Oleh Hamdan Abu
3 Jun 2024, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

(Sempena Hari Berbasikal Sedunia 2024)

Basikal diperkenalkan buat pertama kali di Eropah pada pada abad ke-19. Sejak itu, pembuatan basikal telah berkembang dengan begitu pantas untuk dijadikan sebagai kenderaan atau pengangkutan asas tanpa enjin dengan penyelenggaraan yang rendah untuk memudahkan pergerakan. Tambahan pula, basikal ialah kenderaan yang paling murah pada zaman itu.  Sejak 1885, rupa bentuk basikal yang menggunakan rantai tidak banyak berubah. Bergantung pada kekuatan kayuhan, basikal berantai boleh bergerak selaju 15 hingga 18 kilometer sejam pada laluan yang rata atau tidak mendaki.

Karl Freiherr von Drais, rakyat Jerman dipercayai sebagai orang pertama yang mencipta basikal pada tahun 1819 untuk digunakan sebagai kenderaan bagi menggantikan kuda. Basikal ciptaan Karl merupakan penambahbaikan  daripada mesin lari buatannya yang dikenali sebagai Laufmaschine.

Acara lumba basikal diperkenalkan dalam Sukan Olimpik yang berlangsung di Athens, Greece pada tahun 1896 dan disertai seramai 280 orang atlet daripada 12 buah negara, yang mana kesemuanya ialah lelaki. Acara lumba basikal dalam sukan bertaraf dunia itu juga telah mempopularkan basikal di seluruh dunia. Sejak tahun 1885, dianggarkan lebih satu bilion basikal digunakan di seluruh dunia untuk berbagai tujuan seperti kenderaan, sukan dan riadah.

Pada peringkat awal, basikal begitu popular sebagai kenderaan pada tahun 1960-an hingga 1980-an.  Bagaimanapun, pada pertengahan 1980-an dan awal 1990-an, ramai menyangka basikal yang menjadi kenderaan sejak zaman dahulu akan pupus disebabkan motosikal telah menjadi pilihan kebanyakan pengguna baik di bandar mahupun di kampung. Tambahan pula, harga motosikal yang paling rendah pada ketika itu adalah di bawah RM3,000 dan penjual motosikal pula memudahkan pembelian sama ada secara berhutang atau ansuran tanpa perlu membuat pinjaman bank.

Pada 1980-an juga, posmen yang menghantar surat dengan menggunakan basikal sudah mula menggunakan motosikal. Penghantaran surat menggunakan motosikal merupakan permulaan era baharu dalam perkhidmatan pos di Malaysia – ketika itu dikenali sebagai Pejabat Pos dan Telegraf, kini Pos Malaysia. Penggunaan motosikal juga telah meningkatkan mutu perkhidmatan pos terutamanya mempercepat penghantaran surat dan mel yang menjadi medium komunikasi utama pada zaman tersebut.

Kehadiran dan pemilikan motosikal yang meningkat telah menyebabkan penjualan basikal juga agak merosot pada satu ketika. Penjual basikal sendiri mengakui bahawa ketika itu mereka sangat kekurangan pelanggan. Sebahagian daripada mereka terpaksa mempelbagaikan perkhidmatan dengan memberi perkhidmatan servis motosikal. Keadaan itu menguatkan lagi tanggapan bahawa era basikal akan berakhir. Motosikal telah digunakan secara meluas untuk pergi bekerja atau bergerak dari satu tempat ke tempat lain yang lebih jauh berbanding jika mengayuh basikal.

Basikal Mewah

Namun begitu, tanggapan yang mengatakan basikal akan pupus meleset.  Revolusi dan inovasi pengilang atau pembuat basikal berlaku dengan pantas untuk menyaingi motosikal dan menampilkan basikal baharu yang lebih mewah, bergaya dan kreatif.  Sejak itu, basikal era baharu muncul dengan pelbagai ciri antaranya, basikal mewah yang mempunyai klac dan gear, roda aloi di samping rupa bentuk moden yang lebih dinamik. Basikal era baharu ini turut mempunyai penyerap hentak atau suspensi (absorber), cengkaman brek yang lebih baik dan juga pelbagai saiz dan ketinggian boleh laras.

