27 Oktober 2024, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengekalkan kedudukan sebagai juara Pertandingan Berbalas Pantun Undang-undang Peringkat Kebangsaan 2024 untuk tahun kedua berturut-turut dengan menewaskan pasukan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada pusingan akhir.

Pertandingan ini berlangsung di Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan disertai oleh enam pasukan lain termasuk dua pasukan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jawatankuasa Peguam Negeri Pahang serta pasukan tuan rumah.

Pertandingan yang berlangsung merupakan hasil kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Badan Peguam Malaysia dengan Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM.

Antara tema yang diketengahkan termasuklah Malaysia Madani, Bahasa Melayu, Kehakiman, Jenayah, Rukun Negara dan Alam Sekitar.

Sebagai penyandang juara, UIAM membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, piala pusingan, piala iringan dan buku terbitan DBP. UiTM Shah AlamĀ  sebagai Naib Johan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,500, piala pusingan dan piala iringan serta buku terbitan DBP. Tempat ketiga yang dimenangi oleh pasukan UM pula menerima wang tunai sebanyak RM1,000, piala pusingan dan piala iringan serta buku terbitan DBP.

Berbusana serba hitam, UIAM dinobatkan sebagai juara buat kali kedua berturut-turut.
Naib johan dimenangi oleh pasukan dari UiTM Shah Alam.

 

Tempat ketiga dimenangi oleh pasukan dari UM.

Tiga pasukan yang menerima hadiah sagu hati ialah UKM, UniSZA dan USIM. Setiap pasukan sagu hati membawa pulang wang tunai sebanyak RM700 dan buku terbitan DBP.

Anugerah Pemantun Terbaik dimenangi oleh Encik Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah dari UiTM Shah Alam dan menerima wang tunai sebanyak RM300, piala iringan dan buku terbitan DBP. Anugerah Busana Terbaik pula dimenangi oleh pasukan dari UM.

Anugerah Pemantun Terbaik dimenangi oleh Encik Zul Fadzli Wan Barhama Abdullah dari UiTM Shah Alam.

Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, YBrs. Profesor Madya Dr. Izawawati Wook. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Bahasa Melayu Badan Peguam Malaysia, Tuan Haji Sallehuddin Harun dan wakil DBP Puan Nursyafikah Rahim.

Pertandingan ini bertujuan untuk mengekalkan seni pantun yang diwarisi daripada generasi terdahulu, selain usaha untuk memperkenalkan para siswazah kepada keindahan, kehalusan dan keunikan pantun agar mereka berbangga dengan bahasa dan kesusasteraan Melayu serta mewarisi budaya ini supaya tidak tenggelam dalam arus kemodenan. Program ini diharapkan dapat melahirkan siswazah yang menghargai pantun sebagai warisan budaya.

Kredit Foto: Siti Nisainnur Idrus
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.