28 Oktober 2024, 20:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sebuah episod baharu dalam sejarah Indonesia telah terlakar. Prabowo Subianto, seorang panglima tentera yang bersara secara kehormat kini berdiri megah sebagai Presiden Republik Indonesia Kelapan dengan pelantikannya pada 20 Oktober 2024 lalu untuk tempoh 2024 hingga 2029, menandakan detik bersejarah dalam riwayat politik Nusantara. Perjalanan politik Prabowo ibarat Phoenix yang bangkit dari abu – terbang semula walaupun pernah lebur dijilat api. Pengasingan dirinya pada tahun 1998 seolah-olah memalingkannya daripada kancah politik. Namun begitu, semangat juang yang membara dalam jiwanya tidak pernah pudar.

Prabowo Subianto semasa Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia di Bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat, Jakarta, Indonesia pada 20 Oktober 2024 lalu.

Kebangkitan Prabowo bermula apabila dilantik sebagai Menteri Pertahanan ke-26 di bawah pemerintahan Joko Widodo dari 2019 hingga 2024. Langkah ini menjadi batu loncatan untuk menuju kerusi Presiden yang akhirnya berjaya digenggam oleh beliau setelah tiga percubaan beliau dalam Pemilihan Presiden (“Pilpres”) sebelumnya gagal. Pelantikan ini menjadi bukti bahawa tiada yang mustahil dalam kancah politik Indonesia. Kini, Prabowo berdiri megah sebagai simbol perubahan dan harapan buat keseluruhan 280 juta orang rakyat Indonesia. Perjuangannya membuktikan bahawa setiap insan layak diberikan peluang kedua untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara. Metamorfosisnya dari seorang panglima tentera menjadi pemimpin negara menggariskan satu sejarah baharu dalam arena politik Indonesia.

Akar Keluarga, Darah Patriot dan Jati Diri

Prabowo Subianto Djojohadikusumo, dilahirkan pada 17 Oktober 1951 di Jakarta, Indonesia merupakan anak ketiga dan putra pertama daripada pasangan Soemitro Djojohadikusumo dan Dora Marie Sigar. Pengembaraan Prabowo menuju kerusi Presiden Republik Indonesia Kelapan sememangnya mengagumkan. Namun, tidak ramai yang menyelami akar umbi yang membentuk jati diri beliau. Prabowo mewarisi darah pejuang yang mengalir dalam zuriat Djojohadikusumo. Datuknya, Margono Djojohadikusumo, merupakan tokoh pergerakan nasionalis yang menyemai benih kecintaan terhadap negara dalam diri Prabowo sejak kecil. Ayahnya pula, Soemitro Djojohadikusumo, seorang pakar ekonomi ulung yang menerapkan nilai-nilai prinsip hidup yang menjadi tunjang kepimpinan Prabowo.

Prof. Dr. Soemitro Djojohadikusumo, Bapa Prabowo merupakan seorang begawan ekonomi yang pernah memegang jawatan menteri di bawah kepimpinan Presiden Sukarno dan Suharto.

Kisah perjuangan keluarga Djojohadikusumo menentang penjajah membakar semangat Prabowo untuk berkhidmat kepada bangsa dan negara. Detik penting dalam pendidikan Prabowo, termasuklah pengalaman bersekolah di TK Sekolah Sumbangsih, Kabayoran Baru, Jakarta dan pendidikan ketenteraan di Akademi Militer Nasional, Magelang pada tahun 70-an, membentuk pandangan dunianya. Penggemblengan jiwa dan minda pada usia muda menjadi rahsia pembentukan peribadi Prabowo – pewaris darah patriot dan elit intelektual yang kemudiannya menjadi pemimpin bangsa.

Potret Prabowo Subiant terpahat dalam 1965 Yearbook, American International School of Zurich, Switzerland dengan Grade 8.

 

 

Latar belakang keluarga yang kaya dengan sejarah perjuangan ini, serta pendidikan di dalam dan luar negara seperti Victoria Institution, Kuala Lumpur, American International School of Zurich, Switzerland dan American School, London mempengaruhi visi Prabowo untuk membina Indonesia moden yang maju dan berdaulat. Bibit-bibit benih nasionalisme, kekayaan intelektual dan jiwa kepimpinan yang disemai sejak kecil mekar menjadi penyuluh yang melewati perjalanan Prabowo menuju ke tampuk pimpinan tertinggi di Indonesia.

