Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBudaya minum kopi di Malaysia telah berkembang dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini mencerminkan trend global di samping mengekalkan citarasa dan pilihan tempatan. Coretan ini cuba meneroka landskap semasa budaya kopi di Malaysia dengan mengetengahkan trend, pengaruh dan gabungan unik tradisi dan inovasi dalam industri yang semakin berkembang ini.
Malaysia telah menyaksikan lonjakan signifikan dalam pengambilan kopi yang pastinya didorong oleh bilangan kelas pertengahan yang semakin meningkat berikutan peningkatan pendedahan pada trend kopi global melalui media sosial dan faktor-faktor lain. Percambahan kedai kopi yang melibatkan barista, rangkaian tempatan dan antarabangsa telah memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan senario kopi di seluruh negara.
Dari utara ke selatan, timur ke barat, penggemar kopi kini boleh menikmati pelbagai gaya kopi, iaitu daripada kopi tradisional Malaysia kepada minuman berasaskan espreso artisan. Kepelbagaian ini bukan sahaja dapat memenuhi pilihan rasa yang berbeza, malah turut memupuk penggemar kopi untuk berkumpul untuk meneroka dan menghargai kopi yang berkualiti.
“Budaya mengopi” juga sudah sebati dalam masyarakat Malaysia. Hal ini merujuk pada amalan, pengambilan dan penghayatan kopi dalam masyarakat kita yang tidak tidak hanya tertumpu pada budaya minum kopi semata-mata, tetapi juga nilai sosial dan tradisi yang berkaitan dengan kopi. Budaya mengopi boleh merangkumi pelbagai aspek terutamanya minum kopi pada pagi hari untuk membangkitkan semangat, semasa pertemuan sosial atau minum kopi sebagai satu cara untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga dan rakan-rakan. Budaya ini pastinya berlaku di tempat orang berkumpul untuk berinteraksi dan berbual-bual. Kedai kopi sering menjadi tempat bersosial dan budaya untuk orang bertemu, membaca, bekerja atau bersantai.
Kopi gourmet telah mendapat daya tarikan yang ketara di Malaysia dengan minat yang semakin meningkat dalam menikmati biji kopi asli yang datangnya dari pelbagai negara, selain teknik menuang dan dekorasi seni. Satu daripada keunikan dalam budaya kopi Malaysia ialah gabungan perisa tradisional dengan trend moden. Budaya kopi yang berakar umbi dalam tradisi kopi Malaysia, terus berkembang maju di samping kemunculan kopi kontemporari. Kopi tarik menjadi kegemaran rakyat Malaysia kerana kopi “ditarik” untuk menghasilkan tekstur berbuih dan kekal sebagai minuman ruji di kopitiam tempatan mahupun kedai kopi di pekan dan kampung.
Selain itu, inovasi terhadap industri kopi yang menggabungkan bahan baharu dan gaya persembahan terkini turut menarik minat generasi muda. Gabungan jalinan warisan dengan inovasi ini mengekalkan identiti budaya di samping pengaruh global.
Hal ini tidak hanya menjadikan pelancongan kopi menjadi semakin popular di Malaysia dengan kehadiran pelancong asing, malah pengunjung tempatan turut mencari destinasi kopi yang terkenal. Bandar seperti Ipoh yang terkenal dengan kopi putihnya, menarik pengunjung yang ingin mencuba kopi asli Malaysia dan meneroka kepentingan sejarahnya.
Daripada situ, munculnya rangkaian kopitiam OldTown White Coffee yang merupakan satu daripada jenama kopi yang paling dikenali di Malaysia yang terkenal dengan kopi putih Ipoh yang terkenal. Begitu juga dengan bandar Kluang yang terkenal dengan kopi stesen keretapinya. Kluang Rail Coffee sangat terkenal sehingga membuka beberapa cawangan di sekitar bandar tersebut. Kopitiam penuh sejarah itu menjadi saksi kepada pertemuan kepada ramai orang yang melangkaui generasi dan tradisi. Begitu juga dengan satu lagi pekan yang terletak di daerah Batu Pahat, iaitu Rengit yang sangat tersohor dengan jenama tempatannya sehingga beberapa cawangan kopitiam jenama Rengit Coffee dibuka di beberapa daerah di negeri Johor.
