Diterbitkan pada 20 Ogos 2024, 18:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sukan Olimpik Paris 2024 telah melabuhkan tirai secara rasminya beberapa hari yang lalu. Pelbagai kontroversi melanda pada edisi kali ini, iaitu bermula dengan upacara perasmian yang tidak menarik, penggunaan lokasi yang tidak selamat dan kotor serta penyertaan atlet tertentu yang tidak mengikut kelayakan.

Walau apa-apa pun yang terjadi ketika temasya sukan ini berlangsung, kontinjen Amerika Syarikat terus mengekalkan penguasaan mereka pada peringkat dunia apabila berjaya menjadi juara keseluruhan dengan mengumpul sebanyak 40 pingat emas. China di tempat kedua dengan pungutan pingat emas yang sama, namun dibezakan dengan jumlah kutipan pingat perak. Amerika Syarikat mengumpul sebanyak 44 pingat perak berbanding dengan China dengan 27 pingat perak. Jepun menjadi satu lagi negara Asia yang berjaya menduduki tempat ketiga dengan kutipan sebanyak 20 pingat emas. Ketiga-tiga kontinjen ini berjaya mengekalkan kedudukan seperti mana di Tokyo 2020.

Kontinjen Malaysia yang menghantar sebanyak 26 atlet di temasya sukan kali ini masih gagal membawa pingat emas yang diidam-idamkan. Malaysia hanya berjaya membawa pulang dua kalungan pingat gangsa, sekali gus gagal memperbaiki persembahan ketika Tokyo 2020. Dalam edisi yang lalu, Malaysia berjaya mengutip satu pingat perak melalui Azizulhasni Awang dalam acara keirin sukan basikal, manakala satu pingat gangsa disumbangkan oleh beregu lelaki badminton, iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Sukan Olimpik Paris 2024 meninggalkan kenangan pahit buat kontinjen negara.

Untuk edisi Paris 2024, sukan badminton tidak pernah mengecewakan sejak edisi Beijing 2008 apabila sukan itu menyumbangkan dua pingat gangsa. Beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berjaya mengekalkan pingat gangsa yang dimenangi di Tokyo 2020 apabila menewaskan beregu Denmark, Andres Skaarup Rasmussen dan Kim Astrup dengan mata 16-21, 22-20 dan 21-19. Beregu lelaki Malaysia itu terlebih dahulu tewas dalam aksi separuh akhir kepada beregu dari China, Liang Weikeng dan Wang Chang dengan mata 19-21, 21-15 dan 17-21. Beregu Denmark itu pula tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir kepada pasangan Taiwan yang merupakan pemenang pingat emas Paris 2024, Lee Yang dan Wang Chi-lin dengan mata 21-18, 17-21 dan 10-21.

Perseorangan lelaki badminton Malaysia, Lee Zii Jia berjaya memenangi pingat gangsa setelah menewaskan pemain perseorangan lelaki badminton India, Lakshya Sen dengan mata 13-21, 21-16 dan 21-11. Lee Zii Jia terlebih dahulu tewas kepada perseorangan lelaki Thailand, Kunlavut Vitidsarn dalam aksi separuh akhir dengan mata 14-21 dan 15-21. Lakshya Sen pula tewas kepada perseorangan lelaki Denmar, Viktor Axelsen dengan mata 20-22 dan 14-21 dalam satu lagi aksi separuh akhir. Viktor Axelsen berjaya mempertahankan pingat emas Olimpik yang dimenanginya di Tokyo 2020 dengan menewaskan Kunlavut Vitidsarn dengan mata 21-11 dan 21-11 dalam perlawanan akhir.

Harapan Malaysia untuk menambah satu lagi pingat gangsa dalam sukan badminton berkecai apabila beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tewas kepada beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida dalam perlawanan penentuan pingat gangsa. Mereka tewas dengan kiraan mata 11-21 dan 11-21. Dalam perlawanan separuh akhir, beregu wanita Malaysia itu tewas kepada beregu China, Chen Qingchen dan Jia Yifan dengan kiraan mata 12-21, 21-18 dan 15-21. Beregu China itu berjaya memenangi perlawanan akhir dengan menewaskan satu lagi beregu China, Liu Shengshu dan Tan Ning dengan kiraan mata 22-20 dan 21-15. Chen Qingchen dan Jia Yifan turut berjaya memperbaiki pencapaian di Tokyo 2020 apabila mereka memenangi pingat perak dalam kejohanan itu.

Setelah badminton gagal membuahkan pingat emas kepada kontinjen Malaysia, tumpuan terarah kepada wakil daripada sukan terjun dan sukan basikal. Atlet sukan lain seperti menembak, memanah, terjun, olahraga dan pelayaran gagal membutirkan sebarang pingat. Pelari pecut 100 meter Malaysia, Muhammad Azeem Fahmi turut gagal untuk mara lebih jauh dalam sukan olahraga apabila terkandas dalam pusingan pertama. Beliau menduduki kedudukan tercorot dalam saingannya dan hanya mencatatkan masa larian 10.45 saat jauh daripada rekod kebangsaan yang dimilikinya, 10.09 saat.

