Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTinggal beberapa hari lagi temasya sukan terbesar di dunia akan membuka tirainya. Temasya Sukan Olimpik bagi tahun 2024 akan diadakan di Paris, Perancis bermula 26 Julai 2024 hingga 11 Ogos 2024.

Sebanyak 32 sukan akan dipertandingkan dengan menawarkan 329 pingat emas untuk diburu oleh 10,672 orang atlet yang telah melayakkan diri ke temasya ini. Memenangi pingat emas dalam Olimpik merupakan satu kejayaan terbesar bagi seseorang atlet dan menjadi pencapaian tertinggi dalam karier mereka selain kejohanan dunia yang dipertandingkan dalam sukan tersebut.
Untuk edisi ke-33 ini, sebanyak 196 negara akan menghantar atlet untuk bertanding termasuklah Malaysia. Kontinjen Malaysia akan menghantar sebanyak 26 atlet yang berjaya melepasi had kelayakan masing-masing termasuk dua orang atlet yang berjaya layak melalui tiket wild card. Lapan orang atlet badminton layak ke Sukan Olimpik diketuai oleh pemain perseorangan lelaki sensasi Malaysia, Lee Zi Jia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Pelumba basikal sensasi Malaysia, Azizulhasni Awang turut layak ke Olimpik buat kali kelima berturut-turut sejak Sukan Olimpik Beijing 2008 bagi mengejar emas pertama beliau dan emas pertama buat Malaysia. Beliau layak bersama-sama dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pelumba basikal wanita, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bagi membawa cabaran negara dalam acara lumba basikal trek.
Pelari pecut Malaysia yang sedang meningkat naik, Muhammad Azeem Fahmi diberi tiket wild card untuk beraksi bersama-sama pelari kelas dunia di Olimpik dalam sukan olahraga melalui acara 100 meter. Seorang lagi atlet sensasi Malaysia, Nur Dhabitah Sabri diberi tiket wild card dalam sukan terjun bagi mengiringi penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises yang berjaya layak secara merit melalui acara platform 10 meter. Nur Dhabitah pula akan beraksi dalam acara papan anjal tiga meter.
Ketiadaan seorang lagi penerjun terbaik Malaysia, Pandelela Rinong yang gagal layak secara merit menjadikan pasukan terjun negara hanya bergantung kepada dua orang penerjun sahaja untuk membawa cabaran Malaysia di Olimpik.
Selain tiga sukan tersebut, Malaysia turut mempunyai wakil dalam sukan angkat berat, memanah, menembak, golf, renang dan kapal layar. Satu lagi sukan yang menjadi sandaran ke Olimpik, iaitu hoki terus gagal layak setelah kali terakhir layak beraksi dalam Sukan Olimpik Sydney 2000. Sukan bola sepak juga masih gagal layak sehingga kini setelah berjaya layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 sebelum Malaysia menarik diri sebagai tanda boikot terhadap negara Rusia yang melancarkan perang dengan negara Afghanistan pada tahun itu.
Mengimbau sejarah pembabitan Malaysia dalam Sukan Olimpik, Malaysia mula menghantar atlet pada tahun 1956 yang berlangsung di Melbourne, Australia. Pada ketika itu, sebanyak 32 atlet Malaysia telah menyertai temasya terbesar dunia itu. Empat tahun selepas itu di Rome, Itali, Malaysia terus menghantar wakil untuk bersaing dengan atlet dari negara lain sehingga edisi kali ini.
Malaysia berjaya memperoleh pingat pertama Olimpik melalui sukan badminton apabila gandingan Razif dan Jalani Sidek telah memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Barcelona 1992melalui acara beregu. Pada ketika itu, tiada perlawanan penentuan pingat gangsa diadakan. Oleh itu, beregu Malaysia meraih pingat gangsa setelah tewas dalam pusingan separuh akhir kepada beregu Korea Selatan, Kim Moon-soo dan Park Joo-bong serta berkongsi pingat gangsa bersama-sama beregu China.