Bahan membuat rangka dan roda basikal juga berubah daripada keluli kepada bahan yang lebih ringan dan tahan karat seperti aluminium, titanium atau serat karbon. Bahan-bahan binaan yang menggunakan titanium dan karbon turut mempengaruhi harga basikal. Titanium dan karbon menjadikan basikal lebih ringan dan harganya boleh mencapai puluhan ribu ringgit seperti harga basikal lumba.

Sebelum itu, hanya basikal seperti basikal gunung (mountain bike) yang mahal harganya diimport dari Amerika Syarikat atau Eropah ke Malaysia. Jenama seperti Bianchi, Peugeot, GT, Giant Cadex, Cannondale, Gary Fisher, Mongoose dan banyak lagi dijual dengan harga beribu-ribu ringgit. Basikal gunung menjadi popular dan diidamkan oleh orang ramai sehingga murid sekolah juga menginginkannya.

Sebagai perbandingan, sebuah rumah teres kos rendah di Ipoh pada satu ketika dahulu cuma RM18,000 tetapi harga sebuah basikal gunung lebih mahal daripada sebuah rumah teres itu. Manakala harga sebuah basikal jenama Bianchi Oltre RC Dura buatan Italy keluaran 2023 berharga RM70,855.225 (€ 13.899), iaitu hampir menyamai harga sebuah kereta Proton S70.

Basikal Bianchi Oltre RC Dura digunakan oleh penunggang profesional atau yang terlibat dalam sukan berbasikal atau perlumbaan yang digunakan di atas jalan berturap. Rangka badannya diperbuat daripada karbon dan roda aloi aluminium dengan berat keseluruhan 6.850 kg.

Pemain industri mengatakan bahawa harga basikal seperti itu masih lagi rendah bagi kegunaan pengayuh profesional antarabangsa. Malah, laporan media menyebut harga basikal WX-R Vorteq kepunyaan pelumba negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang digunakan dalam Sukan Olimpik 2020 adalah bernilai RM300,000.

Kepelbagaian Model Basikal

Menjelang awal tahun 1990-an, pelbagai jenama dan jenis basikal yang lebih moden dijual di pasaran. Antaranya, basikal dengan saiz tayar lebar yang sporti tanpa pelindung lumpur (mudguard),  mempunyai gear roda yang cantik dan jejari yang lebih cantik serta sistem brek yang lebih mencengkam. Ciri-ciri itu menjadikan basikal tersebut lebih selamat, lasak di jalan raya atau jalan berkerikil. Basikal yang menggunakan gear adalah lebih laju dan tidak memerlukan banyak tenaga serta mudah pula dikayuh ketika mendaki bukit.

Pembuatan berbagai-bagai model basikal merangkumi tujuan tertentu sama ada untuk tujuan sukan dan perlumbaan, kenderaan penumpang, rekreasi, riadah dan lain-lain. Malah pemilihan basikal harus menepati tujuan serta laluan yang digunakan seperti jalan raya, jalan berbatu atau kerikil, jalan tanah merah atau berlumpur, laluan dalam bandar, kampung dan seumpamanya.

Peminat basikal terutama yang baharu menceburi hobi basikal harus mengetahui tujuan dan jenis basikal sebelum membeli. Seperti dijelaskan, inovasi basikal begitu pantas yang menghasilkan bukan sahaja pelbagai jenama tetapi juga berbagai-bagai jenis atau variasi basikal. Tidak semua basikal sesuai untuk kegunaan setiap orang. Basikal yang mahal belum pasti dapat menepati kehendak dan tujuan seseorang.

