Diterbitkan pada 4 November 2024, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan antara individu yang sentiasa memainkan peranan penting dalam usaha memartabatkan pengayaan perkataan baharu dalam bahasa Melayu. Ada sahaja perkataan dan istilah baharu dalam bahasa Melayu yang keluar daripada bibirnya. Hal ini tidak hanya berlaku ketika beliau menjadi Perdana Menteri sejak November 2022, bahkan semasa menjadi Menteri Kabinet sebelum ini, banyak perkataan baharu yang telah diperkenalkan oleh beliau.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim ialah individu yang tidak asing lagi dalam perjuangan memartabatkan dan memperkaya bahasa Melayu. Hal ini adalah selaras dengan latar belakang pendidikan dan perjuangannya sebelum ini, iaitu semasa menjadi pemimpin mahasiswa dalam tahun 1970-an. Latar belakang pendidikan beliau sebagai graduan dalam bidang Pengajian Melayu dan menyandang jawatan sebagai Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya mempunyai perkaitan yang sangat rapat dengan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu.

Arus perjuangan bahasa Melayu yang ada dalam jiwa beliau terus menyinar dan tidak pernah padam, walaupun kini beliau memegang jawatan dalam kepimpinan tertinggi pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri. Dalam kesibukannya sebagai Perdana Menteri, perjuangan dan pengayaan bahasa Melayu terus mengalir dalam darah dan jiwanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, beliau menggunakan satu kata sendi baharu dalam ucapan belanjawannya, iaitu “ketimbang.” Perkataan kata sendi ini ialah satu kata sendi baharu yang jarang-jarang atau belum pernah digunakan sebelum ini oleh masyarakat Malaysia sama ada dalam bentuk lisan atau pun tulisan. Perkataan yang jarang-jarang atau belum pernah digunakan secara meluas tidak bermakna perkataan tersebut tidak wujud dalam tamadun dan alam Nusantara kita.

Dalam menelusuri bahasa Melayu, kita tidak hanya tertakluk pada bahasa Melayu di Malaysia semata-mata, tetapi juga di rantau Melayu Nusantara secara keseluruhannya (khususnya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga Selatan Thai).

Apabila diteliti dengan lebih mendalam, perkataan kata sendi “ketimbang” sebenarnya terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI). Perkataan “ketimbang” mengikut Kamus Besar Bahasa Indonesia ialah satu kata hubung (atau kata sendi), yang bermaksud dibandingkan dengan sesuatu; (berbanding) dengan /daripada. Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia mempunyai hubungan yang sangat rapat dan saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam mengkaji perkembangan bahasa Melayu, perkara tersebut tidak hanya tertakluk pada apa-apa yang terdapat di Malaysia semata-mata, tetapi juga sesuatu yang terdapat di Indonesia. Penggunaan kata sendi “ketimbang” yang digunakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu merujuk perbandingan tentang kedudukan USD (Dolar Amerika Syarikat) dalam tempoh masa yang dinyatakan sebagai satu perbandingan adalah tepat dan tidak ada cacat celanya. Penggunaan perkataan “ketimbang’ oleh Perdana Menteri itu memberikan kesan yang lebih tegas dan secara langsung dalam membuat perbandingan.

Bagi mereka yang tidak mendalami bahasa Melayu serta tidak faham tentang sosiobahasa dan rencam budaya akan mudah membuat tafsiran mudah yang tidak berasas dan tepat serta boleh membawa kepada kekeliruan makna dan tafsiran. Kenyataan seorang ahli politik yang tidak sehaluan (mempunyai fahaman dan falsafah politik kepartian yang berbeza) mentafsirkan makna perkataan “ketimbang” dengan tafsiran yang kurang manis dan agak melampau. Perkataan tersebut dikaitkan dengan makna “kencing, tipu dan sembang.” Tafsiran yang menyimpang dan tidak berasas kepada sumber yang akademik sifatnya serta mempunyai hubungan dengan “pengaruh emosi” sebegini harus dielakkan sama sekali. Tindakan tersebut tidak membawa kita ke mana-mana. Walaupun tidak sehaluan dan mempunyai pandangan yang berbeza dalam aspek pegangan dan falsafah politik, namun dalam persoalan bahasa yang ada kaitannya dengan asas ilmu bahasa dan akademik serta tamadun bangsa, kita mestilah bersifat jujur dan terbuka. Seseorang boleh dan bebas berdebat tentang apa-apa saja yang dilakukan oleh pihak kerajaan jika difikirkan tidak betul, tetapi asas dan faktanya mestilah tepat. Perkara yang dilakukan adalah untuk kebaikan dan kepentingan umum masyarakat bagi pembangunan jangka panjang negara. Jangan menghentam sesuatu hanya atas dasar “perasaan dan semangat yang tak berasas” (hanya kerana kebencian dan perbezaan fahaman serta falsafah politik semata-mata). Sifat dan amalan begini adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin politik. Tindakan begini membuatkan negara tidak boleh maju ke hadapan dan pastinya ketinggalan di belakang.

