Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada hujung Mei yang lepas, cuti sekolah menjengah lagi. Ini bermakna, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 juga membuka pintunya kepada orang ramai untuk datang berkunjung. Terdapat dua peristiwa menarik dalam kalendar cuti sekolah pertengahan tahun kali ini. Pertama, PBAKL 2024 dan kedua, pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kohort yang lahir pada tahun 2006. Apakah persamaan tentang kedua-dua acara ini? Jawapan yang tepat pastinya buku!
Keputusan SPM 2023 berjaya mencatatkan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 4.60, pencapaian lebih baik berbanding dengan tahun 2022, iaitu 4.74. Sebanyak 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang kesemua A (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran pada 2023 berbanding dengan 10,109 calon pada tahun 2022. Secara keseluruhannya, keputusan SPM tahun ini mencatatkan peningkatan dan lebih baik daripada tahun lepas termasuklah bilangan lulus semua mata pelajaran dan peratus calon layak menerima sijil SPM.
Memetik ucapan tahniah oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim buat calon SPM melalui laman media sosialnya:
“Kepada yang peroleh keputusan cemerlang, teruskan usaha kalian dalam mendepani fasa berikutnya dalam kehidupan. Kepada yang kurang bernasib baik, ini bukan pengakhiran, sebaliknya masih banyak ruang dan dan peluang untuk cipta kejayaan baharu.”
Tidak dapat dinafikan, SPM hanyalah permulaan kehidupan daripada sebuah pengakhiran zaman persekolahan. Namun begitu, trend generasi kini yang ghairah ingin menjadi seorang pempengaruh media sosial (influencer) disebabkan gaya hidup mewah dengan merendah-rendahkan mereka yang ingin sambung belajar perlu diberi perhatian serius. Dakwaan ini ada kebenarannya kerana sebanyak 10,600 daripada 383,685 calon tidak menduduki SPM pada tahun 2023 manakala hampir 30,000 pada tahun 2022.
Pada tahun 2022, kaji selidik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus lepasan SPM tidak berminat menyambung pengajian. Trend pada 2019 itu berlarutan hingga tahun 2021. Mereka lebih memilih untuk bekerja sebagai pempengaruh, pemandu e-hailing atau penghantar makanan (pekerjaan gig).
Generasi keciciran (lost generation) wujud angkara pandemik COVID-19 kerana terpaksa mengharungi proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), secara dalam talian dan secara hibrid sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akibatnya, ada pelajar yang hilang minat belajar atas pelbagai faktor seperti tiada pembelajaran secara fizikal di sekolah, suasana di rumah yang berbeza, tidak dapat bertemu kawan-kawan, keterbatasan penggunaan teknologi, kurang tumpuan, mudah terganggu dan sebagainya. Sepatutnya, generasi pasca COVID-19 harus bangkit dan lebih bersedia dalam mendepani cabaran pendidikan hari ini serta keluar daripada kepompong PKP.
Persoalannya, siapakah yang akan meneruskan usaha gigih dalam dunia akademik seperti yang dilakukan oleh Ungku Aziz, Khoo Kay Kim dan Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam melahirkan melahirkan generasi yang seterusnya? Akan tetapi, penulis tidaklah berasa terlalu gusar terhadap persoalan tersebut jika melihat kepada kesesakan yang berlaku di PBAKL 2024 tahun ini. Dilaporkan juga PBAKL 2024 mencatatkan sejarah kehadiran pengunjung seramai 1.8 juta orang berbanding dengan 1.5 juta pengunjung pada tahun lepas. Cuma mungkin boleh difikirkan cara dan kedah untuk menarik pengunjung bukan Melayu yang lebih ramai supaya pesta buku ini lebih bercitrakan bangsa Malaysia dan bukannya hanya Melayu-sentrik.