Antara kaedah asas memilih basikal adalah dengan mengukur “inseam” seseorang penunggang. “Inseam” merujuk ukuran panjang antara kelangkang dengan hujung bukaan kaki. “Inseam” bukanlah ukuran panjang kaki seluar. Cara paling mudah untuk mengukur “inseam” adalah dengan mengambil pita pengukur dan mengira panjang antara bahagian di celah kelangkang dengan bahagian bawah buku lali atau tapak kaki.  Ukuran “inseam” itu hendaklah dipadankan dengan saiz atau ukuran bingkai (badan) basikal. Sebagai contoh, seseorang penunggang yang mempunyai ketinggian antara 178 hingga 185 sentimeter (sm) dengan ukuran “inseam”nya 78-84 sm, maka basikal yang sesuai untuknya adalah berukuran 48 – 50 sm, iaitu bersaiz besar (L) seperti dalam Jadual 1.

Oleh itu, pemilihan basikal yang betul dapat mengoptimumkan tujuan basikal itu dibeli terutama jika digunakan semata-mata kerana hobi atau untuk tujuan rekreasi atau riadah. Beberapa jenis basikal dipaparkan seperti yang berikut:

Basikal Jalan Raya: Basikal jalan raya dikhususkan untuk ditunggang dengan pantas dan lancar dalam kawasan bandar meliputi laluan kaki lima. Basikal jalan raya mempunyai tayar yang licin dan nipis serta mempunyai pemegang jatuh (handle drop). Basikal ini lebih ringan dan boleh digunakan untuk perlumbaan di jalan raya atau jalan berturap tetapi tidak mampu untuk membawa muatan berat.

Basikal Cyclocross: Basikal jalan raya yang direka khas untuk ditunggang di atas pelbagai permukaan jalan, iaitu gabungan jalan berturap, jalan kerikil dan di atas rumput. Mempunyai pemegang jatuh seperti basikal jalan biasa dan menggunakan tayar yang lebih kecil untuk membantu daya kayuhan yang lebih lancar. Dilengkapkan dengan brek yang boleh mencegah terkumpulnya lumpur di bingkai roda. Basikal cyclocross juga dipanggil basikal silang.

Basikal Pelancongan: Basikal jalan raya bagi kayuhan jarak jauh. Direka untuk ditunggang di jalan berturap tetapi lebih tahan lama untuk digunakan semasa menunggang jarak jauh seperti merentas antara negeri. Mempunyai semua bolt pemasangan yang diperlukan untuk rak kargo dan fender.

Walaupun masih mempunyai pemegang jatuh, basikal ini mempunyai reka bentuk bingkai yang lebih selesa ditunggang secara menegak bagi jarak jauh. Dilengkapkan dengan sistem gear yang lebih rendah berbanding basikal jalan biasa untuk disesuaikan untuk membawa beban terutama ketika mendaki atau menuruni curam. Basikal ini juga merupakan basikal ulang-alik yang baik kerana ketahanan dan kemampuan  untuk membawa muatan berat.

Basikal Gunung: Model basikal ini direka untuk digunakan di jalan atau laluan yang kasar seperti jalan tanah. Mempunyai pemegang atau hendal rata atau tegak. Sebilangan besar basikal gunung mempunyai beberapa jenis penyerap hentakan atau suspensi. Basikal gunung dengan suspensi depan hanya dipanggil hardtails. Basikal gunung dengan suspensi depan dan belakang disebut basikal suspensi penuh atau duallies.

Basikal gunung tanpa suspensi disebut rigid. Basikal ini juga mempunyai jarak gear yang sangat rendah untuk mengayuh pada jalan curam atau tinggi.  Basikal Gemuk (fat bike), yang menggunakan tayar yang lebar dan besar juga dikategorikan sebagai basikal gunung.

Basikal Trek (Gear Tetap):  Basikal ini dikhususkan untuk digunakan di dalam velodrome untuk perlumbaan. Memiliki roda gigi tunggal (single gear/sprocket) yang tidak memberikan kemampuan untuk meluncur. Oleh itu, jika basikal bergerak, penunggang mesti mengayuhnya.

