24 Oktober 2024, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fenomena keluarga tanpa anak atau childfree yang merujuk kepada keputusan individu atau pasangan untuk tidak mempunyai anak, semakin mendapat perhatian di Malaysia. Trend ini bukanlah sesuatu yang baharu tetapi sudah pun berkembang secara global sejak pertengahan abad ke-20, terutamanya di negara-negara Barat.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, perkara ini menjadi isu apabila semakin dipraktikkan terutamanya dalam kalangan golongan muda yang terdedah kepada perubahan norma sosial dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat. Pilihan untuk hidup tanpa anak dipengaruhi oleh beberapa faktor utama seperti kos sara hidup yang tinggi, tumpuan terhadap kerjaya dan perubahan nilai serta norma sosial yang menyebabkan masyarakat semakin terbuka dengan pilihan untuk tidak mempunyai anak.

Kos untuk membesarkan anak semakin lama semakin mahal sehingga memberikan tekanan yang besar terhadap kehidupan seharian terutamanya bagi golongan muda. Kos membesarkan anak di bandar utama seperti Kuala Lumpur boleh mencapai antara RM400,000 hingga RM1.1 juta sehingga pendidikan universiti, menjadikan keputusan untuk tidak mempunyai anak sebagai pilihan bagi sesetengah individu.

Pada masa yang sama, Malaysia juga sedang menghadapi peningkatan populasi warga emas. Menjelang tahun 2030, dianggarkan bahawa 15 peratus daripada penduduk negara ini akan terdiri daripada individu berumur 60 tahun ke atas. Peningkatan ini bukan sahaja memberikan kesan kepada struktur keluarga tradisional tetapi juga menimbulkan persoalan tentang sistem sokongan sosial bagi warga emas pada masa hadapan. Tanpa anak untuk menjaga dan menyokong mereka, beban penjagaan mungkin terpaksa ditanggung oleh negara dan perkhidmatan kepada komuniti.

Fenomena keluarga tanpa anak dan peningkatan warga emas mencipta cabaran baharu bagi Malaysia. Dengan lebih ramai pasangan memilih untuk tidak mempunyai anak, negara berpotensi menghadapi kekurangan generasi muda yang dapat menyokong golongan tua pada masa akan datang. Hal ini berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan kestabilan sosial, memandangkan sistem sokongan tradisional yang bergantung kepada keluarga terutama anak-anak semakin berkurangan.

Implikasi Sosial dan Ekonomi

Fenomena keluarga tanpa anak membawa pelbagai implikasi sosial dan ekonomi yang signifikan. Kesan pilihan ini terhadap struktur keluarga dan masyarakat amat ketara, terutamanya dalam konteks tradisi kekeluargaan yang selama ini menjadi asas kepada masyarakat Malaysia. Dalam budaya yang sangat menghargai institusi keluarga, keputusan untuk tidak mempunyai anak sering kali dianggap sebagai pilihan yang agak janggal. Hal ini berpotensi mengubah struktur keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak mungkin berkurangan.

Tanpa kehadiran anak, pasangan yang memilih gaya hidup ini mungkin menghadapi cabaran dalam mendapatkan sokongan emosi dan fizikal ketika usia tua. Keadaan ini juga akan menimbulkan persoalan tentang bagaimana mereka akan menguruskan keperluan penjagaan pada usia tua, memandangkan sistem sokongan tradisional yang bergantung kepada anak semakin terhakis.

Selain itu, penurunan kadar kelahiran di Malaysia juga membawa kesan langsung kepada ekonomi negara. Menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kelahiran di Malaysia menunjukkan penurunan ketara dalam beberapa dekad terakhir. Dengan lebih ramai individu memilih untuk tidak mempunyai anak, negara berpotensi menghadapi kekurangan tenaga kerja muda pada masa akan datang.

Kekurangan generasi muda ini bukan sahaja akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengurangkan daya saing negara dalam pasaran global. Sektor kritikal seperti pertahanan dan keselamatan awam mungkin mengalami kekurangan sumber manusia yang mencukupi untuk menjalankan operasi mereka secara efektif. Beban ekonomi yang mungkin ditanggung oleh negara akibat penurunan generasi muda adalah sangat serius.