Malah ketika penulis meluangkan masa di bandar Muar yang terkenal dengan jenama kopi 434, jenama ini juga diabadikan sebagai satu daripada mural di bandar tersebut. Perubahan dalam cara minum kopi berdasarkan generasi juga direkodkan dalam mural di Muar. Pada tahun 1953, cara tradisional minum kopi adalah dengan menyedutnya dari piring. Kemudian ptahun 1969, populariti minum “ngopi” ikat tepi meningkat bagi membolehkan individu membawa kopi ke mana-mana dengan mudah. Pada tahun 1982 pula, amalan “ngopi” menggunakan tin susu pekat manis menjadi trend. Pada tahun 2023, ketika generasi itu memasuki usia tua, mereka lebih selesa menikmati kopi di warung kopi atau kopitiam.
Selain itu, kafe hipster kopi persendirian di Malaysia yang kini sedang berkembang pesat telah menyumbang kepada pertumbuhan budaya kopi dengan meningkatkan pilihan pengguna dan menggalakkan penghasilan kopi berkualiti. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk gaya hidup bandar dan menyediakan ruang sosial apabila individu boleh berhubung atas minat bersama untuk kopi dan kreativiti.
Hal ini juga memberi ruang dan peluang kepada jenama tempatan untuk berkembang di negara sendiri bagi menyeimbang jenama global yang semakin hari semakin banyak cawangan yang dibuka di Malaysia. Antaranya jenama Starbucks yang diasaskan apda tahun 1971 yang merupakan rangkaian kedai kopi multinasional Amerika yang beribu pejabat di Seattle. Kini Starbucks merupakan rangkaian kedai kopi terbesar di dunia.
Jenama lain yang banyak cawangannya di Malaysia ialah The Coffee Bean & Tea Leaf yang merupakan rangkaian kopi Amerika yang diasaskan pada tahun 1963 dan dimiliki dan dikendalikan oleh ibu pejabat korporatnya di Los Angeles. Gloria Jean’s Coffees pula merupakan jenama kopi Amerika-Australia yang beribu pejabat di Sydney. Jenama lain yang semakin mendapat tempat di Malaysia ialah Kopi Kenangan. Kopi Kenangan merupakan satu daripada rangkaian kopi grab-and-go yang paling pesat berkembang di Indonesia. Idea Kopi Kenangan bermula kerana pengasasnya mempunyai misi untuk memperluas minat mereka terhadap kopi Indonesia sebagai jenama tempatan dari Indonesia ke seluruh dunia. Jenama tempatan yang semakin berkembang, iaitu Kopi Zusyang memiliki sebanyak 360 cawangan di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2023.
Gigi Coffee juga merupakan jenama tempatan Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2019. Pada masa ini, kedai kopi ini mempunyai cawangan di Malaysia dan Korea. Richiamo Coffee pula merupakan jenama tempatan yang mempunyai rangkaian kedai kopi premium dengan harga yang berpatutan. Jenama He & She Coffee pula banyak membuka cawangannya di kampus universiti awam dan swasta. Situasi ini menunjukkan bahawa terdapat jalinan hubungan antara ilmu dengan kopi.
Penulis tertarik dengan kata-kata seorang professor bahawa kopi telah lama menjadi semangat bagi kebanyakan cendekiawan, tetapi seiring dengan masa berlalu, peranan minuman ini didapati semakin mendalam dalam budaya akademik universiti. Beliau menekankan peri pentingnya kedai kopi sebagai ruang penting untuk mencerna pemikiran dan penulisan. Menurutnya, kopi berfungsi sebagai pencetus kepada banyak cendekiawan untuk melahirkan pemikiran dan penulisan mereka.