Untuk kesederhanaan, sebilangan penunggang lebih menyukai basikal ini tidak mempunyai brek, kerana mekanisme gear tetap dapat berfungsi sebagai brek. Sebilangan besar basikal trek mempunyai pemegang atau hendal drop, tetapi sebilangan penunggang menggunakan hendal rata atau tegak.

Basikal Pengembaraan: Seakan basikal cyclocross yang dicipta untuk perjalanan atau pengembaraan jarak jauh. Basikal ini juga dikenali sebagai basikal jalan raya atau basikal kerikil yang serba boleh. Mempunyai pemegang jatuh dan boleh menggunakan tayar besar dan lebar. Geometri bingkai (badan basikal) adalah lebih panjang.

Basikal Recumbent: Mempunyai reka bentuk yang lebih panjang dan rendah serta tempat duduk bersandar. Basikal recumbents boleh didapati dalam reka bentuk roda dua dan tiga roda. Ramai penunggang merasakan bahawa recumbent ialah pilihan paling selesa untuk berbasikal. Namun, basikal ini sukar dikayuh ketika mendaki bukit.

Basikal Triathlon (Ujian Masa):  Basikal ini tergolong dalam kategori basikal jalan raya dengan reka berbentuk aerodinamik khusus. Pemegang tangan membolehkan penunggangnya membongkok ke hadapan untuk mengurangkan tekanan angin semasa mengayuh.

Basikal Tandem: Basikal yang boleh ditunggang dan dikayuh oleh dua orang.  Diperbuat dalam dua versi, tandem cruiser untuk laluan basikal dan tandem boardwalk untuk laluan off-road.

Basikal Tiga Roda: Basikal ini sesuai untuk orang tua yang ingin bersiar-siar di kawasan seperti taman rekreasi. Basikal ini juga untuk senaman kaki dan lutut golongan tua.

Basikal Lipat: Sangat sesuai untuk mereka yang perlu melakukan perjalanan jauh menggunakan kenderaan awam tetapi masih memerlukan basikal sama ada untuk tugas rasmi atau riadah. Basikal ini boleh dilipat dan dimuatkan di dalam beg untuk menaiki kapal terbang, kereta api ataupun bas.

Walau bagaimanapun, kebanyakan basikal lipat mempunyai roda yang lebih kecil dan tidak efisien untuk kayuhan jarak jauh atau off-road.

Basikal Hibrid: Pada permulaannya direka untuk membolehkan basikal digunakan di jalan raya dan juga berfungsi sebagai basikal gunung. Mempunyai tempat duduk yang besar dan pemegang hendal tegak. Namun, basikal ini tidak begitu sesuai untuk ditunggang di laluan basikal gunung. Jika ingin digunakan di atas jalan tidak berturap, tayarnya harus ditukar kepada yang lebih lebar.

Basikal BMX: Basikal ini sangat digemari oleh kanak-kanak kerana saiznya yang kecil, tetapi digunakan juga oleh orang dewasa untuk kayuhan suka-suka.

Inovasi basikal sentiasa berkembang dan penciptaan basikal tidak hanya terhad kepada contoh-contoh di atas. Berbagai-bagai jenis dan bentuk basikal terus dipasarkan. Basikal lain seperti basikal kecergasan, basikal dwi-sukan, basikal Cruiser, basikal Flat-Foot Comfort mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Riadah Berbasikal untuk Kesihatan

Hari ini, basikal seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup  terutamanya dalam kalangan masyarakat bandar baik lelaki atau wanita dan pelbagai peringkat umur. Aktiviti berbasikal banyak dilakukan di kawasan bandar dan kawasan khas rekreasi oleh pelbagai peringkat pengayuh atau penunggang daripada pelbagai bidang kerjaya atau profesion. Basikal dengan harga yang menjangkau puluhan ribu ringgit dianggap sebagai simbol atau lambang kehidupan mewah buat mereka yang memiliki basikal tersebut.