Atlet renang sensasi Malaysia, Nur Dhabitah Sabri tidak berjaya memperbaiki pencapaian ketika Tokyo 2020 apabila menduduki tempat ke-12 dalam peringkat akhir acara papan anjal 3 meter. Dalam edisi 2020, beliau berjaya menduduki tempat ke-4 dalam acara yang sama. Namun begitu, pencapaian beliau lebih baik daripada seorang lagi penerjun lelaki Malaysia apabila Nur Dhabitah Sabri berjaya mara ke peringkat akhir setelah melepasi peringkat awal dan peringkat separuh akhir. Penerjun lelaki, Bertrand Rhodict Lises hanya menduduki tempat ke-25 dalam peringkat awal acara platform 10 meter sekali gus gagal ke peringkat separuh akhir.

Harapan kontinjen Malaysia untuk mendapatkan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam sukan basikal juga berakhir dengan kekecewaan apabila pelumba basikal sensasi negara, Azizulhasni Awang gagal mara lebih jauh dalam acara kegemaran beliau, keirin. Beliau gagal melepasi pusingan pertama acara itu apabila dibatalkan penyertaan ketika perlawanan sedang dijalankan. Beliau dikesan melepasi pacer sebelum masa yang dibenarkan, sekali gus meleburkan harapan beliau sendiri untuk memperbaiki pencapaian di Tokyo 2020.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom menjadi wakil tunggal negara untuk menyumbangkan sesuatu dalam acara keirin setelah pelumba basikal wanita, Nurul Izzah Izzati gagal memberikan impak dalam acara yang sama. Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya mara ke perlawanan akhir setelah melepasi pusingan repechage, suku akhir dan separuh akhir untuk berlumba dengan lima orang pelumba terbaik lain. Harapan beliau untuk meraih pingat berkecai setelah basikalnya berlanggar dengan pelumba basikal dari Jepun pada selekoh terakhir dan melenyapkan harapan kontinjen Malaysia untuk menambah pingat di Paris 2024.

Walaupun beberapa sukan gagal memberikan impak dalam edisi kali ini, kontinjen Malaysia seharusnya berbangga apabila sukan angkat berat berjaya memberikan kejutan apabila Mohamad Aniq Kasdan hampir-hampir memberikan pingat pertama dalam sukan itu kepada Malaysia. Beliau yang bertanding kategori 61 kg berjaya menduduki tempat keempat dengan jumlah angkatan sebanyak 297 kg. Angkatan beliau hanya dibezakan dengan 1 kg sahaja daripada pemenang pingat gangsa, iaitu atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris yang berjaya mengangkat jumlah angkatan sebanyak 298 kg. Pingat emas dimenangi oleh Li Fabin dari China, manakala pingat perak dimenangi oleh Theerapong Silachai dari Thailand.

Pencapaian dua pingat gangsa yang diraih di Paris 2024 bukanlah pencapaian terburuk kontinjen Malaysia, nampaknya bukan juga pencapaian terbaik Malaysia. Sasaran pingat emas yang ditunggu-tunggu sejak penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik Melbourne 1956 masih lagi tiada penghujungnya. Namun begitu, jika dibandingkan dengan pencapaian negara Asia Tenggara yang lain, iaitu Filipina dan Indonesia yang berjaya meraih dua pingat emas serta Thailand yang berjaya memenangi satu pingat emas, Malaysia masih perlu mempergiat lagi usaha untuk memperkasa atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Sukan badminton perlu terus menjadi lubuk pingat negara, manakala sukan lain seperti angkat berat, basikal dan terjun boleh dipertingkatkan lagi pencapaian atlet mereka. Tambahan lagi, sukan skuasy bakal dipertandingkan di Los Angeles 2028 akan menjadi satu lagi sukan prospek untuk memenangi pingat di temasya itu kelak.

Semua pihak sama ada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Olimpik (MOM), persatuan sukan dan atlet sendiri perlu sama-sama berusaha untuk memperkasakan  lagi latihan bagi agar pingat emas Olimpik pertama Malaysia berjaya digapai empat tahun lagi. Bakat-bakat baharu juga perlu digilap melalui pelbagai kejohanan tempatan seperti Sukan Malaysia (SUKMA) agar Malaysia tidak ketandusan atlet dan terlalu bergantung kepada seorang atlet sahaja bagi satu-satu acara. Mereka juga perlu diberikan peluang untuk beraksi dalam kejohanan antarabangsa seperti Sukan SEA 2025 yang akan dilangsungkan di Thailand dan Sukan Asia 2026 di Jepun sebagai pendedahan dan tiket untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Kemarau emas Olimpik pertama Malaysia terus berpanjangan dan kita berharap kemarau itu akan ternoktah empat tahun lagi.

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi