Oleh Hafizul Osman
24 September 2024, 19:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pesta Bola Merdeka merupakan antara kejohanan bola sepak jemputan berprestij tertua dianjurkan di Asia. Kejohanan ini bermula pada tahun 1957 bagi meraikan sambutan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj merupakan tokoh yang mengaspirasikan penganjuran kejohanan ini dan dianjurkan di stadium keramat, iaitu Stadium Merdeka. Pada ketika itu, beliau turut memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pada edisi pertama itu, sebanyak lapan pasukan menyertai kejohanan ini. Pasukan Hong Kong League XI berjaya merangkul kejuaraan dan menjadi juara sulung Pesta Bola Merdeka yang dilangsungkan secara liga satu pusingan. Pasukan Malaysia hanya sekadar menduduki tempat keempat di belakang pasukan Indonesia yang mendapat tempat kedua dan Vietnam Selatan yang menduduki tempat ketiga.

Malaysia buat pertama kali menjadi juara Pesta Bola Merdeka dalam edisi kedua yang dilangsungkan pada tahun 1958. Kali ini, sebanyak lima pasukan termasuk Malaysia berentap sesama sendiri dalam liga satu pusingan. Malaysia berjaya mengungguli carta liga dengan pungutan sebanyak tujuh mata setelah menewaskan pasukan Indonesia, Hong Kong League XI dan Vietnam Selatan. Pasukan Singapura menjadi penghalang kepada Malaysia untuk mendapatkan mata maksimum lapan mata apabila kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 0-0.

Sejak itu, pasukan Malaysia berjaya memenangi Pesta Bola Merdeka sebanyak 12 kali sehingga tahun 2023. Sebelum edisi yang dianjurkan pada tahun 2024, Malaysia telah memenangi kejuaraan ini pada tahun 2013 melalui skuad Harimau Muda, iaitu pasukan bawah 23 tahun. Ketika itu, pasukan bawah 23 tahun Malaysia dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee. Sebanyak empat pasukan telah menyertai kejohanan pada tahun itu, iaitu pasukan Myanmar, Thailand, Singapura dan Malaysia. Semua pasukan menghantar pasukan bawah 23 tahun sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2013 yang dilangsungkan di Nay Pyi Taw, Myanmar. Pasukan Malaysia mempunyai misi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA yang dimenangi secara berturut-turut pada tahun 2009 di Vientiane, Laos dan pada tahun 2011 di Jakarta, Indonesia.

Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang menjadi saksi kemenangan Malaysia dalam perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2013 setelah menumpaskan Myanmar dengan jaringan 2-0. Singapura menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Thailand dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Setelah 10 tahun tidak dianjurkan, Pesta Bola Merdeka kembali semula pada tahun 2023 dan dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 13 hingga 17 Oktober 2023. Tidak seperti dalam edisi-edisi sebelum ini, buat pertama kali kejohanan ini dilangsungkan secara kalah mati membabitkan empat pasukan. Selain Malaysia, pasukan Lubnan, Palestin dan India telah mengesahkan untuk hadir bersaing dalam kejohanan itu. Kejohanan ini menjadi medan terbaik sebagai persiapan bagi keempat-empat pasukan itu yang bersaing dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan November 2023 dan kejohanan Piala Asia 2023 yang dilangsungkan di Qatar pada bulan Januari 2024.

Namun begitu, pasukan Lubnan menarik diri daripada kejohanan itu kerana telah diundi bersama-sama pasukan Palestin dalam kumpulan yang sama bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. Oleh itu, tempat Lubnan telah diganti oleh pasukan Tajikistan.

Kemudian, beberapa hari sebelum Pesta Bola Merdeka berlangsung, pasukan Palestin terpaksa menarik diri kerana negara itu terlibat dengan kancah peperangan dengan negara Israel. Oleh sebab kesuntukan masa, pihak FAM tidak sempat menjemput pasukan lain sebagai ganti dan kejohanan itu diteruskan dengan hanya tiga pasukan sahaja.

