Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengungguli Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi Ke-30 dengan menewaskan pasukan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada pusingan akhir.
Pertandingan Debat Alam Sekitar berlangsung selama tiga hari, iaitu dari 25 hingga 27 Oktober 2024 di Universiti Tenaga Nasional, Kajang, dan majlis kemuncaknya diadakan pada 28 Oktober 2024.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Putrajaya (PPj), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) sebagai tuan rumah bagi tahun ini.
Dengan usul “Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974: 50 Tahun Tidak Bertepuk Sebelah Tangan”, telah membawa tuah kepada UKM apabila berjaya membawa pulang Piala Pusingan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, piala iringan, wang tunai RM8,000, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Tempat kedua yang dimenangi oleh pasukan daripada UIAM telah menerima piala iringan, wang tunai RM5,000, sijil penyertaan dan buku terbitan DBP.
Hadiah sagu hati diberikan kepada pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir, iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM). Kedua-dua pasukan menerima hadiah berupa wang tunai RM1,500, plak dan sijil penyertaan.
Pendebat dari UKM, Hafiz Hafizi Norependi pula dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Akhir dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak serta sijil penyertaan.
Pendebat dari UIAM, Nur Syahirah Balqis Shahrulnizam mengekalkan kejayaan pada tahun lalu dengan muncul sebagai Pendebat Terbaik Liga. Beliau menerima wang tunai RM1,000, plak dan sijil penyertaan.
Majlis Pertandingan Akhir Debat Alam Sekitar telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar JAS, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan lnovasi) UNITEN, YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd. Zamri Yusoff; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan) KPT, YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), YBrs. Ts. Dr. Abdul Rashid Abdul Razza dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.
Pertandingan Debat Alam Sekitar antara Institusi Pendidikan Tinggi Ke-30 ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan mengenai isu-isu, dasar dan polisi alam sekitar pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Pertandingan ini juga bertujuan untuk melahirkan modal insan yang berwibawa dan berfikiran aras tinggi serta memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi di Malaysia. Hal ini juga selaras dengan usaha untuk mengukuhkan perkongsian ilmu, menggalakkan mahasiswa berfikir secara terbuka, kritis dan celik pengetahuan am yang merangkumi aspek pemeliharaan serta pemuliharaan alam sekitar. Penganjuran pertandingan ini juga sekali gus dapat melatih mereka meningkatkan keyakinan diri dan meneroka kemampuan diri dari segi intelektual dan emosi.