16 Oktober 2024, 18:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Islam sebagai agama bagi Persekutuan diperuntukkan oleh undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, sering kali tafsiran yang diberikan apabila menggambarkan kedudukan Islam di Malaysia, lebih menjurus kepada bidang kuasa yang tersenarai dalam bidang kuasa Negeri mengikut Jadual Kesembilan sahaja. Hal ini menjadikan seolah-olah sering berlaku konflik antara Undang-undang Sivil dengan Undang-undang Syariah semata-mata apabila suatu pengadilan itu diputuskan di Mahkamah Kehakiman Persekutuan yang dipopularkan sebagai mahkamah sivil.

Pada hakikatnya, mahkamah sivil itu bermaksud mahkamah awam yang tidak mempunyai bidang kuasa dalam undang-undang diri bagi orang Islam. Undang-undang diri bagi orang Islam diadili oleh mahkamah syariah selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Senarai Negeri.

Lebih serius apabila istilah sekular ditafsirkan secara bebas tanpa merujuk pada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sejarah perundangan Tanah Melayu. Frasa “Persekutuan sebagai sebuah negeri sekular” tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan hanya disebut dalam Laporan Kertas Putih Cadangan Perlembagaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kerja Perlembagaan (Constitutional Commission Working Party) diikuti dengan ayat, “dan setiap orang akan mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agamanya sendiri dan hak untuk menyebarkan agamanya, walaupun hak terakhir ini tertakluk pada apa-apa sekatan yang dikenakan oleh undang-undang Negeri yang berkaitan dengan penyebaran apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganut agama Islam.”

Keterangan tersebut menunjukkan bahawa istilah “sekular” tidak boleh ditafsirkan sebagai pemisahan antara undang-undang negara dengan ajaran agama. Sebaliknya, negara sekular bermaksud walaupun Islam diisytiharkan sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi membenarkan amalan berbilang agama yang turut menjamin kebebasan beragama bagi penganut bukan beragama Islam seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Jelasnya, terdapat peruntukan yang menyentuh kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, Ketua Agama Islam, Ketua Agama Negeri, institusi agama, sumpah untuk memelihara agama Islam, jaminan kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan perlindungan terhadap kedudukan agama ketika berlaku darurat.

Kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan lebih terserlah sekiranya kuasa kedaulatan yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu seperti yang dibahaskan dalam buku Kedaulatan Raja-Raja Melayu: Jurispruden, Governan dan Prinsip Perlembagaan Persekutuan (2018); Kenegaraan Malaysia: Sejarah, Kedaulatan dan Kebangsaan (2020); Yang di-Pertuan Agong: Kedaulatan, Prerogatif dan Amalan (2021) dan Kedaulatan Malaysia Governan Utama Negara (2022) dijadikan sebagai bahan rujukan.

Terbitan tahun 2022.
Terbitan tahun 2018.
Terbitan tahun 2022.
Terbitan tahun 2021.

Dalam hal ini, sejarah perundangan 3(1) dan Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan turut menjelaskan kedudukan Islam di sisi Perlembagaan. Perkara 3(4) memperuntukkan, “Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam Perlembagaan ini”.

Yang di-Pertuan Agong mempunyai dua kedudukan utama, iaitu pemegang kuasa kedaulatan bagi memperkenankan Undang-undang Persekutuan bagi pihak Raja-raja Melayu dan sebagai Ketua Agama Wilayah Persekutuan, negeri yang tidak mempunyai Raja serta negeri Baginda sendiri.

Penggubalan Perkara 3 Perlembagaan dibuat dengan mengambil kira sikap Raja-raja Melayu terhadap kewajipan untuk memelihara kepercayaan agama orang Islam yang dinyatakan dalam Butiran 53 Memorandum Raja-raja Melayu bertarikh 12 September 1956 yang bermaksud:

Mengenai persoalan pemeliharaan kebebasan beribadat dan perlindungan toleransi agama, Duli Yang Maha Mulia akan menegaskan bahawa di bawah pengaturan Perlembagaan sekarang kepercayaan agama orang Islam adalah perkara yang dirujuk kepada Negeri-negeri, Raja-raja yang menjalankan kuasa pentadbiran kepercayaan agama orang Islam di wilayah masing-masing dan bahawa pemeliharaan kebebasan beribadat dipelihara oleh perlembagaan Negeri. ….Walaupun Duli Yang Maha Mulia pada dasarnya tidak menentang toleransi agama tertakluk pada pertimbangan keselamatan awam, baginda-baginda mesti menyatakan pandangan bahawa sebarang campur tangan terhadap kedudukan kepercayaan agama orang Islam yang ditetapkan mengikut perlembagaan sekarang, pada masa ini akan penuh dengan bahaya kepada keselamatan dalaman Persekutuan dan kejayaan kempen menentang unsur-unsur subversif.