Dalam Islam, sukan dan riadah yang disyorkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah memanah, berkuda dan berenang. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya untuk menjaga kesihatan dan mengekalkan tubuh badan yang sihat supaya terhindar daripada sebarang penyakit mudarat.  Sabda Rasulullah SAW,  “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Hadis Riwayat Muslim).

Berkuda mungkin sukar dilakukan kerana di Malaysia, kuda bukan haiwan ternakan. Manakala berenang juga mungkin sukar dilakukan kerana kebanyakan rumah tidak mempunyai kolam renang. Oleh itu, aktiviti berbasikal boleh menjadi pengganti sukan berenang dan berkuda.

Berbasikal atau mengayuh basikal baik untuk anggota sendi, jantung dan menguatkan otot serta menurunkan berat badan jika berkayuh secara berterusan. Mengayuh basikal selama 15 hingga 20 minit adalah bersamaan dengan 45 minit berjalan kaki dan dapat membakar 300-400  kalori (cal) bergantung kepada kelajuan kayuhan.

Seseorang dengan berat badan 70 kilogram dapat membakar 260 cal jika dia mengayuh basikal pegun selama 30 minit. Seseorang dengan berat badan yang sama dapat membakar sejumlah 290 cal jika mengayuh basikal selaju 19 kilometer sejam (km/j) di jalan raya.

Antara kebaikan mengayuh basikal dari sudut kesihatan ialah:

  • Meningkatkan kecergasan jantung.
  • Meningkatkan kekuatan otot.
  • Melancarkan pergerakan sendi.
  • Mengurangkan stres dan tekanan.
  • Membantu postur dan koordinasi badan.
  • Mengurangkan lemak badan.
  • Mencegah pelbagai penyakit.
  • Mengurangkan kebimbangan dan kemurungan.

Laluan Khas Basikal

Antara kawasan tumpuan pengayuh basikal di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya ialah Tasik Titiwangsa, Taman Pudu Hulu dan Taman Metropolitan, Kepong, Kuala Lumpur. Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membina laluan khas basikal yang pertama sepanjang 5.5 km bermula dari Dataran Merdeka sehingga Pusat Beli-Belah Mid Valley, Bangsar, Kuala Lumpur dengan menelan kos sebanyak RM700 ribu.

Laluan khas itu dibina pada tahun 2013 menyusuri Sungai Klang, Brickfields, perkarangan Kompleks Dayabumi dan seterusnya Lebuh Pasar Besar ke Mid Valley. Langkah itu bertujuan untuk menggalakkan penggunaan basikal di pusat bandar raya bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

DBKL juga mewujudkan KL Car Free Morning pada hari Ahad setiap bulan dari jam 7.00 pagi hingga 9.00 pagi. Dalam tempoh itu, jalan akan ditutup kepada semua kenderaan berenjin. Pelaksanaan tersebut membolehkan semua lapisan masyarakat di bandar raya untuk berbasikal, berjalan kaki, menggunakan papan selaju atau berkasut roda. KL Car Free Morning bermula dari Dataran DBKL berhampiran Dataran Merdeka sejauh 7.5 km ke jalan-jalan utama dalam kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur.

Di Putrajaya, terdapat lapan laluan khas basikal dan pejalan kaki yang dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj). Laluan tersebut ialah Jalan Pesisiran dengan jarak 10.65 km, Bougainvillea (14.04 km), Patriot 8 (17.21 km), Botani (22 km), Empangan (30 km), Hujan Hujan (22 km), Wetland (28.30 km) dan Damar (35.80 km).

Apa yang lebih menarik, PPj turut membangunkan aplikasi MyPutrajaya Bike bagi membantu penunggang basikal membuat pilihan laluan. Pengguna dinasihatkan untuk mengimbas kod QR laluan dipilih bagi mendapatkan jarak laluan, tempoh perjalanan, jenis basikal bersesuaian serta senarai hentian dan checkpoint.