Dari Medan Perang ke Gelanggang Politik

Pengalaman ketenteraan Prabowo yang berliku-liku menjadi pembakar semangat kepimpinannya untuk memajukan Indonesia. Kejayaannya memimpin pasukan elit KOPASSUS dalam operasi menawan Nicolau dos Reis Lobato, Ketua Parti Pejuang Pembebasan Pulau Timur (“FRETILIN”) menjadi bukti kewibawaannya sebagai panglima yang pemberani. Kecemerlangannya dalam medan perang mengangkat namanya untuk dianugerahkan tanda penghargaan dalam hierarki tentera. Namun, ujian sebenar menantinya semasa era Reformasi 1998 di bawah pemerintahan Presiden Republik Indonesia Ketiga, B.J. Habibie apabila beliau bersara secara kehormat daripada tentera atas dakwaan pelibatan dalam kes yang berkaitan dengan aktivis prodemokrasi.

Prabowo tidak pernah mengalah. Semangatnya terus membara walaupun dilanda badai kontroversi. Pengasingannya ke Jordan menjadi titik perubahan kehidupannya. Di sana, beliau mempelajari seni diplomasi dan kompromi. Transformasi ini membolehkan Prabowo menempuh segala cabaran dengan ketabahan hati. Sekembalinya ke Indonesia, Prabowo terus mengasah bakat politik semulajadinya. Beliau menubuhkan parti Gerindra dan mencipta imej baharu sebagai pemimpin yang prihatin. Metamorfosis ini membuahkan hasil apabila Parti Gerindra dan gabungannya memenangi sebanyak 26.79 peratus undi pada pilihan raya 2009, sejumlah 46.9 peratus undi pada pilihan raya 2014 dan sebanyak 44.5 peratus undi pada pilihanraya 2019, mencerminkan sokongan rakyat terhadap kepimpinan Prabowo.

Prabowo terus menempa nama sebagai ahli politik yang disegani. Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Presiden sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 2009, 2014 dan 2019. Walaupun gagal dalam setiap percubaannya, semangat juang beliau tidak pernah pudar. Kegigihannya dalam memperjuangkan nasib rakyat menjadi pemangkin sokongan yang kian meningkat. Akhirnya, impiannya menjadi kenyataan apabila beliau yang digandingkan dengan Gibran Rakabuming Raka telah memenangi Pilihan Raya Presiden pada tahun 2024 dengan majoriti mutlak, iaitu sebanyak 58.6% undi, sekaligus mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap kemampuannya memimpin negara. Perjalanan Prabowo dari medan perang ke gelanggang politik membuktikan kewibawaannya sebagai pemimpin sejati. Pengalamannya sebagai panglima tentera dan ahli politik berpengalaman telah membentuk visinya untuk memacu Indonesia ke arah kegemilangan.

Perjalanan Politik dan Kegigihan Menghadapi Kegagalan

Diibaratkan bagai seekor helang yang terbang tinggi setelah terkurung sekian lama, Prabowo merencana strategi politiknya dengan teliti. Walaupun pernah tewas dalam beberapa Pilihan Raya Presiden sebelum ini, semangatnya terus berkobar untuk berkhidmat kepada negara Indonesia. Kegagalan yang dilalui sebelum itu tidak pernah melunturkan tekadnya untuk berjuang. Prabowo membuktikan bahawa kekalahan hanyalah satu batu loncatan menuju kejayaan tertinggi.

Falsafah kepemimpinannya yang prihatin berjaya menarik sokongan dan perhatian rakyat Indonesia. Agenda politik yang berpaksikan kemakmuran ekonomi dan kestabilan sosial terus menjadi pembakar semangat perjuangan. Kesungguhan Prabowo dalam usaha membela rakyat terbukti apabila berjaya menggandakan undi Parti Gerindra pada setiap pilihan raya yang disertainya. Strategi politiknya yang dinamik berjaya mengubah persepsi rakyat yang dahulunya skeptikal menjadi yakin dengan kepimpinannya.