Dengan peningkatan jumlah warga emas yang memerlukan perkhidmatan kesihatan dan sosial, kerajaan terpaksa memperuntukkan lebih banyak sumber untuk memenuhi keperluan warga emas lalu menyebabkan berlakunya tekanan tambahan ke atas sistem sokongan sosial dan kewangan negara. Dalam situasi ini, kerajaan perlu merancang dan melaksanakan strategi yang dapat menangani isu ini dengan berkesan.

Dalam menghadapi isu penurunan kadar kesuburan, banyak negara, terutamanya dalam kalangan anggota Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah melaksanakan pelbagai strategi dan sokongan keluarga untuk meningkatkan kelahiran. Satu daripada faktor utama yang mempengaruhi keputusan keluarga untuk mempunyai anak ialah kos untuk membesarkan anak. Kos yang tinggi sering kali menjadi penghalang bagi pasangan muda untuk memulakan keluarga. Oleh itu, strategi kesejahteraan keluarga yang berkesan dapat membantu mengimbangi beban kewangan ini. Pendekatan kesejahteraan keluarga di negara OECD secara signifikan dapat meningkatkan kadar kesuburan yang berpanjangan.

Pendekatan sokongan keluarga boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu manfaat tunai, subsidi perkhidmatan dan insentif cukai. Manfaat tunai termasuk elaun kanak-kanak dan faedah semasa cuti bersalin, manakala subsidi perkhidmatan merangkumi kemudahan penjagaan kanak-kanak dan pendidikan awal.

Insentif cukai pula termasuk pengecualian cukai dan kredit cukai untuk kanak-kanak. Sebagai contoh, Jerman dan Sweden telah melaksanakan pelbagai insentif untuk mendorong pasangan muda mempunyai anak, termasuk manfaat kewangan dan akses kepada perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti. Hal ini termasuk bantuan kewangan langsung serta sokongan infrastruktur seperti pusat pengasuhan kanak-kanak.

Kesan Terhadap Sistem Sokongan Keluarga

Sistem sokongan tradisional yang menekankan anak sebagai sumber sokongan utama terhadap warga emas kini berhadapan dengan cabaran baharu. Trend untuk memilih tidak mempunyai anak akan mengakibatkan warga emas tidak memperoleh sokongan keluarga yang sepatutnya. Dalam masyarakat yang mengutamakan nilai kekeluargaan, keputusan untuk tidak mempunyai anak bukan sahaja mempengaruhi struktur keluarga tetapi juga menimbulkan persoalan tentang cara warga emas akan dijaga dan disokong pada usia tua mereka.

Perubahan dalam sistem sokongan penjagaan warga emas ini dapat dilihat melalui peningkatan jumlah individu yang tinggal di institusi penjagaan. Kemasukan warga emas ke rumah penjagaan semakin meningkat, walaupun ini bertentangan dengan norma sosial dan tradisi yang menggalakkan penjagaan di rumah oleh anak. Apabila warga emas tinggal di institusi, mereka sering kali mengalami pengasingan sosial dan kehilangan hubungan dengan keluarga serta komuniti asal mereka. Hal ini menyebabkan mereka tidak lagi menerima sokongan emosi dan bantuan daripada ahli keluarga.

Situasi ini tentunya memberikan kesan negatif kepada kesejahteraan psikologi dan fizikal mereka. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan mengenai kualiti hidup warga emas dan keperluan untuk membina semula jaringan sosial yang menyokong mereka. Satu isu penting yang timbul daripada perubahan ini ialah fenomena kesunyian dan kemurungan dalam kalangan warga emas.

Selain itu, istilah lonely death juga semakin berleluasa. Dalam konteks ini, istilah tersebut merujuk situasi apabila individu meninggal dunia tanpa sesiapa yang menyedari atau hadir untuk memberikan sokongan. Fenomena ini semakin meningkat di negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan terutama dalam kalangan warga emas. Di Jepun, fenomena ini digelar sebagai “kodokushi”, manakala di Korea Selatan disebut sebagai “godoksa”. Rentetan daripada fenomena ini, Malaysia juga berpotensi menghadapi masalah serupa jika tidak ditangani dengan serius.

Dengan perubahan struktur keluarga dan peningkatan migrasi penduduk, banyak warga emas tinggal sendirian tanpa sokongan keluarga atau rakan-rakan. Kurangnya interaksi sosial turut menyumbang kepada fenomena ini.  Warga emas yang hidup dalam kesunyian mungkin tidak mempunyai medium untuk berhubung dengan orang lain, menjadikan mereka terasing dan lebih terdedah kepada risiko kematian berseorangan.

