27 Mei 2024, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

KPPM, Tuan Haji Azman Haji Adnan semasa mengumumkan laporan analisis keputusan SPM tahun 2023 di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks E8, KPM, hari ini.

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 11,713 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 memperoleh keputusan cemerlang, iaitu gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding dengan 10,109 calon pada tahun 2022.

Keputusan SPM tahun 2023 amat membanggakan berbanding dengan tahun lalu – Tuan Haji Azman Haji Adnan.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Tuan Haji Azman Haji Adnan berkata,

Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang menunjukkan peningkatan sebanyak 1604 calon.

Bagi calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah sebanyak 83,112 calon pada tahun 2023 berbanding dengan 75,322 calon pada tahun 2022, yakni menunjukkan peningkatan sebanyak 7790 calon.

Tambah beliau,

Manakala sebanyak 131,489 calon memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2023 berbanding dengan 128,193 calon pada tahun 2022.

Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3296 calon (0.9%) berbanding dengan tahun 2022.

Perincian pencapaian calon adalah seperti yang berikut:

Jadual Perbandingan pencapaian calon SPM bagi tahun 2022 dan 2023.

Walau bagaimanapun, KPPM memaklumkan bahawa pencapaian tersebut adalah berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN), iaitu nilai yang lebih kecil menunjukkan pencapaian yang lebih baik.

Pencapaian calon peperiksaan SPM Tahun 2023 amat membanggakan berdasarkan indeks GPN berbanding dengan tahun-tahun yang lepas.

Pencapaian keseluruhan calon bertambah baik dengan nilai GPN 4.60 mata berbanding dengan 4.74 mata pada tahun 2022.

Demikian kata-kata KPPM ketika mengumumkan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2023 di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks E8, KPM pada pagi ini.

Tuan Haji Azman bersama-sama barisan pengurusan tertinggi dan pengarah di KPM.

Tuan Haji Azman mengulas tentang Pensijilan SPM Tahun 2023 yang merupakan pencapaian terbaik sejak syarat pensijilan pada tahun 2013 diperkenalkan, iaitu calon wajib lulus dua mata pelajaran (Bahasa Melayu dan Sejarah) untuk layak mendapat sijil SPM.

Ujar beliau,

Sebanyak 349,297 calon layak menerima sijil SPM pada tahun 2023 berbanding dengan 342,742 calon pada tahun 2022.

Bagi pensijilan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) pula, sebanyak 1362 CBPK daripada 1726 calon telah layak memperoleh sijil berbanding dengan 1129 CBPK pada tahun 2022.

Pada masa yang sama dalam sidang media, Tuan Haji Azman turut menerangkan bahawa calon boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan melalui beberapa kaedah.

Calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM 2023 mulai pukul 10.00 pagi pada hari ini di sekolah masing-masing.

Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my atau melalui sistem pesanan ringkas hingga 2 Jun 2024, pukul 6.00 petang.

Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di mana-mana Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang berdekatan.

Ujar beliau dalam sidang media pada pagi tadi,

Analisis ini juga menunjukkan bahawa KPM sentiasa komited dalam menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti dan memastikan kesamarataan peluang kepada semua calon di seluruh negara.

KPM juga akan terus melaksanakan inisiatif yang sedia ada, di samping Dasar Pendidikan Digital dan Pendidikan Manusiawi yang akan membantu ke arah memperkasakan pendidikan berkualiti di Malaysia.

Turut hadir bersama dalam pengumuman keputusan SPM itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr. Ahmad Rafee Che Kassim; dan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Encik Zainal Abas.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah memaklumkan bahawa sebanyak 395,870 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2023 di 3340 buah pusat peperiksaan seluruh negara.

Peperiksaan itu telah dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan Ujian Amali Sains pada 5 Disember 2023, diikuti oleh Ujian Lisan dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris yang selesai pelaksanaannya pada 29 Januari 2024. Manakala, peperiksaan bertulis pula dilaksanakan bermula pada 30 Januari 2024 hingga 7 Mac 2024.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.