Pingat perak Olimpik pertama Malaysia berjaya diperoleh melalui sukan badminton di Sukan Olimpik Atlanta 1996. Beregu lelaki Malaysia, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock tewas kepada beregu Indonesia, Ricky Subagja dan Rexy Mainaky dalam perlawanan akhir. Seorang lagi atlet Malaysia, iaitu Rashid Sidek berjaya memenangi pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki badminton setelah menewaskan pemain Indonesia, Heryanto Arbi.
Kontinjen Malaysia gagal memenangi sebarang pingat dalam Sukan Olimpik Sydney 2000 walaupun disertai pemain badminton terbaik Malaysia, iaitu Ong Ewe Hock, Wong Choong Han, Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock. Beregu kedua Malaysia, Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah hampir-hampir berjaya memenangi pingat gangsa sebelum terkandas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa kepada beregu Korea Selatan, Ha Tae-kwon dan Kim Dong-moon.
Kemarau pingat juga dihadapi oleh kontinjen Malaysia semasa Sukan Olimpik Athens 2004 apabila semua atlet gagal dalam membawa balik sebarang pingat termasuk badminton. Ketika itu, sukan badminton diwakili oleh jaguh badminton Malaysia seperti Roslin Hashim dan Wong Choong Han, tetapi tetap gagal memberikan impak kepada persembahan kontinjen negara keseluruhannya. Namun begitu, sukan Olimpik 2004 telah memberikan pendedahan awal kepada tokoh badminton negara, Lee Chong Wei untuk menggegarkan dunia sukan badminton selepas itu.
Pada tahun 2008, Sukan Olimpik kembali dilangsungkan di Asia apabila Beijing menjadi bandar Asia ketiga menganjurkan sukan itu selepas Tokyo dan Seoul. Dalam edisi kali ini, kontinjen Malaysia berjaya meraih satu pingat perak melalui Lee Chong Wei. Beliau tewas dalam perlawanan akhir kepada pemain handalan China dan seteru beliau sendiri, Lin Dan.
Lee Chong Wei menghadiahkan pingat perak kedua dalam Sukan Olimpik London 2012 apabila sekali lagi tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir sukan acara perseorangan lelaki sukan badminton. Pasangan beregu lelaki Malaysia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong hampir-hampir memberikan sebutir pingat gangsa dalam perlawanan penentuan pingat gangsa sukan badminton sebelum tewas kepada pasangan beregu Korea Selatan, Jung Jae-sung dan Lee Yong-dae. Pandelela Rinong berjaya menceriakan kontinjen Malaysia apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam sukan terjun bagi acara platform 10 meter.
Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 menjadi tahun gemilang buat kontinjen Malaysia apabila Malaysia berjaya membawa pulang sebanyak empat pingat perak dan satu pingat gangsa. Sukan badminton berjaya menghasilkan tiga pingat perak melalui perseorangan lelaki, Lee Chong Wei, beregu lelaki, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong serta beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying. Satu lagi pingat perak disumbangkan oleh pasangan terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong. Pelumba basikal sensasi negara, Azizulhasni Awang berjaya meraih pingat gangsa dalam acara keirin sukan lumba basikal.
Dalam keadaan dunia sedang dilanda pandemik COVID-19, Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetap dilangsungkan pada tahun 2021, iaitu setahun lewat daripada jadual asal. Temasya sukan tersebut juga dilangsungkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton menjadikan temasya sukan itu suram tanpa sorakan penonton. Dalam edisi kali ini, Malaysia berjaya meraih satu pingat perak yang disumbangkan oleh Azizulhasni Awang dalam sukan lumba basikal dalam acara kegemarannya, keirin. Kem badminton Malaysia pula berjaya meraih satu pingat gangsa melalui beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang menewaskan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Dengan tarikh pembukaan yang berbaki beberapa hari lagi, rakyat Malaysia berharap atlet Malaysia akan berjaya membawa pulang pingat emas pertama Olimpik tidak kira dalam apa-apa acara sekali pun. Hal ini juga akan memberikan hadiah bermakna buat rakyat Malaysia yang akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos nanti.
Malaysia Boleh!