Di Selangor antaranya, terdapat Taman Botani Negara, Bukit Cherakah dan laluan Khas Basikal di Seksyen 4, Shah Alam, Selangor sejauh 10 km yang dibina pada tahun 2014 dengan kos sebanyak RM7 juta.

Laluan basikal khas di Shah Alam itu memberi peluang kepada penduduk Seksyen 3, 4, 6, 7, 8 dan 9 termasuk penuntut universiti untuk berbasikal dengan selamat dan terasing daripada kenderaan bermotor. Di samping itu, trek yang sama boleh digunakan oleh penduduk untuk aktiviti berjoging atau berjalan kaki.

Garisan Jalan Sungai Tekala, Hulu Langat, Selangor dicat menggunakan teknologi “glow in the dark” untuk memberi panduan kepada pengayuh basikal pada waktu malam.

Sementara itu,  Jalan Sungai Tekala, Hulu Langat, Selangor juga popular dalam kalangan pengayuh basikal kerana tidak banyak kenderaan menggunakannya. Jalan itu digunakan oleh pengayuh sehingga ke Kuala Kelawang, Negeri Sembilan bagi menikmati kayuhan di laluan bercerun, berbukit, berselekoh dan redup. Untuk keselamatan pengayuh basikal pada waktu malam, garisan Jalan Sungai Tekala itu telah dicat dengan cat kilauan dalam gelap (glow in the dark) oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Hulu Langat kerana jalan itu sangat gelap dan tidak mempunyai lampu jalan.

Manakala di Negeri Sembilan pula,  Jalan Temiang – Jalan Pantai berdekatan Seremban sangat popular dalam kalangan penunggang basikal terutama pada awal pagi. Kawasan itu dengan pemandangan landskap menghijau yang indah, redup dan berkabus, berbukit-bukau dan berhutan sepanjang 12 km digelar sebagai “New Zealand Nogoghi Sembilan”  kerana pemandangannya yang mirip suasana di New Zealand.

New Zealand Nogohi Sembilan itu juga menjadi tarikan pemilik kereta antik, kereta mewah dan lain-lain untuk mengabadikan gambar kenang-kenangan dengan suasana seolah-olah di luar negara. Pada hujung minggu jalan tersebut akan dipenuhi ratusan kenderaan dan pengayuh basikal.

Pengayuh Basikal Tegar

Abu Samah Bachek, 76 tahun merupakan salah seorang pengayuh basikal tegar warga emas. Beliau mula mengayuh basikal sejak 2004 lagi sebagai hobi di samping ingin melihat keindahan di sesuatu kawasan. Beliau juga berbasikal kerana mengetahui bahawa aktiviti tersebut merupakan senaman yang bagus untuk  tubuh badan dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Pak Chat menunjukkan sijil Malaysia Book of Records yang diperoleh hasi kayuhan solo beliau.

Abu Samah atau lebih mesra dipanggil Pak Chat dalam kalangan komuniti pengayuh basikal Semenyih merupakan pemegang Malaysia Book of Record (MBR). Pengiktirafan itu diberikan atas kejayaan beliau mencipta rekod berkayuh secara solo di seluruh Semenanjung Malaysia pada 2005 ketika berusia 57 tahun dengan rekod laluan terpanjang sejauh 2,702.9 km.  Beliau mengambil masa selama 29 hari untuk menamatkan kayuhan seluruh Semenanjung Malaysia itu.

Seterusnya pada bulan Ogos 2006, Pak Chat berbasikal mengelilingi Sarawak, Brunei dan Sabah sempena Hari Kemerdekaan Malaysia ke-49 anjuran Jabatan Perpaduan Negara. Kayuhan beliau bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Miri melalui bandar-bandar utama sejauh 827 km. Beliau kemudiannya memasuki Brunei Darussalam (159 km) dan seterusnya ke Wilayah Persekutuan Labuan menuju Kota Kinabalu, Ranau,  Kota Belud, Kota Marudu, Kudat dan berakhir di Kota Kinabalu kira-kira 760 km.