Inti pati titah Diraja tersebut ialah hal ehwal kepercayaan agama orang Islam yang menyentuh kebebasan beribadat dan perlindungan toleransi agama hendaklah kekal di bawah kuasa Negeri. Tuntutan itu dibuat kerana kuasa Negeri telah diserahkan (delegated) kepada Persekutuan seperti yang termaktub dalam Jadual Kedua Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 ialah undang-undang awam yang secara amalannya Raja-raja Melayu bertindak mengikut nasihat pegawai British. Kuasa yang menyentuh undang-undang diri bagi orang Islam dan adat Melayu dilaksanakan oleh Raja-raja Melayu melalui permesyuaratan dengan para pembesar Baginda tanpa disyaratkan pelibatan pegawai British. Meskipun aspek awam pemerintahan dilaksanakan oleh Raja-raja Melayu mengikut nasihat pegawai British, agama Islam tetap merupakan agama Negeri dan undang-undang yang diperkenalkan melalui nasihat pegawai British tetap tertakluk pada keadaan tempatan, iaitu ajaran agama Islam dan adat tempatan.

Keterangan tersebut menunjukkan bahawa Undang-undang Awam yang diterjemahkan sebagai Undang-undang sivil dalam Akta Undang-undang Sivil 1956 (Disemak, 1972) bukanlah undang-undang yang terkecuali daripada pemakaian prinsip patuh syariah. Kekeliruan terhadap istilah antara Undang-undang Sivil dengan Undang-undang Syariah begitu terserlah sehingga Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin sebelum ini begitu berhati-hati membuat tafsiran kedudukan undang-undang Islam di bawah bidang kuasa Persekutuan dan Negeri. Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun dalam Penghakiman majoriti kes Nik Elin menyatakan:

[119] Jika kesalahan yang digubal oleh Negeri adalah kesalahan yang hanya boleh terpakai kepada orang Islam, yang digubal hanya untuk tujuan undang-undang Islam atau alasan agama dan hanya terhad kepada agama Islam yang berkaitan dengan (1) aqidah; (2) kesucian agama Islam dan institusinya atau (3) yang semata-mata berkaitan dengan moral dalam Islam, maka hal itu adalah “kesalahan agama semata-mata” dan digubal secara sah oleh Negeri.

[120] Walau bagaimanapun, jika kesalahan yang digubal oleh Negeri yang dipersoalkan adalah “kesalahan agama” tetapi boleh, dalam inti pati dan inti pati, dianggap sebagai menerapkan prinsip “undang-undang jenayah umum” yang berkaitan dengan ketenteraman awam, keselamatan, kesihatan, keselamatan, moral dan lain-lain secara keseluruhan, maka tidak boleh dikatakan sebagai “kesalahan agama semata-mata” dan akan menjadi tidak sah kerana telah ditangkap oleh klausa penghalang.

Satu perkara yang perlu diketahui bahawa peruntukan Perkara 3(4) tidak dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid, malah penggubalannya dalam Kertas Putih Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dibantahi oleh Lord Reid dan Sir Ivor Jennings. Surat Jennings kepada Reid bertarikh 6 Julai 1957 bermaksud, “Saya berkongsi keraguan anda tentang Perkara 3(4). Ditafsirkan secara literal, jelas melucutkan warganegara daripada sebarang remedi kerana melanggar hak yang diberikan oleh Bahagian II. Jika itu niatnya, hal tersebut merupakan perkara yang paling serius dari segi politik yang akan membolehkan majoriti Melayu, selagi ada satu (dan saya rasa itu akan berlaku dua puluh tahun), untuk mendiskriminasikan mengikut yang difikirkan sesuai dan hasilnya mungkin revolusi Cina. Jika Peguam Cara Parlimen bermaksud tafsiran itu, MCA dan MIC jelas tidak boleh dan tidak ada sebutan tentang perubahan besar ini dalam Kertas Putih.”

Surat Reid kepada Alan Lennox-Boyd bertarikh 8 Julai 1957 pula bermaksud, “Perkara yang paling membimbangkan saya ialah Artikel 3(4) yang baharu. Ini merupakan peruntukan penting dan saya terikat untuk mengatakan bahawa pada pandangan saya, penggubalan itu sangat cacat, tetapi mungkin sudah terlambat untuk melakukan apa-apa sekarang.”

Keterangan tersebut merupakan tafsiran dua orang hakim kanan yang dianggap antara paling berwibawa pada zamannya yang secara langsung mengakui Perkara 3(4) mengukuhkan kedudukan undang-undang Islam pada peringkat Persekutuan dan Negeri.

Kritikan Reid dan Jennings turut menyentuh penggubalan Perkara 4(3), 40(3), 50(3), 66(6), 113(1) dan 166(7) Perlembagaan Persekutuan. Meskipun implikasi Perkara 3(4) dinyatakan sedemikian, namun Kerajaan British bersama-sama Raja-raja Melayu bersetuju untuk mengekalkan peruntukan tersebut. Hingga ke hari ini peruntukan Perkara 3(4) itu masih kekal. Namun begitu, tafsiran yang dibuat oleh kebanyakan hakim dan sarjana terhadap Perkara 3(4) bercanggah dengan apa-apa yang ditafsirkan oleh Reid dan Jennings disebabkan mereka berpandangan bahawa Perkara 3(4) menjadikan Perkara 3(1) tidak mengatasi peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan.

Secara rumusannya, mereka yang selama ini begitu kuat berpegang dengan laporan Suruhanjaya Reid perlu menerima tafsiran Reid dan Jennings terhadap Perkara 3(4), sekali gus mengiktiraf ketinggian Islam dan prinsip patuh syariah.

Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Profesor Madya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun IIUM/ Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.