Pasukan Malaysia berjaya meloloskan diri ke perlawanan akhir edisi 2023 setelah menewaskan pasukan India pada peringkat separuh akhir. Malaysia bertemu dengan pasukan Tajikistan yang telah diberikan kemenangan percuma selepas penarikan diri pasukan Palestin. Dalam perlawanan akhir, Malaysia tewas kepada pasukan Tajikistan dengan jaringan 0-2.

Pesta Bola Merdeka terus dilangsungkan pada tahun 2024. Kejohanan yang diadakan pada 4 hingga 8 September 2024 itu masih mengekalkan format seperti mana edisi 2023. Sebanyak empat pasukan telah menyertai kejohanan ini, iaitu juara bertahan, Tajikistan, Filipina, Lubnan dan Malaysia. Selepas undian, pasukan Malaysia telah diundi bertemu dengan Filipina, manakala Tajiskitan diundi berhadapan dengan Lubnan. Pemenang setiap perlawanan akan layak beraksi di perlawanan akhir. Semua perlawanan dilangsungkan di stadium keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pasukan Malaysia menerima tamparan hebat sebelum kejohanan berlangsung apabila jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon telah meletak jawatan pada bulan Julai 2024. Oleh sebab kesuntukan masa, FAM telah melantik penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon, Pau Marti Vicente untuk mengendalikan skuad itu. Perkara ini turut diburukkan lagi apabila pasukan penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya memboikot kejohanan tersebut dengan tidak hadir memberikan sokongan untuk semua perlawanan yang membabitkan pasukan Malaysia. Mereka mahu Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin bertanggungjawab atas peletakan jawatan Kim Pan-gon.

Pesta Bola Merdeka tetap diteruskan walaupun tanpa kehadiran Ultras Malaya. Penyokong lain turut hadir bagi memberikan sokongan kepada pasukan Malaysia. Malaysia bermula baik apabila berjaya mengalahkan pasukan Filipina dalam peringkat separuh akhir dengan jaringan 2-1. Malaysia bertemu dengan pasukan Lubnan yang berjaya mengalahkan juara bertahan, Tajikistan dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan jaringan 1-0.

Dalam perlawanan akhir, pemain naturalisasi Malaysia yang beraksi dengan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), iaitu Romel Morales berjaya menjaringkan gol tunggal untuk melayakkan Malaysia memenangi trofi Pesta Bola Merdeka buat kali ke-13. Malaysia menang dengan jaringan 1-0. Pasukan Tajikistan pula memenangi tempat ketiga setelah menewaskan pasukan Filipina melalui penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa sebenar.

Dengan memenangi Pesta Bola Merdeka ini, pasukan Malaysia menerima tonik tambahan dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2024 yang akan berlangsung pada bulan Disember 2024. Selain itu juga, kemenangan ini turut menaikkan ranking semasa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila FAM menyasarkan Malaysia akan berada dalam balang satu menjelang undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia AFC 2027.

Jika Malaysia kekal diletakkan dalam balang dua, berkemungkinan besar pasukan Malaysia akan diundi bertemu dengan pasukan-pasukan yang berada pada ranking yang lebih tinggi seperti Thailand, Vietnam, Lubnan, Tajikistan dan Syria dalam majlis undian yang diadakan pada bulan Disember 2024. Hal ini akan menyukarkan harapan Malaysia layak ke Piala Asia AFC 2027 di Arab Saudi. Untuk layak, 24 pasukan yang tinggal akan diundi dalam enam kumpulan yang membabitkan empat pasukan bagi setiap kumpulan. Hanya juara kumpulan yang layak beraksi di kejohanan itu.

Besar kemungkinan Pesta Bola Merdeka akan diteruskan lagi pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, semuanya bergantung pada penganjur, iaitu FAM untuk merancang agar kalendar perlawanan persahabatan yang dikeluarkan oleh pihak FIFA dimanfaatkan sepenuhnya pada setiap tahun.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.