Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Malaysia perlu dijadikan contoh negara yang bertoleransi sekali gus menjadi teras dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Baginda bertitah demikian pada Persidangan Serantau Asia Tenggara Mengenai Kemuliaan Insan 2024 dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Pusat Undang-undang dan Pengajian Islam Antarabangsa (ICLRS) Brigham Young University, di sini, hari ini.
Dalam titahnya, baginda menyatakan kekesalan terhadap layanan tidak bermaruah yang diterima oleh sesetengah individu, termasuk kekangan kebebasan beragama.
“Di seluruh dunia pada hari ini, individu dengan kepercayaan agama berbeza dan latar belakang dilucutkan maruah mereka kerana kepercayaan yang dianuti secara keseluruhannya.
“Di sesetengah negara, kumpulan agama tertentu dihukum oleh kerajaan, diusir dari rumah, malah dibunuh kerana kepercayaan mereka,” titah baginda dalam persidangan bertemakan “Kemuliaan untuk Semua, Di Semua Tempat: Ke Arah Membangunkan Masyarakat Terangkum”.
Sultan Nazrin pada masa sama memuji rekod Malaysia yang mendukung toleransi dan keterangkuman rakyat secara amnya.
“Sejak deklarasi Rukun Negara pada 1970-an, susulan rusuhan kaum yang bersejarah terdahulu, Malaysia bekerja keras untuk mempromosi penyatuan dan kebersamaan masyarakat berbilang bangsa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Pada tahun 2008, agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), UNESCO, menamakan George Town dan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia dan memujinya sebagai ‘contoh bandar perdagangan pelbagai budaya’, menyokong sejarah hampir 500 tahun dialog antara budaya,” titahnya.
Toleransi itu dikukuhkan lagi dengan kenyataan bahawa ada sebanyak 137 bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia, titah Raja Nazrin selain pelbagai perayaan agama, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas, Tahun Baru Cina, Wesak dan Thaipusam.
Baginda juga menyeru supaya rakyat berusaha untuk menghapuskan kekerasan, yang dilakukan terhadap individu hanya kerana pemakaiannya ataupun warna kulit.
Titahnya, individu tidak kira kepercayaan dan latar belakang berhak berasa selamat dan dihormati di negara mereka ataupun ketika melakukan perjalanan ke luar negara.