Prabowo memahat namanya dalam sejarah Indonesia sebagai seorang pemimpin yang gigih dan tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan nasib rakyat. Kemenangannya pada Pilihan Raya Presiden 2024 mencerminkan kepercayaan majoriti rakyat Indonesia kepadanya. Sejurus berakhirnya legasi pemerintahan Presiden Republik Indonesia Ketujuh, Presiden Jokowi telah mencetuskan pelbagai polemik apabila menjadi batu loncatan dan pemangkin sokongan kepada Prabowo yang dilihat sebagai pemimpin yang stabil dan berpengalaman. Keupayaannya mengharungi pelbagai cabaran politik membuktikan kekuatan peribadinya sebagai negarawan yang berwibawa.

Perjuangannya yang tanpa mengenal lelah untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan bangsa telah menawan hati rakyat Indonesia. Pengalamannya yang berwarna-warni, iaitu dariapda seorang pemimpin tentera kepada pemimpin parti politik yang kini pemimpin negara, membentuk keperibadiannya sebagai negarawan yang dihormati, disegani kawan dan digeruni lawan. Rahsia kejayaan Prabowo terletak pada pendekatan politiknya yang inklusif dan progresif. Beliau menjulang semangat perpaduan dengan merangkul kepelbagaian kaum dan agama dalam agenda pembangunan negara yang diaspirasikannya. Keprihatinan beliau terhadap nasib golongan miskin dan terpinggir merupakan tunjang utama perjuangan politiknya. Prabowo juga mahir memanfaatkan media sosial untuk mendekatkan diri dengan rakyat, terutamanya golongan muda. Imej politiknya yang mesra rakyat berjaya mencairkan tanggapan negatif yang pernah dilemparkan kepadanya pada masa lalu.

Tekad untuk Indonesia

Prabowo Subianto membuktikan bahawa kegigihan mampu mengatasi segala rintangan. Perjalanan politiknya yang berliku tidak pernah melunturkan semangatnya untuk berkhidmat kepada negara. Dalam ucapan pelantikannya pada 20 Oktober 2024 lalu, beliau menggariskan 10 tekad utama untuk membangunkan Indonesia, iaitu mencapai sara diri (“swasembada”) makanan dan tenaga; membasmi rasuah; menghapuskan kemiskinan; mereformasikan sistem subsidi; mengamalkan dasar luar yang aktif dan bebas; memajukan industri hiliran sumber alam; memperkasakan demokrasi; membangunkan modal insan serta memastikan pembangunan yang saksama untuk rakyat.

Prabowo pernah menulis buku yang mengisahkan tentang himpitan masyarakat miskin di Indonesia.

Tekad ini mencerminkan visi Prabowo untuk memacu Indonesia ke arah kemakmuran dan kedaulatan. Beliau menyedari bahawa perpaduan dan kerjasama merupakan kunci kejayaan negara. Sebagai pemimpin yang prihatin, Prabowo memberikan tumpuan kepada kebajikan rakyat dan komited untuk mengoptimumkan kekayaan alam Indonesia. Dengan pengalamannya yang luas dan tekad membara, beliau bakal membawa negara Indonesia ke era kegemilangan baharu untuk tempoh lima tahun ke hadapan. Metamorfosisnya dari panglima tentera menjadi Presiden membuktikan bahawa dengan azam yang kuat, tiada yang mustahil. Kini, beliau berdiri megah sebagai obor harapan untuk menerangi masa depan Indonesia yang lebih cerah.

Transformasi ini membangkitkan tentang persoalan fundamental tentang masa depan Indonesia dan Asia Tenggara: Bagaimanakah model kepimpinan yang menggabungkan ketegasan ketenteraan dengan pragmatisme politik ini akan membentuk keseimbangan baharu antara pembangunan ekonomi, kestabilan sosial dan kedaulatan nasional dalam era persaingan kuasa besar di rantau Indo-Pasifik? Jawapan kepada persoalan ini bukan sahaja akan menentukan kejayaan Indonesia sebagai kuasa serantau, malah turut memberikan pengajaran berharga kepada negara membangun lain dalam usaha mereka mengimbangi tuntutan pemodenan dengan pengekalan jati diri nasional. Dari panglima tentera ke Presiden, Prabowo Subianto mengukir sejarah sebagai legasi seorang pemimpin yang gagah, berani dan tidak pernah mengalah demi masa depan Indonesia.

Penulis, Penyelidik Falsafah Politik di Universiti Sains Malaysia yang kini sedang menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.