Abu Samah yang membahasakan dirinya sebagai Pak Chat berkata, “Ketika bersama-sama dengan rakan-rakan, Pak Chat sudah dua, tiga kali berkayuh di Pulau Karimun dan Pulau Batam di Indonesia. Ketika berkayuh, kita dapat melihat pelbagai perkara, bukan saja kecantikan alam tetapi juga suka-duka manusia. Melihat kesusahan orang, timbul rasa insaf. Kita yang ada rezeki walau sedikit perlulah sentiasa mensyukurinya”.

Beliau yang masih sihat dan masih aktif berbasikal mengakui, mengayuh basikal secara kerap dapat menjaga kesihatan tubuh badan, menjauhi penyakit seperti darah tinggi, penyakit jantung dan menguatkan otot.

Tambah Pak Chat, antara rakan-rakan kayuhan yang masih aktif ialah Haji Ramli Hj Yusof, 63 tahun; Haji Ramli Mohd Noor, 71 tahun,  Haji Karim Haji Yusof, 74 tahun dan pengayuh wanita Rohayu Ismam, 45 tahun. Kesemuanya menetap di Semenyih, Selangor.

Dari kanan: Abu Samah (72), Haji Karim Haji Yusof (74), Ramli Mohd Noor (71), Haji Ramli Hj Yusof (belakang) (63) ketika kayuhan Semenyih – Kuala Selangor – Semenyih.

Pengayuh tegar wanita, Rohayu Ismam mula meminati hobi berbasikal bermula pada 2016 untuk kecergasan tubuh badan. Pada mulanya, beliau hanya berkayuh secara santai pada jarak dekat berhampiran dengan taman perumahan. Selepas beberapa ketika, beliau turut serta bersama-sama dengan pengayuh-pengayuh yang lain dan mula berkayuh pada jarak jauh dan mengikut laluan jalan raya.

Sepanjang lapan tahun lalu, Rohayu sering berkayuh dari Semenyih ke Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur dan Seremban. Malah beliau telah berkayuh di Johor Bahru; Singapura serta Pulau Batam dan Pulau Karimun di Indonesia secara suka-suka bersama-sama dengan beberapa orang pengayuh yang lain.  Dalam menjayakan hobinya itu,  beliau telah membeli tiga buah basikal yang berbeza seperti basikal gunung dan basikal Cyclocross.

Ditanya tentang pengalamannya sepanjang aktif berbasikal, beliau pernah patah tangan kerana terjatuh dari basikal yang ditunggangnya di laluan off-road Bukit Mahkota Cheras, Kuala Lumpur. Laluan off-road di Bukit Mahkota sememangnya menjadi laluan para pengayuh basikal gunung. Walaupun terjatuh, Rohayu masih meneruskan hobi tersebut hingga hari ini kerana tujuannya adalah untuk kekal sihat. Sepanjang penglibatannya dalam hobi tersebut, beliau telah berjaya berbasikal secara solo pada jarak 127 km terus- menerus dari Semenyih ke Kuala Selangor yang memakan masa kira-kira 10  jam.

Langkah Keselamatan ketika Mengayuh Basikal

Aktiviti berbasikal di jalan raya terutama dalam kawasan bandar pada hari ini terdedah kepada banyak risiko keselamatan atau kemalangan, berbeza pada zaman sebelum 1990-an. Kebelakangan ini banyak berlaku kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa dalam kalangan penunggang basikal. Walaupun kemalangan itu takdir tetapi perkara tersebut terjadi mungkin disebabkan oleh kecuaian atau tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Sebagai contoh, pada 1980-an penunggang basikal tidak dihalang untuk berbasikal ke puncak Genting Highland disebabkan tidak banyak kenderaan berat melaluinya. Malah pengayuh basikal berpaut pada badan lori ketika mendaki kerana kenderaan berat terutamanya lori-lori yang mendaki puncak ketika itu bergerak perlahan.

