB perlu mengekalkan kerjasama baik termasuklah dengan Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Isteri Perdana Menteri, YABhg.  Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap bagi merasmikan majlis Sambutan Ulang Tahun MAB ke-72.

Menurut beliau lagi, kerajaan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan golongan OKU dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dalam memastikan setiap polisi dan inisiatif yang dirancang adalah inklusif dan boleh dilaksanakan. Oleh hal yang demikian, beliau berharap MAB dapat menjadi rakan kongsi kerajaan bagi memastikan golongan ini tidak ketinggalan menjadi antara penyumbang penting dalam pembangunan negara.

Majlis Sambutan Ulang Tahun MAB ke-72 turut diserikan dengan persembahan artis popular, iaitu Caliph Buskers dan Lah Ahmad (VE). Hadir sama termasuklah Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, YB Tuan Ahmad Fahmi Fadzli serta tetamu kenamaan dari sektor korporat, kementerian dan agensi kerajaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.