Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBadminton merupakan satu daripada sukan yang bukan sahaja popular di Malaysia, malah turut mempunyai daya tarikan yang luar biasa dalam menyatukan rakyat dari pelbagai latar belakang. Dengan sejarah pencapaian yang membanggakan pada peringkat antarabangsa, badminton sekian lama telah menjadi satu medium perpaduan bagi rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Negara kita telah melahirkan banyak jaguh badminton bertaraf dunia. Nama-nama seperti Datuk Lee Chong Wei, Rashid Sidek, Misbun Sidek, Jalani Sidek, Roslin Hashim, Muhammad Hafiz Hashim dan beberapa orang lagi telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Pencapaian mereka tidak hanya membanggakan negara, bahkan turut membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Kejayaan mereka dalam pertandingan seperti All England, Piala Thomas dan Sukan Olimpik menjadi detik yang menyatukan seluruh rakyat Malaysia apabila semua lapisan masyarakat bersatu hati menyokong dan meraikan kejayaan mereka.
Sukan Olimpik yang lalu mencatatkan sebuah lagi detik bersejarah negara apabila para penyokong menyaksikan aksi penuh dramatik dan luar biasa beregu lelaki negara, iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan pingat gangsa yang diperolehi mereka ketika Sukan Olimpik di Tokyo empat tahun lepas. Kali ini, sejarah tercipta sekali lagi di Sukan Olimpik 2024 di bumi Paris.
Menyorot kembali aksi mereka, mereka tewas pada set pertama kepada pasangan beregu dari Denmark, iaitu Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dengan keputusan 16-21. Pada set kedua, ketika rakyat Malaysia hampir hilang harapan apabila pasangan negara ketinggalan 16-20, namun disebabkan oleh kekentalan minda dan fizikal yang dimiliki, mereka memastikan tiada yang mustahil dan akhirnya mereka menang dengan keputusan 22-20. Set ketiga yang juga merupakan set penentuan menyaksikan sekali lagi rakyat Malaysia seolah-olah tidak keruan apabila ketika mereka mendahului dengan selesa, namun dikejar dalam sebuah penentuan yang begitu mendebarkan sehingga pasangan Denmark menyamakan kedudukan dengan 19-19. Tuah akhirnya berpihak kepada negara apabila kemenangan berpihak kepada pasangan beregu dari Malaysia dengan keputusan 21-19.
Kejayaan ini sangat relevan dengan pepatah “agi idup agi ngelaban” yang bermaksud “selagi hidup, selagi melawan” dengan semangat perjuangan beregu badminton negara yang bejuang habis-habisan sehingga berjaya memperoleh pingat gangsa di Olimpik Paris 2024 dan juga pingat pertama buat Malaysia untuk sukan Olimpik edisi 2024. Mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi dan tidak berputus asa walaupun menghadapi cabaran dan tentangan yang sengit daripada beregu Denmark. Mereka terus berjuang sehingga ke titisan peluh terakhir. Beregu badminton negara kelihatan tidak gentar dan kekal tenang, sekali gus mempamerkan aksi keberanian yang luar biasa. Mereka bertarung tanpa henti walaupun berdepan dengan kesukaran tertentu.
Pingat gangsa yang diperolehi oleh mereka menjadi simbol keberhasilan semangat juang yang tiada penghujung. Perjuangan beregu badminton negara di Olimpik Paris merupakan manifestasi daripada semangat yang terkandung dalam pepatah “agi idup agi ngelaban”. Mereka merupakan inspirasi kepada semua pihak bahawa dengan semangat juang yang kental, apa-apa sahaja rintangan yang mendatang dapat diatasi walau sesukar manapun, sekaligus mecapai kejaayan tidak hanya buat mereka, tetapi juga untuk negara.
Beregu badminton negara telah menunjukkan ketahanan mental yang luar biasa, tidak menyerah walaupun menghadapi saingan sengit dari pihak lawan yang kuat dalam situasi yang genting dan mencabar. Mereka tetap fokus dan bersemangat untuk terus berjuang hingga ke akhir. Sebelum menempatkan diri perlawanan penentuan pingat gangsa ini, pasangan beregu badminton lelaki negara ini kelihatan berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan sebelum layak dalam aski perlawanan penentuan pingat gangsa. Kejayaan mereka ini menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk tidak berputus asa dalam menghadapi cabaran.
Ketika berlangsungnya pertandingan badminton pada peringkat antarabangsa, rakyat Malaysia sentiasa bersatu hati menyokong wakil negara. Suasana penuh emosi ini juga dapat dilihat di pelbagai tempat awam, seperti di kedai kopi, restoran dan juga di rumah masing-masing. Ketika perlawanan sedang berlangsung, segala perbezaan diketepikan dan semua mata tertumpu pada skrin untuk menantikan setiap pukulan dan mata yang diperoleh. Sukan ini menjadi satu topik perbualan yang merentasi pelbagai lapisan masyarakat. Hal ini boleh dilihat dalam pelbagai platform media sosial dan menjadi bahan bualan semua pihak. Apatah lagi, aksi luar biasa yang dipamerkan oleh pasangan beregu tersebut sehingga kemenangan akhirnya berpihak kepada Malaysia.
Badminton telah membuktikan permainan ini sebagai lebih daripada sekadar sukan di Malaysia kerana turut berperanan sebagai simbol perpaduan dan kebanggaan buat negara yang berjaya menyatukan pelbagai lapisan masyarakat. Menerusi sejarah pencapaian yang membanggakan dan peranannya sebagai medium perpaduan, badminton akan terus menjadi sukan yang begitu sinonim dengan masyarakat majmuk di negara ini. Dalam setiap pertandingan dan kemenangan, badminton mengingatkan kita bahawa perpaduan adalah kekuatan terbesar negara.
Syabas kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Tahniah Malaysia!
Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, Sekolah PendidikanFakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia.