Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 atau Akta 852 oleh kerajaan yang bermula 1 Oktober lalu menerima reaksi positif daripada masyarakat. Usaha kerajaan bagi mengekang aktiviti tidak sihat ini dilihat progresif, ditambah lagi dengan pengumuman dua kawasan larangan merokok yang baharu, iaitu kawasan dobi dan kawasan tempat kerja yang akan mula berkuat kuasa Januari tahun hadapan wajar dipuji. Namun begitu, siapakah sebenarnya yang berperanan penting untuk memastikan akta ini dapat dilaksanakan dengan jayanya?
Umum mengetahui bahawa merokok merupakan aktiviti yang tidak sihat untuk tubuh badan manusia. Bahan kimia seperti tar, nikotin, karbon monoksida dan 10 bahan berbahaya yang lain, terkandung dalam sebatang rokok ibarat racun yang secara perlahan-lahan membunuh perokok terbabit. Lebih malang lagi, kesan buruk rokok bukan sahaja kepada perokok, malah turut melibatkan perokok pasif – orang sekeliling yang menghidu bau asap rokok yang tidak gemar pun merokok!
Saban tahun, kerajaan melakukan pelbagai usaha dengan mengambil langkah proaktif bagi mengurangkan masalah rokok ini. Antaranya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan ilustrasi penyakit kronik akibat rokok berada pada bahagian hadapan kotak rokok yang dijual sejak tahun 2008. Selain itu, iklan kesedaran berkenaan bahaya rokok juga banyak dipaparkan di televisyen, radio dan media sosial yang boleh diakses oleh seluruh rakyat dengan harapan isu ini dapat dikurangkan biarpun tidak dapat diatasi sepenuhnya.
Hal ini demikian kerana, perokok kini tidak hanya melibatkan golongan dewasa, malah turut terdiri daripada kalangan remaja seawal usia 15 tahun. Berdasarkan laporan sebuah akhbar tempatan pada tahun 2022, statistik menunjukkan bahawa sebanyak 15.6 peratus remaja yang berumur 15 hingga 19 tahun menggunakan produk tembakau. Walaupun terdapat data terkini berkenaan penurunan jumlah remaja merokok konvensional pada tahun ini, namun belum masanya untuk kita menarik nafas lega. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan demi mencapai matlamat negara yang bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang tahun 2040.
Berbalik pada persoalan awal tadi, siapakah yang memainkan peranan penting untuk memastikan masalah rokok ini mampu dikekang? Ternyata, pihak yang paling besar pengaruhnya untuk memastikan kejayaan Akta 852 ini ialah tidak lain dan tidak bukan ialah keluarga dan masyarakat sendiri.
Mereka berperanan penting bagi memastikan usaha murni kerajaan dapat disempurnakan. Dalam sebuah rancangan bual bicara, seorang pensyarah dari Jabatan Psikologi Pendidikan Universiti Malaya ada menyatakan bahawa perlunya kerjasama daripada keluarga dan masyarakat untuk melaporkan sebarang perkara yang melanggar Akta 852 kepada pihak yang bertanggungjawab. Bukan dengan hanya berdiam diri dan menutup mata sahaja.
Sebenarnya, kesedaran masyarakat hari ini berkenaan bahaya rokok kian meningkat. Walau bagaimanapun, ketegasan masyarakat terhadap perokok agak kurang dipraktikkan. Kebanyakannya masih “segan” untuk memberikan pandangan atau menegur perokok yang tidak beretika di tempat awam. Sedangkan masyarakat mempunyai pengaruh besar untuk sama-sama mengekang aktiviti yang tidak sihat ini daripada terus berleluasa.
Sewajarnya apabila terdapat individu dalam kalangan ahli keluarga atau orang awam yang merokok bukan pada tempatnya, kita wajar menegur mereka. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin, adalah wajar untuk kita sama-sama membantu mereka dengan menggalakkan mereka untuk berhenti merokok dan menegur apabila tidak beretika semasa merokok. Bak kata orang cerdik pandai, “perlu membiasakan perkara yang betul dan membetulkan perkara yang biasa.”
Biarpun begitu, apabila menegur, tegurlah dengan berhikmah supaya matlamat menegur itu dapat dicapai, ibarat “menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”. Tidak akan rendah martabat seseorang itu apabila menegur kesalahan orang lain dengan baik, bahkan sikap tersebut boleh mencerminkan peribadi yang baik dan mampu menjadi suri teladan kepada orang lain. Kepada yang ditegur pula, janganlah menegakkan benang yang basah, terimalah teguran tersebut dengan hati yang terbuka dan berazamlah untuk menjadi seorang individu yang lebih baik.
Semua pihak sama ada kerajaan, lebih-lebih lagi setiap individu dalam masyarakat perlu terus memainkan peranan sewajarnya bagi merealisasikan hasrat murni ini. Walaupun pelaksanaannya tidaklah semudah itu, namun kerjasama yang erat daripada kedua-dua belah pihak mampu menjadikan Malaysia sebagai negara bebas asap rokok pada tahun 2040 kelak. Semoga Akta 852 akan terus diperkasakan oleh kerajaan dan masyarakat juga akan terus berusaha untuk mematuhinya.