Oleh G. Manimaran
11 Jun 2024, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

ARAS paling bawah Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dikhususkan untuk pempamer Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) sahaja memerlukan tidak kurang daripada dua jam untuk para pengunjung meninjau setiap gerai untuk memilih karya pilihan mereka. Hal ini tidak termasuk tiga aras yang lain, misalnya di bahagian atas, yang turut mempamerkan ratusan buku pada kali ini. Berdasarkan laporan, lebih daripada 1.8 juta orang telah mengunjungi PBAKL kali ini yang berakhir pada 2 Jun lalu.

Produk terbitan DBP menjadi tumpuan utama sepanjang PBAKL 2024.

Tahniah kepada penganjur PBAKL dan kepada pengunjung yang cinta akan buku.  Tidak kira usia dan latar belakang mereka –  sama ada yang datang seorang diri atau bersama-sama rakan atau keluarga masing-masing, dari seluruh negara yang meluangkan masa untuk menjayakan PBAKL. Kehadiran setiap individu ini pastinya membawa makna yang lebih mendalam kepada PBAKL 2024.

Pelbagai aktiviti turut diadakan untuk memeriahkan dan mengisi semangat penganjuran PBAKL yang merupakan acara tahunan negara. Antaranya termasuklah penggunaan dewan besar yang dimanfaatkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang turut mengadakan pelbagai sesi khas kupasan buku. Dilaporkan, PBAKL 2024 menampilkan sebanyak 972 reruai, dengan 241 pempamer termasuk 14 dari luar negara. Antaranya termasuklah dari Singapura, Thailand, Filipina, India, China, Taiwan dan Iran.

Sepanjang PBAKL 2024 berlangsung, pelbagai aktiviti menarik diajurkan oleh DBP, antaranya termasuklah Majlis Pelancaran Buku Kanak-kanak Bertemakan Madani yang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah.

Tinjauan kasar mendapati setiap pengunjung pulang dengan bahan terbitan mengikut kesesuaian, keperluan dan kedudukan sumber masing-masing. Sekurang-kurangnya satu karya. Hal ini sekali gus membuktikan bahawa budaya membaca masih tinggi dalam kalangan rakyat di negara ini. Meskipun beberapa kajian menunjukkan bahawa budaya membaca semakin merosot, tetapi sambutan di WTCKL kali ini menunjukkan situasi positif yang berbeza. Cuma hal ini memerlukan pendekatan konstruktif sepanjang masa secara konsisten agar budaya membaca dalam kalangan rakyat, tidak kira umur, kekal terus meningkat, dan pada masa yang sama membantu memajukan industri buku negara dan kesemua pemegang taruh yang terlibat.

Perdana Menteri mengumumkan pemberian baucar buku dalam ucapan perasmian PBAKL 2024.

Pada PBAKL 2024, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turut mengumumkan baucar buku dengan harapan usaha itu akan menghidupkan kembali industri penerbitan, khususnya buku dan majalah. Mengikut pengumuman awal pemberian baucar buku membabitkan murid dan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memaklumkan bahawa pemberian baucar sebanyak RM50 disalurkan kepada murid Tahun 4 hingga Tahun 6, manakala RM100 kepada pelajar sekolah menengah, penuntut Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Kumpulan sasaran tersebut boleh menebus baucar buku melalui aplikasi DELIMa Kementerian Pendidikan.

Insentif ini nampak kecil, tetapi percayalah ada impak besar dalam jangka panjang. KPM turut berpandangan pengumuman itu mencerminkan keprihatinan Perdana Menteri terhadap kepentingan menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda. “Hal ini juga bertepatan dengan usaha berterusan KPM untuk mempertingkat budaya membaca dalam kalangan murid atau pelajar menerusi penganjuran pelbagai program galakan di setiap peringkat. Pemberian baucar buku seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah langkah ke hadapan yang menjadi pencetus kepada melahirkan generasi berilmu, pewaris masa hadapan Malaysia MADANI,” ucap Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku, Adibah Omar, menyifatkan bahawa pengumuman itu sebagai pencapaian paling berkesan yang disampaikan dan dilaksanakan oleh kerajaan dalam tempoh kurang 24 jam. Menurut Adibah, Perdana Menteri sentiasa menekankan untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat dan pemberian e-baucar ini disifatkan sebagai hadiah yang tidak ternilai kepada mereka yang terbabit dalam sektor perbukuan. “Hal ini secara tidak langsung akan merangsang untuk melahirkan pembaca baharu di samping mengekalkan pembaca yang sedia ada. Pada masa yang sama, penebusan secara pendigitalan sepenuhnya juga akan memberi impak kepada tiada ketirisan, 100 peratus dimiliki Kementerian Pendidikan dan bersasar,” tambah beliau.