Dalam persoalan ini, perkara yang sepatutnya dilakukan adalah dengan tindakan ilmiah, bukannya hentaman semberono tanpa asas. Seseorang itu sepatutnya merujuk kepada pakar bahasa (pensyarah/profesor bahasa di universiti yang lebih arif tentang hal ini) atau merujuk pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai autoriti serta pengetahuan yang mendalam tentang hukum yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

Tindakan tepat dan segera yang dilakukan oleh pihak DBP tentang hal ini sewajarnya dipuji. Tindakan segera telah dilakukan oleh pihak pengurusan DBP pada 25 Oktober 2024 apabila perkataan “ketimbang” telah dipersetujui dan akan dimasukkan ke dalam Kamus Dewan Perdana DBP sebagai “kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu. Perkataan “ketimbang” diangggap sebagai satu daripada perkataan yang relevan dan sesuai dalam perkembangan bahasa Melayu moden. Hal ini merupakan satu perkembangan dan penambahan baharu dalam bahasa Melayu Malaysia.

Perkembangan yang sama seharusnya dibuat sebelum ini dalam usaha menambah perkataan baharu dalam bahasa Melayu Malaysia. Pada peringkat permulaan, sesuatu perkataan yang baru digunakan itu kelihatan “janggal” tetapi perkara tersebut akan menjadi biasa dan penerimaan yang menyeluruh akan berlaku selepas beberapa ketika, apabila perkataan itu digunakan secara meluas. Sebelum ini, Perdana Menteri pernah memperkenalkan perkataan baharu seperti “mampan”, “alaf”, “mantan”, “telus”, “tata kelola” dan seumpamanya. Penulis berpendapat bahawa perkataan “ketimbang” tidak mempunyai sebarang kesalahan dalam proses perkembangan bahasa Melayu moden. Perkara tersebut merupakan sesuatu yang sepatutnya dibanggakan dan penulis percaya bahawa perkataan “ketimbang” akan digunakan dengan meluas dalam penggunaan ayat bagi membuat perbandingan langsung dengan lebih tegas dan jelas maknanya oleh masyarakat Malaysia.

Harus diingatkan bahawa bahasa ialah sesuatu yang “hidup” dan bersifat dinamik serta tidak bersifat statik. Bahasa sentiasa mengalami perubahan daripada berbagai-bagai sudut. Semua bahasa di dunia mengalami perubahan dan berkembang mengikut peredaran masa, dan tiada satu bahasa pun yang bersifat statik dan tidak berubah. Bahasa Melayu yang digunakan dalam kitab Sejarah Melayu oleh Tun Seri Lanang, Bustanus Salatin oleh Nurudin Ar-Raniri dan Hikayat Munshi Abdullah ternyata mempunyai perbezaan dari segi struktur dan gaya bahasa novel dan buku Melayu sekarang. Banyak faktor yang mempengaruhi perkembangan bahasa, termasuklah faktor persekitaran.

Kadang-kadang perkataan baharu itu disadur dan disesuaikan daripada bahasa asing. Banyak perkataan bahasa Melayu yang diserap daripada bahasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Arab. Perkara tersebut bukan satu kesalahan, bahkan proses ini mampu memperkaya perbendaharaan dalam bahasa Melayu. Apatah lagi, sekiranya perkataan baharu (seperti ketimbang) yang sememangnya wujud dalam perbendaharaan bahasa serumpun Nusantara (sebagaimana yang tercatat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia). Kita sepatutnya meneroka dan menggali lebih banyak perkataan dan khazanah bahasa serumpun supaya bahasa Melayu terus diperkaya dari semasa ke semasa. Usaha pemimpin seperti Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang selalu memperkenalkan perkataan baharu merupakan sesuatu yang harus dipuji dan dicontohi. Pemimpin lain juga harus menjadikan usaha beliau itu sebagai satu contoh tauladan yang baik dalam usaha mengembangkan dan meninggikan martabat bahasa kebangsaan.

Pada masa yang sama, kita tidak sekali-kali menafikan akan peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, tetapi kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti diperkembang dan dimartabatkan selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Peranan bahasa Melayu tetap penting dalam usaha pembinaan dan pembangunan negara. Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara berperanan besar sebagai alat perantaraan dan bahasa perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Kepentingan dan peri pentingnya bahasa Melayu tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun disebabkan fungsinya sebagai asas penting dalam pembinaan perpaduan dan kesejahteraan negara dan bangsa. Tanpa bahasa kebangsaan yang kukuh dan berkesan, kekuatan dan kelancaran pembangunan jangka panjang negara akan menjadi tanda tanya.

Aspek kemajuan dan perkembangan yang berlaku dalam negara (seperti kemajuan ekonomi moden, perindustrian dan teknologi moden alaf tinggi) bahasa merupakan asas yang penting sebagai dasar yang menjamin kestabilan, kelancaran dan kesejahteraan umum. Seandainya berlaku porak-peranda dan kucar-kacirnya dalam bahasa utama negara, pelbagai aspek akan terkesan. Marilah kita bersama-sama menjaga dan terus membina bahasa kebangsaan dengan minda yang kreatif dan terbuka. Tahniah dan syabas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa berjuang, membina dan mengukuhkan bahasa Melayu tanpa jemu, lantang, berani dan terus menerus!

Prof. Madya Dr. Mohd. Noor Mat Yazit, Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi, lnstitut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi