Menjelang bulan Ramadan, bubur lambuk menjadi antara menu berbuka yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam.
Sebut sahaja bubur lambuk Masjid India Kuala Lumpur, pastinya sudah terbayang akan keenakan resipi yang berusia lebih daripada 100 tahun itu. Bubur ini dimasak dengan beberapa jenis rempah tempatan dan rempah ratus khas yang di bawa dari India.
Sudah menjadi tradisi pada setiap tahun, pihak pengurusan Masjid India akan menyediakan bubur lambuk sebagai menu berbuka puasa dengan segala kos disumbangkan oleh pelbagai pihak untuk disumbangkan kepada orang ramai.
Ketika tinjauan JendelaDBP ke masjid tersebut, mendapati bahawa sebanyak 1800 bungkusan berjaya diagihkan kepada orang ramai pada setiap hari dalam bulan Ramadan.
Pada tahun ini, pihak pengurusan Masjid India telah menyediakan sejumlah 13 buah periuk bubur lambuk dengan menggunakan 130 kilogram beras untuk menghasilkan bubur istimewa yang sentiasa diburu oleh peminatnya.
Tinjauan JendelaDBP ke Masjid India Kuala Lumpur ketika kemeriahan pengagihan bubur lambuk diadakan ditonjolkan menerusi pelbagai lensa menarik seperti berikut: