Oleh Suyuthi Yusuf
23 Jun 2024, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nibong Tebal – Dewan SMK Seri Nibong, Pulau Pinang dimeriahkan dan bergemerlapan dengan pelbagai persembahan dalam Malam Bahasa Jiwa Bangsa bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Ke-68 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Sebelumnya pada sebelah pagi, sambutan ulang tahun tersebut diisi dengan pelbagai program yang melibatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, daripada pelajar sekolah sehinggalah ke peringkat dewasa.

Antara program menarik yang telah dijalankan termasuklah program seperti forum, pertandingan melibatkan kebahasaan dan kesusasteraan, perlawanan persahabatan bola sepak, dan kemuncaknya ialah Malam Bahasa Jiwa Bahasa.

Keakraban DBP dengan pihak sekolah diperkukuhkan dengan persembahan pembukaan daripada para pelajar SK Permatang Tok Mahat dan persembahan lagu puisi daripada para pelajar SMK Seri Nibong.

Persembahan lagu puisi daripada pelajar SMK Seri Nibong.

Kedua-dua persembahan tersebut membuka mata para hadirin dengan kepetahan dan lontaran bait-bait puisi yang mengesankan.

Seterusnya, Malam Bahasa Jiwa Bangsa diserikan lagi dengan persembahan Sketsa Kesaktian Lidah Rakyat Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, persembahan boria SK Sungai Bakau, dan persembahan seloka daripada Kumpulan Copacabana.

Persembahan Sketsa Kesaktian Lidah Rakyat, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.
Persembahan boria SK Sungai Bakau.

Dewan SMK Seri Nibong pada malam itu turut menyaksikan persembahan deklamasi puisi tamu oleh Tuan Haji Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP, dan Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Tuan Haji Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia ketika mendeklamasikan puisi.
Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP semasa mendeklamasikan puisi.
Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.

Tirai Malam Bahasa Jiwa Bangsa ditutup dengan persembahan artis yang sememangnya terkenal dengan membawa lagu kebudayaan dan lagu rakyat, iaitu Haziq Rosebi.

Haziq Rosebi ketika membuat persembahan.

Malam Bahasa Jiwa Bangsa tersebut sesungguhnya istimewa dan unik kerana memaparkan persembahan kebudayaan dan kesenian yang beraneka warna dan suara.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.