Menerusi penebusan e-baucar di platform Kota Buku juga katanya secara tidak langsung akan mendukung aspirasi pendemokrasian akses perbukuan kepada semua pelajar sekolah. “Sistem pembelian buku secara pendigitalan seperti ini tidak dilaksanakan oleh negara jiran dan boleh dikatakan, Kota Buku yang pertama melaksanakannya di Asia Tenggara. Hal ini amat memenuhi apa-apa yang rakyat mahukan dan dilihat  Kerajaan MADANI amat menyokong industri perbukuan negara,” kata Adibah lagi.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Syeikh Faisal Syeikh Mansor, baucar buku dapat menyuburkan lagi budaya membaca dalam kalangan golongan muda, sekali gus menyuntik semangat membaca masyarakat menerusi aktiviti pembelian buku.

Hal ini juga dapat merangsang aktiviti penerbitan buku baharu yang lebih bermutu selaras dengan saranan Perdana Menteri yang mahukan rakyat negara ini mempunyai keupayaan menilai maklumat, menguasai ilmu pengetahuan dan mencari hikmah dalam kehidupan mereka, kata beliau sambil menambah, “MABOPA berharap program baucar buku ini diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha membudayakan pembacaan berkualiti demi pembangunan masyarakat MADANI yang mampan, progresif dan berilmu.”

Usaha perlu dilipatgandakan bagi memastikan peningkatan yang berterusan lagi berkekalkan. Kajian Profil Membaca yang dijalankan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati kadar pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat. Hasil kajian menunjukkan bahawa peningkatan ketara, iaitu daripada dua naskah buku setahun pada tahun 2005 kepada 15 naskhah buku setahun pada tahun 2014. Sementara itu, bagi tempoh 2022 – 2023, jumlah buku yang dibaca terus meningkat kepada 24 naskhah setahun. Menerusi maklumat yang dibentangkan di Dewan Negara akhir tahun lalu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang dipetik berkata, kedudukan itu adalah hasil daripada pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan. Inisiatif berkenaan termasuklah program u-Pustaka yang menawarkan 22 pangkalan data yang menawarkan lebih daripada 900,000 judul koleksi digital yang boleh diakses pada setiap hari menerusi e-Buku, e-Corner, e-Suratkhabar, e-Pembelajaran, e-Komik dan memperkasakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta pemberian baucar untuk membeli buku.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron menyebut bahawa lebih daripada 70 peratus pengunjung PBAKL terdiri daripada golongan muda dan keadaan itu merupakan satu perkembangan yang positif. Selain majoriti pengunjung terdiri daripada orang muda, difahamkan sebanyak 60 peratus daripada pempamer keseluruhan juga datang dari pelbagai peringkat umur. Katanya, sudah tentu banyak pihak akan skeptikal dengan perkembangan itu, tetapi, tegas beliau, “kita perlu mengambil cakna bahawa proses pengembangan ilmu di negara ini sebenarnya terus subur.” Oleh itu, kata Mohd Khair, berdasarkan kepada perkara itu, pihaknya yakin masa depan industri buku di negara ini akan terus berkembang ke arah yang positif.

Sebagaimana dikongsikan oleh Mohd Khair, PBAKL 2024 jelas menunjukkan sikap masyarakat gemar meraikan inisiatif ilmu yang dilaksanakan pada saban tahun. Katanya: “Hal ini merupakan khabar gembira kepada kita bahawa betapa masa depan industri buku yang selama ini menjadi kebimbangan segelintir penggemar bahan ilmiah fizikal, berkembang ke arah yang lebih positif.”

Dalam tulisannya bertajuk “Hala Tuju Industri Buku dalam Membina Negara Maju – Perspektif Penerbit”,  yang disiarkan lebih satu dekad lalu, Pengerusi Majlis Industri Buku Negara, Law King Hui pernah berkata, sebagai langkah jangka panjang, diharapkan kerajaan dapat memastikan bahawa peruntukan untuk pembelian buku bukan saja diteruskan dan dikekalkan, tetapi juga diberikan keutamaan malah ditambah tahun demi tahun. Menurut beliau, langkah itu akan dapat memberikan keyakinan kepada para pengusaha buku tempatan untuk terus melabur secara besar-besaran dalam program penerbitan mereka, lantas memesatkan perkembangan industri buku negara. “Untuk sebab ini juga, kerajaan harus memberikan kontrak pembelian buku kepada para pengusaha buku yang berwibawa saja. Para pengusaha pula mesti meningkatkan keupayaan masing-masing dari segi penerbitan dan juga tahap profesionalisme dari segi pengurusan,” kata beliau sambil menambah, “hal ini harus bergerak seiring dan sejajar dengan tanggungjawab yang semakin besar dan semakin berat.”

Penulis teringat kata-kata Napoleon Bonaparte: “Tunjukkan kepada saya keluarga pembaca dan saya akan tunjukkan kepada anda orang yang menggerakkan dunia.”

Penulis juga tumpang gembira dengan kejayaan PBAKL 2024. Hal ini termasuklah dua buku penulis yang telah mendapat tempat untuk pameran dalam PBAKL kali ini – Menjuarai Pilihan Raya: Magis Kepimpinan Adenan Satem.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.