Selain itu, penggunaan perkataan antarabangsa mempunyai kesan dan harapan yang besar. Apakah antarabangsa di sini bermaksud menarik pengunjung luar negara untuk datang membeli karya tempatan sebagaimana praktis yang dilakukan beberapa negara lain, merujuk kepada bilangan pempamer buku antarabangsa yang turut serta atau jumlah karya terjemahan dan alih bahasa ke bahasa kebangsaan juga merupakan satu indikasi pengantarabangsaan? Waima apa-apa sekalipun tanda yang menunjukkan “antarabangsa” itu, diharapkan objektifnya tercapai.
Tatkala dunia pada masa kini dihambat dengan segala-galanya yang berbentuk digital, ternyata buku dalam bentuk fizikal masih mempunyai peminatnya. Bau, tekstur dan kepuasan memegang sebuah buku itu mengatasi sifat bahan bacaan maya yang tidak mendatangkan nilai sentimental tersendiri. Kesemua itu berbalik kepada soal subjektiviti cita rasa dan keselesaan pembaca itu sendiri, bak kata pepatah “rambut sama hitam, hati lain-lain”.
Disebabkan hati lain-lainlah, maka kita tidak mampu menebak sanubari segelintir generasi kini yang kurang gemar menyambung pengajian selepas SPM. Sukacita untuk saya mengambil contoh calon Biduanita Negara Ketiga, Dato’ Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang menghabiskan pengajian pada peringkat SPM terlebih dahulu sebelum menjadikan nyanyian sebagai bidang kerjayanya. Penghibur No. 1 Asia, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga berjaya menggenggam segulung ijazah dalam bidang undang-undang dan pada masa yang sama turut mendunia dengan karya malar segarnya. Penyanyi hit masa kini, Aina Abdul juga gigih menyambung semula semesternya sehingga bergelar graduan jurusan muzik kontemporari meskipun sedang berada di puncak populariti.
Oleh itu, apakah penyebab anak muda tidak mahu menghabiskan mahupun menyambung pengajian selepas SPM? Jangankan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran dek terpengaruh dengan hasutan golongan minoriti yang belum tentu kejayaannya dalam jangka masa panjang. Hidup merupakan satu proses dan alamilah kehidupan ini dengan penuh kesabaran dan pengharapan kepada Yang Maha Esa. Ambillah ibrah syariat kitab suci agung Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat dan mengambil masa panjang selama 23 tahun (13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah).
Dunia kini sedang mengalami perkembangan evolusi sains dan teknologi menerusi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence/AI) yang menuntut tenaga kepakaran dalam negara di bidang ini. Bidang teknologi tinggi seperti AI, dron dan robotik merupakan peluang kerjaya pada masa depan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Riyadhu As-Salihin sempena Festival Turath Islami Selangor pada 1 Jun lalu menyarankan supaya negara melatih golongan muda mempunyai kepakaran AI untuk menerapkan khazanah ilmu Islam dan turath dalam korpus AI. Beliau juga tuntas mengusulkan penubuhan universiti dan Fakulti AI di Malaysia supaya berdaya saing dengan arus teknologi pesat dan membangun bertepatan dengan falsafah Malaysia MADANI seperti yang dicanangkan.
Begitu juga dengan pekerja berkemahiran tinggi seperti graduan jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan bidang perubatan amat diperlukan. Sama ada dalam bidang akademik, industri kreatif mahupun pasaran buruh, kesemuanya menuntut kepada pencarian ilmu berterusan menerusi kursus ditawarkan di peringkat pendidikan tertiari.
Jika generasi kini terus dimomokkan dengan budaya hedonisme dan “skim cepat kaya” versi masa kini yang disalutkan dengan balutan manis bernama pempengaruh, apakah suatu hari nanti buku-buku yang terdapat di PBAKL ditulis oleh orang luar atau AI?
Dr. Mohammad Hariz Shah Mohammad Hazim Shah, lulusan Ijazah Doktor Falsafah, Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan pernah menulis beberapa puisi, cerpen dan artikel yang tersiar dalam majalah Dewan Bahasa, Tunas Cipta, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Budaya dan Dewan Tamadun Islam.