Warga emas yang terasing daripada interaksi sosial cenderung mengalami penurunan dalam kualiti dan kesejahteraan hidup mereka.  Warga emas yang mengalami pengasingan sosial lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kesunyian yang seterusnya boleh meningkatkan risiko kematian.

Strategi dan Jalan Penyelesaian

Dalam menghadapi perubahan demografi ini, pendekatan kerajaan yang berkesan perlu dilakukan untuk menangani isu ini dan meningkatkan sokongan kepada pasangan muda dan warga emas. Pertama, kerajaan perlu melaksanakan strategi insentif kewangan bagi pasangan muda yang bercadang untuk mempunyai anak. Insentif ini boleh merangkumi bantuan kewangan langsung, potongan cukai dan subsidi bagi perbelanjaan berkaitan dengan pendidikan dan penjagaan anak. Dengan menyediakan sokongan kewangan yang mencukupi, kerajaan dapat mendorong lebih ramai pasangan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka mengenai keluarga tanpa anak.

Kedua, peningkatan akses kepada kemudahan penjagaan kanak-kanak yang berkualiti dan berpatutan menjadi langkah penting dalam strategi kerajaan. Pusat pengasuhan kanak-kanak yang mudah diakses dan berkualiti tinggi dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pasangan muda. Selain itu, program latihan bagi pengasuh kanak-kanak juga perlu diperkenalkan untuk memastikan bahawa anak mendapat penjagaan yang optimum. Dengan adanya sokongan dalam bentuk kemudahan penjagaan kanak-kanak, pasangan muda mungkin lebih cenderung untuk mempunyai anak.

Ketiga, penting untuk menggalakkan kesedaran tentang kepentingan keluarga dalam masyarakat. Kempen pendidikan awam boleh dijalankan untuk menerangkan manfaat mempunyai anak serta tanggungjawab sosial yang datang bersama-sama keputusan tersebut. Melalui pendekatan ini, masyarakat dapat memahami bahawa membina keluarga bukan sahaja memberikan makna kepada kehidupan individu tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.

Bagi warga emas, kerajaan perlu memastikan bahawa sistem sokongan sosial yang kukuh tersedia bagi mereka. Perkara ini termasuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang mencukupi dan akses kepada kemudahan penjagaan warga emas. Program komuniti yang melibatkan warga emas dalam aktiviti sosial juga perlu diperkaya bagi mengurangkan pengasingan sosial dan risiko kematian berseorangan. Dengan membina jaringan sokongan yang lebih baik, warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti dan turut serta dalam masyarakat.

Selain itu, kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk memperkenalkan strategi imigresen yang mesra keluarga bagi menarik tenaga kerja muda dari luar negara. Cara ini dapat membantu mengimbangi kekurangan populasi muda di Malaysia dan memastikan bahawa sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan tidak terjejas. Secara keseluruhannya, strategi kerajaan yang berfokus kepada insentif kewangan, kemudahan penjagaan kanak-kanak, pendidikan awam mengenai kepentingan keluarga serta sokongan kepada warga emas ialah langkah penting dalam menangani isu keluarga tanpa anak dan peningkatan populasi warga emas di Malaysia. Dengan pendekatan yang holistik dan inklusif ini, negara dapat memastikan kesejahteraan generasi akan datang serta memelihara kestabilan sosial dan ekonomi pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, cabaran yang dihadapi oleh Malaysia akibat fenomena keluarga tanpa anak dan peningkatan populasi warga emas memerlukan perhatian serius daripada semua pihak. Perancangan masa depan yang berkesan penting untuk memastikan kesejahteraan generasi akan datang serta memelihara kestabilan sosial dan ekonomi negara. Dengan langkah strategik yang tepat, Malaysia dapat menghadapi perubahan demografi ini dengan lebih baik dan memastikan bahawa semua rakyatnya dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan bermakna. Melalui pendekatan holistik ini, diharapkan Malaysia dapat mengatasi cabaran ini dengan berkesan sekali gus memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat mendapat sokongan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan berkualiti. Dengan demikian, masa depan negara dapat dibentuk dengan lebih baik, menjamin kesejahteraan dan keharmonian bagi semua warganya.

Kredit Foto: Joe Hepburn | Unsplash
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.