Bagi kebanyakan mahasiswa dan pensyarah, kedai kopi tidak sekadar tempat untuk minum kopi, tetapi juga tempat untuk memperkayakan pelbagai dialog intelektual. Beliau berseloroh, “jumlah saya melihat mahasiswa merakamkan penghargaan kepada kedai kopi dalam penulisan disertasi mereka adalah kedua tertinggi selepas ibu bapa mereka”. Menurut profesor tersebut, kedai kopi menawarkan lebih daripada kopi dan akses Wi-Fi percuma yang memberikan “kebisingan sosial” menerusi suasana yang cukup untuk meminimumkan tekanan kerja akademik yang mencabar. Dalam konteks ini, kedai kopi telah menjadi tempat yang kritikal dalam memupuk dan mewujudkan budaya ilmu dalam kalangan warga universiti. Mereka tidak hanya menyediakan minuman, malah turut membina komuniti yang menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan.
Budaya kopi di Malaysia pada hari ini semakin berkembang kerana tidak lagi hanya menjadi budaya di negara empat musim yang menyaksikan kopi kebiasaannya diambil untuk memanaskan badan, namun sudah menjadi trend di kebanyakan negara di dunia. Di Malaysia, industri kopi adalah cerminan dari gabungan dinamik tradisi, inovasi dan pengaruh global. Industri kopi di negara ini mengalami pertumbuhan yang signifikan dengan munculnya kopi gourmet yang dibuat daripada 100 peratus biji kopi Arabica yang dipersembahkan dengan aroma yang memikat dan rasa yang kaya. Biji Arabica terkenal akan kemampuannya menghasilkan kopi yang menggugah selera dengan tekstur yang pekat dan memuaskan.
Kopi tidak hanya sebagai minuman harian, tetapi juga menjadi fenomena budaya dan sosial yang terus berkembang di Malaysia. Hal ini menciptakan ruang bagi para penggemarnya untuk bersatu melalui pengalaman yang mereka nikmati bersama-sama. Namun begitu, pengambilan kopi juga perlu dikawal. Merujuk pada laman sesawang The School of Public Health, Harvard University, kopi adalah campuran yang kompleks lebih daripada seribu bahan kimia yang mempengaruhi cita rasa dan sifatnya. Setiap cawan kopi yang kita pesan dari kedai kopi mungkin menawarkan pengalaman yang berbeza berbanding dengan kopi yang kita bancuh sendiri di rumah.
Faktor-faktor seperti jenis biji kopi yang digunakan, cara pemanggangan, tahap pengisaran dan teknik penyediaan kopi dapat menentukan rasa dan karakter kopi tersebut. Tindak balas manusia terhadap kopi, khususnya terhadap kafein juga berbeza-beza antara individu. Dos kafein yang rendah hingga sederhana dapat meningkatkan tenaga dan kemampuan untuk kekal fokus dan menumpukan perhatian terhadap perkara yang sedang dilakukan. Akan tetapi, dos yang lebih tinggi mungkin menyebabkan kesan negatif seperti kegelisahan, kebimbangan, insomnia dan peningkatan kadar denyutan jantung.
Namun demikian, penyelidikan yang telah dikumpulkan mengenai kopi menunjukkan sifatnya yang lebih terarah pada manfaat kesihatan. Walau bagaimanpun, manfaat kesihatan yang disebabkan oleh kafein atau sebatian tumbuhan lain dalam biji kopi perlu dipertimbangkan. Malah penggemar kopi perlu mengetahui jumlah kopi optimal yang diperlukan pada setiap hari untuk mendapatkan manfaat kesihatan. Dengan memahami dengan lebih baik komposisi dan kesan kopi, kita dapat memanfaatkan potensi positifnya sambil mengelakkan risiko negatif yang mungkin timbul daripada pengambilan kopi secara berlebihan.
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.