29 April 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Hanafi Mohd Yusof

Meru – “Kelas terapung menjadi antara dinamika penting bagi mengatasi isu kepadatan sekolah yang melibatkan penggunaan ruang yang bersesuaian seperti yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang.”

YB Fadhlina Sidek ketika sidang media pada petang tadi bagi mengulas tentang isu kepadatan sekolah.

Demikian kata-kata Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika sidang media berkaitan dengan Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 2024 berhubung Sekolah Padat dan Akses Pendidikan di Daerah Klang, Selangor.

Tambah beliau,

Lawatan tersebut adalah untuk meninjau pengalaman pentadbiran dan dinamika pengurusan melalui kerjasama antara pihak sekolah dengan Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.

YB Fadhlina Sidek bersama-sama warga pendidik SMK Meru ketika sesi lawatan sebentar tadi.

Pada sidang media tersebut, YB Fadhlina turut merakamkan ucapan penghargaan kepada SMK Meru yang telah mempamerkan komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan isu kepadatan sekolah dalam jangka masa pendek dan sederhana.

“Antara langkah yang telah diambil oleh SMK Meru adalah dengan mewujudkan kelas terapung yang menjadi dinamika penting yang tidak menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran murid kerana sekolah beroperasi seperti biasa,” ulas YB Fadhlina berkaitan dengan isu kepadatan sekolah di SMK Meru.

Kata beliau,

Kita mempunyai sebanyak 86 buah sekolah padat di seluruh negara yang mempunyai kriteria ditetapkan, iaitu jumlah murid yang lebih daripada 40 orang dalam satu bilik darjah.

Keputusan kewujudan kelas terapung hanya dibuat berdasarkan keadaan sekolah tersebut, termasuklah melihat faktor ruang yang bersesuaian dan dalam pelan jangka panjang, KPM turut memfokuskan pembinaan sekolah baharu.

Menurut Pengetua Cemerlang SMK Meru, Puan Siti Dinar Hamid, antara ruang yang digunakan untuk kelas terapung adalah merangkumi makmal, bilik bahasa, bilik kesihatan dan bengkel.

Terdahulu, SMK Meru mencatatkan jumlah peningkatan murid, iaitu sebanyak 4168 orang murid dan jumlah guru adalah sebanyak 240 orang yang melibatkan sesi pagi dan petang.

YB Fadhlina Sidek turut berkesempatan meluangkan masa untuk melawat persekitaran sekolah dan melihat proses pembelajaran dan pengajaran di SMK Meru, petang tadi.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.