Hari ini, demi keselamatan semua pengguna, banyak tempat atau laluan yang tidak membenarkan basikal ditunggang misalnya di lebuh raya dan kawasan bandar yang tertentu kecuali kawasan yang mempunyai lorong basikal seperti di Putrajaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur. Di samping itu, pemilihan basikal, pengetahuan mengenai kayuhan dan pemilihan pakaian ketika menunggang juga perlu dititikberatkan kerana perkara tersebut berkaitan dengan keselamatan.

Selain itu, penunggang basikal juga perlulah sentiasa mematuhi peraturan jalan raya. Penunggang basikal perlu menunggang secara sihat dan selamat dengan mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain di samping tidak melanggar peraturan. Hal demikian penting bagi mengelakkan kemalangan maut dalam kalangan pengayuh basikal. Cabaran utama pengayuh basikal ialah kenderaan berat di jalan raya.

Oleh itu, sempena merayakan Hari Basikal Sedunia yang disambut pada 3 Jun setiap tahun, berbasikallah untuk tujuan masing-masing dengan mematuhi peraturan bagi menghindari kecelakaan di jalan raya. Berbasikal juga merupakan alternatif kepada kenderaan berenjin, tanpa asap, mengurangkan kepanasan melampau dan dapat membantu kelestarian alam sekitar. Tambahan lain, pastikan juga aspek teknikal basikal adalah dalam keadaan sempurna untuk berada di atas jalan raya dan keadaan fizikal dan mental penunggang dalam keadaan yang normal.

Selamat Hari Berbasikal Sedunia 2024.

Panduan Berbasikal oleh Majlis Keselamatan Negara

Sumber: Laman Web Majlis Keselamatan Negara (MKN)

  • Mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya. Individu yang ingkar boleh dikenakan denda hingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
  • Pastikan anda menunggang di lorong yang ditetapkan untuk basikal dan tidak menunggang di kawasan yang dilarang bagi menjamin keselamatan.
  • Beri isyarat tangan yang betul beberapa saat sebelum menukar lorong sama ada ke kiri atau ke kanan.
  • Jaga jarak yang selamat antara kenderaan lain.
  • Jangan berbual dengan rakan atau menggunakan telefon bimbit semasa menunggang basikal.
  • Memakai topi keledar keselamatan yang bersesuaian dengan saiz kepala.
  • Bagi kayuhan pada waktu malam, pasang lampu yang berkelip di belakang basikal dan pakai jaket berjalur  reflektif.
  • Pastikan anda merancang perjalanan dengan menggunakan jalan yang biasa digunakan dan elakkan mengambil jalan yang anda tidak pasti keadaannya. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada sesat dan mengurangkan risiko kemalangan akibat keadaan jalan raya tersebut (Seperti jalan berlubang, jalan yang padat dengan kenderaan besar).
  • Elakkan juga menggunakan jalan yang terlalu sunyi jika berbasikal seorang diri bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah.
  • Langkah penjagaan keselamatan ini sedikit sebanyak dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang sekeliling.
  • Sentiasa semasa menunggang basikal rapat di sebelah kiri jalan.
  • Pergerakkan jika berkumpulan adalah dalam bentuk sebaris.
  • Penunggang basikal juga wajib mematuhi peraturan jalan raya sepertimana peraturan yang diguna pakai oleh kenderaan lain.
  • Bagi mengurangkan risiko kemalangan digalakkan untuk menunggang basikal di laluan basikal yang telah disediakan.

Jadual 1: Carta “Inseam” dan Saiz Bingkai Basikal Gunung (Nota: Jenis basikal adalah berlainan mengikut saiz dan ukurannya)

  Tinggi (sm) Inseam (sm) Saiz Bingkai (sm) Saiz
1 147 – 157 61 – 66 33 -35 XS
2 157 -168 68 -76 38 – 40 S
3 168 – 178 73 – 78 43 – 45 M
4 178 – 185 78 – 84 48 – 50 L
5 185 – 193 82 – 90 53 – 56 XL
6 193 – 198 88 + 56 – 61 XXL
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.